Ramai orang Islam tidak tahu dia sedang mengalami kerugian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 10 August 2020

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

 

Pasca Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19, ini ramai yang mengeluh. Kehilangan kerja, putus punca pendapatan, perniagaan merosot dan keadaan ekonomi semakin mencabar. Ramai yang buntu dan hilang punca. Maka kerajaanlah tempat mereka berpaling untuk mohon bantuan. Alhamdulillah kerajaan memberi pelbagai bantuan dalam menghadapi bencana ini. Tapi banyak mana sajalah yang boleh dibantu oleh kerajaan. Akhirnya kita kena berdepan juga dengan situasi mencabar ini dengan usaha sendiri.


Dalam majoriti rakyat Malaysia mengeluh, sebenarnya ada satu bentuk kekayaan yang gagal kita gembleng untuk menghadapi suasana ekonomi mencabar ini iaitu harta pusaka!


Ya harta pusaka merupakan satu sumber yang sangat-sangat berharga bagi membantu waris berdepan cabaran ini. Inilah yang saya dok canang berpuluh tahun supaya umat Islam merancang harta mereka.   


Saya sudah terlibat 22 tahun di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia. Walaupun saya sudah nampak ada perubahan positif yang ketara dalam sikap umat Islam tentang isu ini berbanding 1998 ketika saya bermula dulu, namun ia masih belum mencapai ke tahap yang baik.


Sikap negatif


Artikel saya kali ini saya akan mengkritik sikap negatif orang kita dalam berdepan isu harta pusaka. Kalau kritikan saya ini diterima dengan hati terbuka Alhamdulillah. Kalau tak diterima pun tiada masalah kepada saya kerana saya hanya ingin fokus membantu orang yang mempunyai kesedaran sahaja.   


Masih ramai di antara kita yang merasakan tidak perlu merancang harta kerana faraid sudah ada. Apa nak susah-susah, katanya. Hak waris memang dah terjamin melalui faraid. Kalau buat apa-apa perancangan nanti kita lari dari hukum Allah pula. Haram hukumnya, kata mereka.


Apa yang dia tidak tahu ialah faraid itu ialah formula agihan. Memang ia formula terbaik yang Allah tetapkan untuk kita sebagai hambaNya kerana Dia yang Mahu Mengetahui. Namun mengambil kira situasi di Malaysia, sebelum harta itu diterima oleh waris-waris mengikut hukum faraid, ada proses perundangan yang perlu dilalui terlebih dahulu. Ibaratnya jika kita melukis satu garisan lurus dengan titik A sebagai permulaan dan titik Z sebagai pengakhiran, faraid itu berada di titik Z.  

 

wasi1
ARIFFIN SABIRIN dalam sesi penerangan mengenai pengurusan harta.


Pertama sekali salah seorang waris perlulah ‘sukarela’ untuk mengambil inisiatif memulakan prosiding menuntut harta pusaka ini. Dialah yang perlu berusaha mengumpulkan semua dokumen yang berkaitan seperti geran tanah, salinan kad pengenalan, sijil nikah, penyata akaun bank, geran kereta, penyata saham koperasi, berhubung dengan setiausaha syarikat ( jika simati ada saham perniagaan ) dan pelbagai dokumen lain. Keadaan akan jadi lebih mencabar untuk dia jika simati tidak menyimpan dengan baik semua dokumen penting ini.


Dia jugalah perlu belajar dan faham proses memfaikan permohonan pengurusan pusaka, mengisi borang yang berkenaan dan turun naik pejabat ejensi berkenaan. Nak buat semua kerja ini perlukan kos seperti perjalanan, penginapan, makan minum di samping kos lain seperti bayaran pesuruhjaya sumpah, bayaran carian hartanah dan banyak lagi.


