Pertandingan Bintang Patriotik anjuran Jabatan Penerangan terima sambutan hebat di Jelajah AKM Kelantan | DagangNews Skip to main content

Pertandingan Bintang Patriotik anjuran Jabatan Penerangan terima sambutan hebat di Jelajah AKM Kelantan

Oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 24 Julai - Pertandingan Bintang Patriotik anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bukan sahaja mencungkil bakat seni terpendam rakyat negara ini, malah ia berjaya meningkatkan semangat patriotisme dalam mempertahankan maruah, martabat dan kedaulatan negara.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka JaPen, Nor Azli Mohd Nor Azian berkata, pertandingan itu adalah platform terbaik untuk menerapkan semangat cintakan negara melalui beberapa syarat yang ditetapkan kepada peserta.

 

"Antaranya pemilihan pakaian peserta digalakkan mempunyai unsur-unsur patriotisme dan kita dapat lihat penampilan mereka kebanyakannya memakai persalinan tradisional lengkap Melayu yang begitu dekat dengan jati diri rakyat Malaysia.

 

"Semua peserta peringkat akhir Bintang Patriotik ini juga diminta berkongsi Aspirasi Keluarga Malaysia dan sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi di media sosial Facebook, Instagram dan YouTube masing-masing kerana follower (pengikut) mereka sangat ramai hingga berpuluh ribu orang.

 

"Ini adalah inisiatif serampang dua mata JaPen dalam mendekati rakyat dengan menjadikan peserta Bintang Patriotik ini duta kecil berkongsi informasi kerajaan yang lebih tepat dan menyeluruh," katanya ketika ditemui DagangNews.com hari ini.

 

Pertandingan itu adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dengan menyanyikan dua buah lagu iaitu lagu patriotik (lagu wajib) dan lagu bebas pilihan peserta (peringkat akhir).

 

Ditanya keunikan peserta Bintang Patriotik sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keenam di Kelantan pula, Nor Azli berkata ramai peserta yang sudah berusia lingkungan 55 hingga 60 tahun menyertainya.

 

 

AKM
Nor Azli Mohd Nor Azian

 

 

"Istimewanya pertandingan Bintang Patriotik di Kelantan ini juga, JaPen mewajibkan lagu kedua itu adalah lagu-lagu berunsur ketuhanan dan kebanyakan peserta memilih lagu M Nasir, Ismail Haron (penyanyi kelahiran Singapura), D'Lloyd dan Ramli Sarip.

 

"Selain ramai peserta yang sudah berusia, mereka juga cenderung memilih lagu-lagu klasik dalam pertandingan kali ini dan ia antara keunikan rakyat Kelantan kerana mereka sangat menghargai karya puitis untuk diketengahkan dalam pertandingan ini.

 

 

AKM
Antara penampilan peserta peringkat akhir pertandingan Bintang Patriotik sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan hari ini.

 

 

AKM
Antara penonton yang menyaksikan pertandingan peringkat akhir Bintang Patriotik anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu hari ini.

 

"Rakaman pertandingan yang disiarkan secara langsung ini juga dapat memberi hiburan positif kepada rakyat Malaysia secara amnya sekaligus menyemarakkan lagi bahang sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi," katanya.

 

Antara kriteria yang dinilai oleh barisan juri ialah suara, tempo, sebutan dan gaya peserta. Selain itu prop dan pakaian yang berunsurkan patriotik juga adalah diambil kira dalam pemarkahan.

 

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala, naib juara (RM800 dan piala), tempat ketiga (RM600 dan piala), tujuh hadiah saguhati (RM300 dan piala) serta persembahan terbaik (RM300 dan piala). - DagangNews.com