Sambut Kemerdekaan Malaysia di UAE tanpa duta? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 25 August 2022

Sambut Kemerdekaan Malaysia di UAE tanpa duta?

 

 

 

SEMPENA dengan bulan kemerdekaan, sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-65 tahun ini, ada baiknya mengetahui perkembangan rakyat Malaysia yang berada di UAE. Khasnya di Dubai yang menjadi destinasi popular untuk rakyat Malaysia bekerja serta melancong.

 

Selama 18 tahun kalau tidak balik, saya menyambut kemerdekaan di UAE. Ada meriah dengan kapasiti rakyat Malaysia bertamu dan menghadiri.

 

Menurut rekod imigresen UAE pada tahun 2016, dianggarkan 7,200 rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di UAE di mana 3,500 orang di Dubai; 3,000 orang di Abu Dhabi dan 700 orang di emiriah lain.

 

Selepas pandemik dengan pembuangan ramai pekerja mungkin kembali bertambah dengan pelbagai sektor memerlukan tambahan pekerja. Terutama di sebuah konglomerat yang merupakan kuasa teknologi pertahanan utama untuk UAE seperti dron di pinggir sempadan Saudi.

 

Kebanyakan ekspatriat Malaysia adalah dalam bidang kejuruteraan, pendidikan, telekomunikasi dan perbankan.

 

Nilai dagangan meningkat dua kali ganda kepada AS$5.4 bilion tahun lepas. UAE ialah rakan dagangan terbesar Malaysia di Timur Tengah.

 

Kita berharap Malaysia akan dapat menarik lebih banyak pelaburan daripada UAE dalam projek pembuatan berteknologi tinggi dan industri sedang pesat membangun, sambil mempromosikan dan mengeksport produk tempatan secara agresif.

 

Dengan defisit perdagangan semasa dengan UAE, perniagaan Malaysia perlu keluar secara agresif ke pasaran dan mengeksport lebih banyak produk ke UAE.

 

Ia adalah banyak bidang pasaran eksport berpotensi termasuk pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan, industri aeroangkasa, industri halal, keselamatan makanan dan tenaga boleh diperbaharui.


 

wainuiomata

 


Jumlah keseluruhan eksport bernilai RM11.447 bilion dan import pula RM12.673 bilion, jumlah dagangan keseluruhan meningkat 9.1 peratus berbanding 2020.

 

Lima eksport utama Malaysia ke UAE pada tahun 2021 adalah barangan elektrik dan elektronik berjumlah RM2.785 bilion, barangan kemas RM1.734 bilion, minyak mentah, kelapa sawit dan produk pertanian berasaskan sawit RM813.57 juta, produk petroleum RM694.85 juta serta makanan diproses RM558.21 juta.

 

Manakala lima import utama Malaysia dari UAE pula adalah produk petroleum berjumlah RM4.565 bilion minyak mentah berjumlah RM1.616 bilion, petrokimia dan produk kimia RM1.252.61 bilion, penghasilan besi RM1.018 bilion dan barang kemas RM344.51 juta.

 

Dari segi pelaburan UAE ke Malaysia sebanyak 28 projek pengilangan bernilai RM1.4 bilion telah dijalankan dan telah menghasilkan 1,704 peluang pekerjaan.

 

Antara projek-projek tersebut adalah penghasilan jentera berat, peralatan, farmaseutikal halal, penghasilan produk makanan, pengilangan produk kimia, getah, plastik dan sebagainya.

 

Sebanyak 36 pejabat telah dibuka di Malaysia, antaranya syarikat-syarikat di UAE juga telah membuka pejabat wilayah, pejabat perwakilan, ibu pejabat operasi dan hub utama.

 

Dalam aspek Pendidikan Tinggi, pejabat Education Malaysia Dubai (EM Dubai) memaklumkan pada masa ini seramai 21 pelajar Malaysia belajar di UAE.

 

Manakala seramai 843 pelajar UAE pula sedang menyambung pengajian di Malaysia.

 

EM Dubai melihat peluang dan potensi dalam menarik pelajar-pelajar UAE adalah sangat besar dan luas. Selain pelajar tempatan UAE, potensi yang dimaksudkan juga adalah anak-anak ekspatriat yang bekerja. Anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah antarabangsa menjadi satu peluang yang sedang diterokai oleh EM Dubai.

 

Aktiviti promosi juga telah dijalankan di sekolah-sekolah antarabangsa di UAE dan memperkenalkan Pendidikan Tinggi Malaysia.


 

wainuiomata

 


Bagi aspek pelancongan, pejabat Tourism Malaysia Dubai (TM Dubai) memaklumkan seramai 11,174 pelancong dari UAE melawat Malaysia pada 2019.

