Sasar 1 juta peniaga guna DuitNow QR akhir 2022 | DagangNews Skip to main content

Sasar 1 juta peniaga guna DuitNow QR akhir 2022

Salah seorang peniaga di Pasar Payang, Terengganu menunjukkan perkhidmatan DuitNow QR di gerainya. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 23 April - Payment Networks Malaysia (PayNet) menyasarkan sejuta perniagaan akan menggunakan perkhidmatan DuitNow QR menjelang akhir 2022. 

 

Pengarah Perkhidmatan Pembayaran Runcit, Khairuan Abdul Rahman berkata, sejak dilancarkan pada suku ketiga 2019, lebih 600,000 peniaga menggunakan perkhidmatan tersebut.

 

Malah, katanya, menerusi JomPAY, lebih 8,000 perniagaan yang kini merupakan JomPAY Billers.

 

"Walaupun usia produk ini 'masih setahun jagung', tetapi sambutan positif yang kami terima dalam tempoh singkat ini, amat menggalakkan. 

 

"Ini memberi keyakinan kepada kami untuk terus menyediakan kemudahan penyelesaian pembayaran yang memenuhi keperluan perniagaan," katanya kepada DagangNews.com baru-baru ini.

 

Khairuan Abdul Rahman
Khairuan Abdul Rahman

 

 

DuitNow QR adalah perkhidmatan bayaran yang disediakan PayNet bagi memudahkan pembayaran Point of Sale (POS) atau Person to person (P2P) dengan mengimbas kod QR yang mematuhi DuitNow National QR Standard. 

 

Ia membolehkan bayaran dibuat menggunakan kod QR daripada bank dan pemain e-dompet yang terlibat.

 

Menurut Khairuan, lebih 50% atau hampir 700 peniaga di Pasar Payang, Terengganu telah mula menggunakan perkhidmatan ini yang disediakan pemerolehan masing-masing seperti Maybank, CIMB dan Touch N Go. 

 

"Di samping itu, kami juga mempunyai beberapa inisiatif dengan Public Bank yang mana lebih 1,500 peniaga di pasar basah Pulau Pinang menggunakan DuitNow QR. 

 

"Kami sangat berharap, para peniaga ini dapat menikmati kemudahan dan keselamatan yang disediakan DuitNow QR bagi meningkatkan perniagaan mereka," tambahnya. 

 

Beliau juga memberikan contoh penggunaan perkhidmatan ini di Hospital KPJ yang mana ia membolehkan pembayaran dibuat bagi menempah slot pemeriksaan COVID-19 menerusi pandu lalu. 

 

Rembau Digital pula, katanya, masih di peringkat perbincangan bagi menggalakkan peniaga menawarkan perkhidmatan DuitNow QR ini sebagai pilihan pembayaran. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, masih terdapat kurangnya kesedaran mengenai kaedah operasi DuitNow QR kepada peniaga dan juga pelanggan.

 

"Ada peniaga yang mempamerkan pelbagai kod QR walaupun mereka mempunyai 'satu kod QR untuk semua' iaitu DuitNow QR. 

 

"Hakikatnya, mereka hanya perlu meletakkan 1 kod ini sahaja untuk menerima bayaran dari semua bank atau pelanggan e-dompet," jelasnya.

 

 

DuitNow

 

 

Mengenai perancangan masa depan, Khairuan berkata, syarikat akan bekerjasama dengan institusi perbankan dan penyedia perkhidmatan e-dompet bagi mencapai sasaran tersebut.

 

Katanya, pihaknya dalam masa terdekat akan memperkenalkan fasa seterusnya dalam inovasi pembayaran dengan bank dan pemain e-dompet untuk DuitNow Request, DuitNow Online Banking/Wallet dan juga DuitNow AutoDebit untuk pasaran Malaysia. 

 

"Selain itu, kami juga dalam persediaan ke arah transaksi merentasi sempadan dengan negara-negara jiran yang lain. 

 

"Kami akan bermula dengan Thailand dan tidak lama lagi ke Indonesia dan India," katanya.

 

Mengulas mengenai sejauh mana penggunaan tanpa tunai setakat ini, beliau berkata, berdasarkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Malaysia dalam kedudukan yang lebih baik berbanding 71% negara di rantau Asia Timur dan Pasifik.

 

"Tetapi, kita belum lagi mencapai tahap seperti di Australia, Jepun mahupun Korea memandangkan pendapatan purata per kapita penduduk di negara-negara ini lebih tinggi," jelasnya. 

 

Dengan melihat kepada statistik e-bayaran oleh Bank Negara Malaysia, pengguna perbankan internet meningkat 13% secara purata manakala pengguna mudah alih pula berkembang 23% dari 2017 hingga 2020.

 

Secara dasarnya, penggunaan e-dagang semakin melonjak sejak pandemik COVID-19. Peralihan ini seiring dengan transaksi lebih tinggi dalam e-dagang, dengan mengambil kira pembayaran tanpa sentuh dan menggalakkan penjarakkan sosial. 

 

"Malah, dengan mengimbas kod QR juga sudah tidak asing lagi bagi kita semua," tambahnya lagi. 

 

Ia dapat dilihat apabila transaksi FPX meningkat lebih 100% berbanding setahun sebelum wabak itu menular di seluruh dunia.

 

"Maka, tidak hairanlah jika DuitNow QR juga mendapat sambutan positif dalam kalangan pengguna Malaysia yang mana transaksi pada 2021 setakat ini hampir melepasi 50% daripada transaksi tahun lalu, yang mana kami lihat semakin ramai lebih yakin menggunakan kod QR ini," jelas beliau. - DagangNews.com