RMKe-12: Jangan lakukan kesilapan serupa lagi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 29 September 2021

RMKe-12: Jangan lakukan kesilapan serupa lagi

 

PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu bertemakan 'Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan', menarik minat semua penganalisis politik dan ekonomi di Malaysia.

 

RMKe-12 yang dibentangkan bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara.

 

RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM400 bilion dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar untuk tempoh 2021 hingga 2025.

 

Indikator RMKe-12: Pelan Pembangunan Menyeluruh

RMKe-12 ini adalah pelan pembangunan menyeluruh atas kesinambungan daripada beberapa dasar pelan pembangunan dan ekonomi utama negara yang telah umumkan sebelum ini. Antaranya:

 

  1. 8 Pakej Rangsangan Ekonomi yang berjumlah RM530 bilion
  2. Pelan Pemulihan Negara (PPN)
  3. Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0)
  4. Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA)
  5. Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia
  6. Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC)

 

RMKe-12 kali ini menggariskan 4 Pemangkin Dasar dan 9 Fokus Utama.

 

Pemangkin dasar

  1. Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5% setahun dalam tempoh 2021-2025
  2. Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025
  3. Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025
  4. Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45% kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.


 

PM

 

 

Fokus Utama

  1. Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi
  2. Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan
  3. Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia
  4. Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam
  5. Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan
  6. Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia
  7. Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun
  8. Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau
  9. Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan.

 

Semak dan Imbang RMK Terdahulu (RMKe-11)

Analisis semak dan imbang untuk RMKe-11 (2016-2020) mencatatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata 2.7% setahun, kurang daripada sasaran asal.

 

Walaupun pada awal RMKe-11, KDNK negara berkembang dengan baik namun begitu penguncupan ketara sebanyak 5.6% pada tahun 2020, meskipun negara mencapai pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 4.9% setahun dalam tempoh empat tahun pertama.

 

Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita mencapai RM42,500, atau AS$10,100  pada akhir RMKe-11. Nilai ini adalah 20% lebih rendah daripada pendapatan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

 

Terdahulu dalam RMKe-11 juga, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM248.5 bilion untuk tujuan pembangunan. Ini merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58%, sosial 26%, keselamatan dan pertahanan 11%, dan pentadbiran am 5%.

 

Tumpuan negeri dalam RMKe-11 pula tertumpu kepada enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

 

 

PM

 

 

RMK-11 tidak tercapai kerana COVID-19 ke?

Ya tau tidak?

 

Daripada semak dan imbang RMKe-11 itu, pastinya kita semua sedar RMKe-11 tidak mencapai apa yang negara sasarkan.

 

Jawapan mudahnya pastilah kerana COVID-19 adalah penyebabnya. Tidak dinafikan COVID-19 merencatkan perjalanan RMKe-11 seperti yang telah disasarkan.

 

Namun begitu, ketidakberjayaan RMK-11 juga disebabkan pelaksanaan yang lemah dan kurang berkesan yang menyebabkan pelan 5 tahun negara ini tidak tercapai.

 

Laporan Pencapaian Separuh Penggal RMKe-11 menunjukkan kebanyakan agenda pelan pembangunan lima tahun (RMKe-11) seperti KDNK, produktiviti buruh, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita dan pendapatan bulanan purata isi rumah negara tidak tercapai.

 

Makna kata, Laporan Pencapaian Separuh Penggal RMKe-11 sudah menunjukkan tanda-tanda RMKe-11 ini tidak tercapai.

 

Menurut Ketua Ekonomi EIS-UPMCS Centre for Future Labour Market Studies, Prof Madya Mohd Yusof Saari, sasaran RMKe-11 tidak dicapai walaupun selepas faktor COVID-19 sudah diketepikan.

 

Tuntasnya, kerajaan tidak boleh meletakkan ketidakberjayaan RMKe-11 ini dek kerana COVID-19 yang berlaku di penghujung RMKe-11 sebagai satu alasan yang kukuh.

 

 

PM

 

 

Penggunaan sumber yang tidak maksimum

Selain itu, ketidakberjayaan RMKe-11 ini  juga disebabkan penggunaan sumber  yang tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Negeri-negeri di Malaysia mempunyai sumber yang berbeza-beza mengikut kapasiti masing-masing.

 

Negeri yang mempunyai sumber yang baik ini sepatutnya boleh membangunkan ekonomi mereka sendiri.

 

Ruang dan peluang negeri untuk mempunyai kuasa autonomi perlu diberi kepada negeri-negeri ini namun hakikatnya kini, keputusan negeri-negeri ini masih tertakluk kepada keputusan dasar yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Hala tuju RMKe-12

Mengambil kira ketidakberjayaan RMKe-11, kerajaan pimpinan Ismail Sabri ini telah merangka pelbagai pembaharuan dalam RMKe-12 untuk meletakan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

 

Ismail Sabri “berjanji” kerajaan akan memacu KDNK negara sebanyak 4.5% hingga  5.5% setahun sepanjang RMKe-12. Selain itu, RMKe-12 juga menyasarkan pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2% pembuatan 5.7%, pertanian 3.8%, perlombongan dan kuari 2.6% serta pembinaan 4.2%.

 

Jika diteliti dengan “angka-angka” yang disasarkan ini “masuk akal” dan boleh dicapai jika pelaksanaan RMKe-12 ini dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Selain itu, tumpuan RMKe-12 pastinya untuk memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19 dengan sasaran pertumbuhan sebanyak 3.8%. Tumpuan juga turut diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang dijangka menyumbang 45% kepada KDNK dan 25% kepada eksport negara menjelang 2025.

 

 

PM

 

 

Pendekatan “Whole-of-Nation”

Bagi memastikan RMKe-12 ini berjaya mencapai sasarannya dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pengagihan hasil yang saksama, kerajaan perlu mengambil pendekatan “Whole-of-Nation” yang mana penglibatan keseluruhan entiti negara tidak kira agensi kerajaan, industri mahupun masyarakat.

 

Jika semua entiti ini sama-sama dalam menjayakan RMKe-12 ini pastinya cabaran memulihkan ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah pasti berjaya dilaksanakan.

 

Inilah masa untuk buktikan slogan “Keluarga Malaysia” ini bukan sekadar slogan semata-mata. Kebersamaan semua pihak supaya berusaha dengan sepenuh komitmen untuk membangunkan negara secara mampan bagi membolehkan setiap entiti “Keluarga Malaysia” tanpa mengira agama, bangsa dan kaum menikmati kesejahteraan hidup yang baik di negara tercinta ini.

 

Mekanisme Pengukuran Berkala

 Walaupun RMKe-12 ini kelak berjaya dilaksanakan dengan komitmen seluruh “Keluarga Malaysia”, pengukuran berkala perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan ia tercapai mengikut jangka waktu yang telah ditetapkan.

 

Langkah pengukuran ini akan meningkatkan tahap ketelusan, integriti serta semak dan imbang, selain menentukan mekanisme pengagihan yang berbeza mengikut kapasiti dan keadaan semasa.

 

Selain itu, kerajaan juga perlu mengumumkan pencapaian bagi setiap separuh tahun atau setiap tahun, peruntukan yang digunakan dan kejayaan pencapaian produktiviti  sepanjang RMKe-12 ini dilaksanakan.

 

Jika ini semua dilakukan, RMKe-12 dilihat mempunyai potensi untuk mentransformasi ekonomi Malaysia untuk menjadi negara maju dengan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita juga dijangka lebih tinggi iaitu RM57,882 atau AS$14,482 menjelang 2025. – DagangNews.com

 

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

 

Portfolio Tags