Pilihan raya sama seperti pasar raya: Benarkah perbandingan ini?
Oriental Daily dan Sin Chew Jit Poh 30 Sept 2022
SEJAK ‘sistem dua parti’ dipromosikan pada tahun 1990-an, kita sering membandingkan keutamaan dasar dan ideologi politik parti dengan pasar raya.
Manifesto dan ‘kad laporan’ parti-parti politik diumpamakan dengan jenis produk, pengundi pula sebagai pengguna manakala pilihan raya dilihat sebagai sebuah pasar raya.
Oleh kerana dunia maya tidak popular pada masa itu, maka perbandingan kedai runcit sebagai propaganda begitu menarik perhatian dan meninggalkan kesan mendalam.
Mengapa pengundi digambarkan sebagai ‘pengguna’?
Tujuannya agar pengundi sedar bahawa politik dan pilihan raya adalah berkait rapat dengan kita. Ia sama seperti semua jenis urus niaga dalam kehidupan seharian kita.
Sebagai seorang pengguna yang mempunyai hak untuk menentukan pasar raya dan produk yang hendak dibeli.
Manakala pasar raya juga pastinya akan menawarkan pelbagai produk, polisi perniagaan dan tawaran yang menarik kepada pengguna.
Sekiranya pengguna beranggapan semua pasar raya adalah peniaga kapitalis yang mengambil kesempatan secara melampau dan memikirkan keuntungan semata-mata dalam urus niaga.
Pengguna boleh memboikot peniaga-peniaga ini, menanam sayur-sayuran dan menternak ayam sendiri, berdikari sepenuhnya tanpa bergantung kepada pasaran bebas.
Sama seperti ketika PRU14, terdapat segelintir individu dan pertubuhan yang percaya bahawa parti politik dan calon yang ‘dihidangkan’ kepada pengundi adalah buruk dan tidak baik, sehinggakan mereka menolak semua parti politik dan menyeru semua untuk tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak.
Meskipun perbandingan ‘politik dan pasar raya’ ada logiknya, tetapi jangan sampai kita memboikot politik seperti memboikot peniaga.
Boikot pasar raya atau produk tertentu hanya akan menjejaskan individu, bukan keseluruhan sektor perniagaan.
Boikot pasar raya A, kita boleh memilih pasar raya B, banyak lagi pilihan yang lain.
Dalam pasaran bebas, kelangsungan hidup sesebuah perniagaan, tiada kena-mengena dengan pembangunan hal ehwal awam tetapi hanya sebahagian daripada rantaian penggunaan.
Begitu juga apabila berlakunya pilihan raya maka parti-parti politik akan mengemukakan manifesto dan pencapaian serta melantik calon yang terbaik, agar pengundi dapat membuat pilihan.
Parti-parti politik boleh membentuk kerajaan asalkan mereka memegang majoriti kerusi di Parlimen.
Walaupun kita hanya memilih ahli Parlimen dan bukan secara langsung memilih Perdana Menteri, tetapi segala dasar dan keputusan kerajaan akan mempengaruhi keseluruhan hal ehwal awam kita.
Di samping itu, salah satu fungsi kerajaan adalah mengutip pelbagai cukai dan menerusi kutipan cukai ini untuk menentukan agihan peruntukan sumber kepada jabatan atau belanjawan tahunan.
Melainkan kita hidup di sebuah pulau terbiar yang tidak ditadbir oleh kerajaan, jadi kita tidak perlulah risau dengan PRU15 nanti bimbang sama ada GST akan dilaksanakan semula, subsidi petrol dikurangkan, larangan aktiviti hiburan atau sebagainya.
Perlu diingatkan bahawa dasar-dasar politik akan memberi kesan secara langsung kepada semua orang.
Bagi produk yang sama pula, pengguna boleh membuat perbandingan dan akan membeli pada harga terendah untuk memaksimumkan kepentingan pengguna.
Semasa PRU15 nanti, pengundi juga boleh membuat perbandingan tiga kerajaan, hala tuju undi di tangan adalah untuk memaksimumkan nilai undi.
Bagaimanapun, pengundi juga berhak untuk tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak atas sebab-sebab tertentu, tetapi jangan sesekali memboikot politik kerana pengundi lain secara semula jadi akan membuat pilihan untuk masa depan anda.
Pembangunan ekonomi yang positif dan berterusan juga ditentukan oleh pemilihan kerajaan yang benar-benar berkaliber.
Lantaran ura-ura mengatakan tahun 2023 ialah tahun krisis kewangan global dan kemelesetan besar, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga.
Apabila berlakunya krisis kewangan, modal asing akan memilih negara yang ‘paling selamat’ dan Malaysia tidak akan menjadi salah satu pilihan.
Kita berkemungkinan besar akan jatuh ke dalam kesan domino tsunami kewangan global.
Satu-satunya peluang untuk yang boleh menyokong kita hingga akhir adalah kadar pertumbuhan yang lebih tinggi dan lebihan perdagangan.
Namun jika ringgit berterusan jatuh mendadak, ia akan membawa kepada inflasi yang teruk dari semasa ke semasa.
Kesanggupan pengguna untuk berbelanja menjadi lebih rendah, pertumbuhan korporat yang tidak stabil juga akan membawa kepada kemelesetan ekonomi.
Pilihan raya adalah kunci penentu hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Jika kita ingin melihat perubahan dan kemajuan yang berterusan dalam sistem masyarakat yang pelbagai, terbuka dan inklusif, hasil ekonomi yang lebih saksama dan peruntukan dana serta tadbir urus yang lebih bersih dan telus, maka kita harus tampil dan menyokong kerajaan hasil gabungan parti-parti yang dominan.
Justeru itu, walau setinggi mana pun kita membenci politik, tidak puas hati dengan parti atau calon, kecewa sehingga memilih untuk tidak ambil peduli dengan pilihan raya dan tidak mahu mengundi.
Satu perkara yang perlu kita tahu selepas pilihan raya dan pemilihan kerajaan, segala keputusan dan agihan sumber peruntukan pastinya akan memberi kesan kepada kesejahteraan masa depan kita. - DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Oriental Daily dan Sin Chew Jit Poh 30 Sept 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.