Skip to main content

PKP 2.0: Syarikat perdagangan & pengedaran perlu mohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran

Syarikat perdagangan & pengedaran perlu mohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua perlu mendapatkan surat notifikasi pengesahan pendaftaran. 

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu adalah bagi memastikan tiada sebarang halangan atau sekatan pergerakan sepanjang tempoh tersebut.

 

"Sehubungan dengan itu, syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh memohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran dengan mengakses portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), MITI melalui pautan https://notification.miti.gov.

 

"Syarikat-syarikat sektor perdagangan dan pengedaran yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian melalui pautan pautan https://notification.miti.gov dan surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

 

PKP kali kedua dikenakan ke atas enam negeri  iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula hari ini.

 

PKP Bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas enam buah negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

 

Bagi PKP Pemulihan (PKPP), perintah tersebut dikenakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

 

Baca: Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari

 

Selain perdagangan dan pengedaran, empat lagi sektor ekonomi perlu yang dibenarkan beroperasi iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan serta perladangan dan komoditi.

 

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mengingatkan agar pihak syarikat yang dibenarkan beroperasi turut memastikan hanya 30% pekerja dalam kumpulan pengurusan berada di pejabat bermasa SOP yang ketat.

 

Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap syarikat yang telah diberi kebenaran mematuhi arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa. 

 

Berikut merupakan aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi;

  1. Kompleks membeli-belah
  2. Pasaraya/ pasaraya besar
  3. Departmental Store
  4. Farmasi/ penjagaan diri
  5. Kedai serbaneka/ mini mart
  6. Dobi (tidak termasuk layan diri)
  7. Restoran
  8. Kedai perabot
  9. Kedai emas
  10. Kedai elektrik dan elektronik
  11. Kedai buku & alat tulis
  12. Kedai hardware
  13. Makanan haiwan
  14. Bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti
  15. Pusat pengedaran dan jualan kereta 
  16. Other Specialty Retail Stores: Stesen minyak. - DagangNews.com