 

Walaubagaimanapun pada tahun 2020 dan 2021, jumlah pelawat dari UAE menurun secara mendadak berikutan pandemik Covid-19 telah menutup sempadan negara bagi membendung dan membanteras penularan wabak tersebut.

 

Tidak banyak syarikat Malaysia atau syarikat kepunyaan warga Malaysia yang beroperasi di Dubai. Antara syarikat Malaysia yang berkembang adalah antara lain PETRONAS, Eversendai, Serba Dinamik, Edgenta, Amanie Advisors, Daily Fresh, Papa Roti dan Marry Brown.

 

Banyak juga produk Malaysia yang berjaya menembusi pasaran UAE, antaranya Alicafe, jagung Daily Fresh dan pau Ahmad. Produk seperti sos Kimball menjadi sebahagian dari menu harian terutama di restoran. Manakala ada rangkaian restoran 'mamak' dan sebuah restoran Melayu 'Nur Malaysia' yang dipunyai sepenuhnya oleh warga Malaysia.

 

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai yang turut menempatkan agensi-agensi kerajaan seperti MATRADE, MIDA, Pejabat Perwakilan PERTANIAN, Education Malaysia, Tourisme Malaysia dan Malaysian Timber Council.

 

Antara isu yang menarik ialah pandangan terhadap warga Malaysia pada keseluruhannya masih di tahap terbaik dengan rekod yang cemerlang. Walaupun ada kes jenayah melibatkan warga Malaysia terutama kegiatan yang berkaitan jenayah kewangan termasuk penggunaan kad kredit palsu, tiada penglibatan jenayah berat lain direkodkan. Sehingga Julai 2017, hanya terdapat seramai empat orang warga Malaysia yang masih berada dalam penjara di Dubai dan Emiriyah Utara.

 

Satu lagi isu yang menjadi hangat ialah mengenai taraf penerimaan produk dengan logo Halal JAKIM sewaktu sebelum saya pulang. Pihak berkuasa di Dubai telah memulakan inisiatif Halal Dubai dalam memastikan produk yang diimport menepati piawaian tempatan. Bermula dengan daging yang diimport terutama dari Brazil, Thailand, China, New Zealand dan Australia.

 

Entiti piawaian persekutuan UAE, Emirates Authority For Standardization and Metrology (ESMA) kini bekerjasama rapat dengan JAKIM bagi pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak. Ini adalah inisiatif yang positif bagi meningkatkan jumlah dagangan produk Halal di antara Malaysia dan UAE.

 

Dubai sentiasa berusaha keras meningkatkan pelaburan berterusan infrastruktur logistik bagi menyokong komuniti perniagaan dan perdagangan. Langkah ini meluaskan kemasukan produk halal dari Malaysia dan perlu diambil peluang sebaiknya.


 

wainuiomata

 


Banyak cerita kejayaan lebih banyak cerita kegagalan. Begitupun potensi pasaran UAE masih lagi besar akan tetapi syarikat-syarikat Malaysia perlu memahami kehendak dan dinamik pasaran yang begitu kompetitif yang syarikat-syarikat pembekal asing sentiasa bertungkus lumus mencari peluang.

 

Strategi pergantungan sepenuhnya kepada pengimport atau ejen bagi peluasan pasaran sudah dianggap lapuk dan perlu diubah. Syarikat Malaysia yang ingin melantik ejen perlu meneliti klausa kontrak dengan rapi bagi mengelakkan kesan negatif sekiranya ketidaksefahaman berlaku di kemudian hari.

 

Antara masalah utama untuk produk Malaysia masuk ke pasaran UAE ialah pemasaran yang kurang baik serta banyak syarikat mengharapkan rakan kongsi atau agen di UAE untuk menjual. Ada juga yang tertipu kerana agen selalunya mahukan hak eksklusif dan gagal menepati janji.

 

Kita berharap kongolemarat pasaraya seperti LuLu akan membantu.

 

Kos beroperasi dan pengembangan pasaran di UAE adalah tinggi berbanding Malaysia. Syarikat-syarikat Malaysia yang berminat akan pasaran UAE perlu menyediakan dana pemasaran secukupnya di samping memastikan kapasiti pengeluaran adalah mencukupi dan konsisten.


 

wainuiomata

 


Banyak syarikat Malaysia juga yang tidak mampu menghantar jumlah tempahan dan kurang dana pemasaran. Sekurang-kurangnya ada modal pusingan untuk bertahan paling kurang enam bulan, terbaik kalau dapat menampung selama tiga tahun.

 

Namun tindakan memanggil pulang Duta Besar ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai menyebabkan jawatan kanan tersebut masih kosong. Dari laporan media, ia disebabkan mereka gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu.

 

Diharapkan kerajaan mengambil tindakan segera kerana tiada hari kemerdekaan Malaysia di UAE tanpa Duta dan Konsul Jeneral. 

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags