Skip to main content

Rexy perlu tahu sasaran peribadi pemain

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky ingin mengetahui sasaran peribadi setiap pemain kebangsaan sebaik mumalakan tugasan selaku Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1 Disember ini.

 

Dia yang pernah merangkul pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 berkata, Malaysia memiliki pemain yang cukup berkualiti namun perlu diperbaiki agar lebih konsisten.

 

"Saya perlu berbincang bersama Wong Chong Hann dan jurulatih lain dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pemain.

 

"Kalau hanya sasaran BAM, pemain hanya akan jalankan tugas sahaja dan mereka perlu ada matlamat sendiri dalam sukan ini," katanya.

 

Rexy kembali ke pangkuan BAM selepas kali terakhir berkhidmat bersama skuad kebangsaan pada 2012 selepas sembilan tahun meninggalkan Malaysia.

 

Dia yang berusia 53 tahun memberitahu, dia masih belum memiliki perancangan khusus sebaliknya mahu menjalankan tugasannya satu demi satu.

 

"Setakat ini, itulah perkara pertama yang saya akan lakukan. Ikut satu demi satu dulu, kemudian baru fikir langkah seterusnya. 

 

"Saya khuatir kalau terlalu gelojoh, ia boleh mendatangkan masalah kepada saya," katanya.

 

Rexy merupakan individu yang bertanggung jawab dalam mengangkat beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong  meraih kejuaraan All England pada 2007 dan pingat emas Sukan Asia (2006) selain menjadikan Mohd. Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari sebagai beregu No.1 dunia.-DagangNews.com