Pusat Kecemerlangan Area 57 bakal pacu inovasi teknologi dron | DagangNews Skip to main content

Pusat Kecemerlangan Area 57 bakal pacu inovasi teknologi dron

 

PERKEMBANGAN industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems (UAS) di Malaysia terus giat dimajukan dengan penyediaan Area 57, sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh Technology Park Malaysia (TPM).

 

Area 57 yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba baru-baru ini, akan menyediakan infrastruktur bersepadu di kawasan seluas 5 ekar bagi perkhidmatan penyelidikan, pembangunan, pengujian, pensijilan, pembuatan, pengkomersialan serta penyelenggaraan penyelesaian dan teknologi berkaitan dron untuk memanfaatkan komuniti pengguna dan pengeluar dron.

 

Area 57 merupakan pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS) di wilayah tengah Malaysia.

 

Pusat sehenti perkembangan industri dron ini disediakan dengan landasan dron 100 meter, kawasan jaring dron 300 meter persegi, tapak mock up pengujian dron, hangar, makmal, peralatan pembuatan, fasiliti latihan dan kawasan pengujian prototaip, pejabat operasi serta bengkel perkhidmatan dan penyelenggaraan dron untuk kegunaan pengendali dron.

 

Pusat Kecemerlangan Area 57 merupakan salah satu tambahan di bawah penyeliaan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang mempunyai tiga lapangan ujian atau test site lain di FELDA Mempaga Pahang, Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar) dan dron penghantaran urban di Cyberjaya.

 

Penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi, seperti sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron, dapat mendorong pemulihan dan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

Pusat kecemerlangan Area 57 ini dapat membantu Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron di mana pasaran dron global diunjurkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026.

 

Melalui Area 57, Usaha pembangunan teknologi dron harus dipergiatkan. Perkhidmatan melalui dron dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor seperti e-dagang, logistik penghantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam; pengurusan infrastruktur dan pemantauan sekuriti dalam penyelenggaraan bangunan pintar, bandar pintar atau maritim; agrikultur urban dan lain-lain lagi.

 

 

area 57
Area 57 dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba pada 16 September 2021.

 

 

TPM akan berganding bahu dengan agensi-agensi lain untuk mempermudahkan perkembangan industri dron dari segi pensijilan, kelulusan frekuensi, kelulusan kamera, serta kelulusan keselamatan pengendalian dron di Area 57 justeru melibatkan, antara lain, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), SIRIM, Malaysian Global Innovation and Creativity Center (MaGIC), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

 

MOSTI melalui TPM juga komited dan menyambut baik kerjasama dengan akademia daripada pelbagai Institut Pendidikan Tinggi dan syarikat-syarikat dron tempatan.

 

Aerodyne Group, syarikat dron dari Malaysia yang telah mendapat sambutan global, akan berperanan sebagai penasihat kepada Area 57.

 

Aerodyne merupakan salah satu penyedia penyelesaian perusahaan berasaskan dron dan pelopor dalam penggunaan Artificial Intelligence sebagai teknologi untuk operasi data, analisis, dan pengoptimuman proses berskala besar (Drone Tech, Data Tech & Digital Transformation).

 

Dengan gelaran sebagai penyedia penyelesaian berasaskan dron kedua di dunia oleh Drone Industry Insights (DII) pada 2020, Aerodyne berusaha mewujudkan bandar pintar melalui inovasi teknologi dron dalam pengawasan dan keselamatan, pembangunan infrastruktur, pertanian pintar dan sebagainya.

 

 

area 57

 

 

Demontrasi dron di Area 57 juga memuatkan penerbangan dron yang beroperasi secara Beyond Visual Line of Sight (BVLOS) untuk menangkap data secara jarak jauh dengan kelulusan CAAM.

 

Sejak tahun lalu, TPM juga telah mengambil inisiatif untuk menembusi pasaran teknologi dron dan robotik melalui inisiatif NTIS.

 

Projek-projek rintis ini selaras dengan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10), inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang berusaha mentransformasikan Malaysia menjadi negara berteknologi dan berpendapatan tinggi melalui langkah penyelesaian berasaskan inovasi. – DagangNews.com