Ramssol, Impiana sasar RM100 juta menerusi program latihan HRD Corp. | DagangNews Skip to main content

Ramssol, Impiana sasar RM100 juta menerusi program latihan HRD Corp.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Cllement Tan Chee Seng (dua dari kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Impiana, Datuk Seri Ismail@Farouk Abdullah (dua dari kanan) dalam majlis memeterai kerjasama antara kedua-dua pihak hari ini. Turut kelihatan, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Operasi Ramssol, Lee Miew Lan (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Impiana, Rosdi Effendi Mohammed Effendi (kiri).

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 2 Nov - Ramssol Group Bhd. dan Impiana Hotels Bhd. memeterai perjanjian selama 2 tahun untuk menyediakan program latihan pensijilan Human Resources Development Corp. (HRD Corp.) bagi tenaga kerja di Malaysia dalam menyokong pemulihan ekonomi menerusi peningkatan kemahiran. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Cllement Tan Chee Seng berkata, menerusi kerjasama ini, Ramssol dan Impiana menyasarkan kira-kira RM100 juta dari segi nilai latihan dapat diraih sepanjang tempoh kerjasama tersebut.

 

Katanya, terdapat beberapa kursus yang disediakan adalah relevan dengan landskap pekerjaan hari ini antaranya kebolehan analisis data, kemahiran teknologi dan keselamatan siber. 

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Impiana dan melihat mereka sebagai rakan kerjasama yang hebat bagi kami kerana kedudukan hotelnya yang strategik di beberapa lokasi, bukan sahaja di Malaysia serta kemampuan mereka menguruskan jenama Impiana dengan baik.

 

"Oleh itu, dalam tempoh 24 bulan akan datang, kami jangkakan untuk menarik lebih ramai peserta atau organisasi tempatan dari seluruh negara untuk menyertai program latihan HRP Corp. menerusi kerjasama ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di bawah kerjasama ini, Ramssol akan mengendalikan dan menguruskan program latihan HRD Corp. secara fizikal dan maya dengan para peserta diberi akses penuh kepada Feet, aplikasi mudah alih penglibatan pekerja yang dibangunkan secara dalaman oleh syarikat, selama setahun. 

 

Sesi latihan pula akan diadakan di 3 lokasi Hotel Impiana iaitu Kuala Lumpur, Ipoh dan Senai. Malah, Impiana turut menyediakan kemudahan hospitaliti seperti tempat latihan, makanan dan minuman untuk latihan fizikal kepada para peserta. 

 

Bagi latihan secara maya pula, Impiana akan memperluaskan perkhidmatan hospitaliti di luar talian dengan menyediakan perkhidmatan premium kepada para peserta terlibat. 

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Impiana, Datuk Seri Ismail@Farouk Abdullah berkata, kerjasama ini dapat memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak memandangkan Impiana boleh menyediakan tempat yang kondusif untuk program latihan dan penjagaan hospitaliti untuk peserta.

 

Beliau juga menyifatkan program latihan yang disediakan Ramssol adalah relevan dengan usaha pemulihan ekonomi negara yang mana ia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan dalam pekerjaan.

 

"Bagi memastikan kami kekal relevan dalam persekitaran semasa, kami juga berhasrat untuk menggiatkan semula perniagaan hospitaliti kami melalui pelbagai cara, dan kerjasama dengan Ramssol ini adalah salah satu daripadanya. 

 

"Kami mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk membuka semula ekonomi dan sektor pelancongan, justeru, kami mengambil pendekatan proaktif memulakan langkah ini dengan produk dan pakej yang diharapkan akan menjadi antara platform untuk pertumbuhan masa depan kumpulan dalam mendepani cabaran industri," jelasnya. - DagangNews.com