Tolak-menolak


Oleh kerana beratnya tanggungjawab ini dan banyaknya masa dan belanja yang perlu dikeluarkan, ramai waris saling tolak-menolak. Along kata angah, angah kata andak, andak kata ucu, sudahnya prosiding itu tidak bergerak terus. Selepas puluhan tahun nama simati masih tercetak di atas geran tanah, akaun bank dan lain-lain harta.  


Nak mudah faham, saya bagi analogi ibarat perjalanan kita dari Kuala Lumpur nak ke Johor Bahru melalui lebuhraya PLUS. Sebelum sampai destinasi iaitu Johor Bahru, perlulah kita melalui dulu Seremban, Melaka, Tangkak, Ayer Hitam, Sedenak, Skudai dan akhirnya barulah sampai ke Johor Bahru. Bukan dari Kuala Lumpur tiba-tiba sahaja terus sampai Johor Bahru. Ada perjalanan yang perlu dilalui. Ada tol yang perlu dibayar. Ada minyak yang perlu diisi. Ada kereta perlu disediakan. Ada pemandu yang perlu bersengkang mata dan fokus kepada pemanduan di saat penumpang lain berdengkur berehat. Tambah pula musim-musim jem di lebuh raya. Letih dan stress pemandu dibuatnya.  


Begitulah juga keadaannya dengan proses agihan harta pusaka. Pemandu itu ialah waris yang mengambil insiatif melalui semua proses yang saya sebut di atas. Dialah yang perlu bersusah-payah sebelum tiba ke titik agihan harta pusaka iaitu faraid. Waris lain kadang-kadang tak peduli pun dengan kesusahan si  waris yang mengambil inisiatif ini tetapi sibuk menuntut itu dan ini. Bising bertanya bila harta pusaka nak diagihkan. Semua orang tengah susah musim-musim COVID-19 ini, katanya. Semua mahukan harta pusaka diagih cepat.


Saya menulis berdasarkan pengalaman. Situasi ini sangat banyak saya lihat sepanjang 22 tahun ini dan sejak Wasiyyah Shoppe Berhad ditubuhkan pada 2004. Ruginya umat Islam di Malaysia. Ibu bapa, datuk nenek dan moyang kita meninggalkan banyak harta namun ia terbeku masih di atas nama mereka dan kita sebagai waris ini tak dapat apa-apa manfaat darinya sedangkan dalam fasa ekonomi pasca COVID-19 inilah harta-harta tersebut amat diperlukan untuk menjana pendapatan kita.

 

wasi3
        KERATAN akhbar laporan penerokaan Wasiyyah Shoppe ke negeri di bawah bayu dan Sarawak.

 

Jadi apa yang umat Islam di Malaysia perlu buat sebenarnya?


Rancanglah harta anda dengan baik hari ini semasa anda masih hidup. Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia, boleh membantu anda mengatasi cabaran ini. Waris tak perlu bersusah-payah dan stres melalui proses tuntutan harta pusaka ini sebab semuanya diuruskan oleh pegawai profesional kami. Paling menarik waris-waris tak perlu keluarkan satu sen pun perbelanjaan. Harta pusaka ini boleh diterima waris secara percuma!


Namun anda sebagai pemilik harta perlulah bertindak sekarang ketika masih hidup untuk memastikan waris anda menerima harta pusaka anda dengan mudah. Kita sudah mati dan urusan kita terikat dengan Allah SWT di alam barzakh. Tetapi waris perlu meneruskan kehidupan mereka di atas dunia ini. Bukankah lebih baik harta pusaka kita dapat dimanfaatkan oleh waris dari terbeku begitu sahaja terutama di musim pasca COVID-19 ini? Tidak kasihankah kita dengan waris-waris ini ?


Kita berharta tetapi waris-waris miskin! Kita mengharapkan doa-doa dari waris selepas kematian kita tetapi kita gagal merancang harta dengan baik untuk dimanfaatkan mereka. Renung-renungkan. - DagangNews.com

 

Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai Wasiyyah Shoppe sila lawat http://wasiyyahshoppe.com.my

 

Portfolio Tags