Searce sedia kepakaran bantu proses digitalisasi syarikat tempatan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Searce sedia kepakaran bantu proses digitalisasi syarikat tempatan Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - Syarikat penyelesaian awan, kecerdasan buatan (AI) dan analisis data, Searce berhasrat untuk membantu proses digitalisasi syarikat tempatan di Malaysia bagi membolehkan perniagaan itu berkembang dengan mampan dalam norma baharu.

 

Kajian Bank Dunia mendapati, perniagaan Malaysia tidak memiliki keupayaan untuk bergerak melepasi fasa asas pendigitalan kerana kekurangan pengalaman dengan sistem pengkomputeran awan lanjutan, hanya 6.3% berjaya meneroka bidang itu dengan kaedah yang betul.

 

Pengurus Searce Cawangan Malaysia, Ravi Paul berkata, sekiranya masalah tersebut tidak diatasi, ia akan menyebabkan perniagaan menghadapi risiko terperangkap daam sistem sedia ada dan sekirnaya mereka berhenti pada tahap asas digitalisasi, kos untuk menanggung dan menyelenggara sistem berkenaan adalah mahal dan penggunaannya tidak optimum.

 

Katanya, perkara itu juga akan memberi kesan kepada syarikat yang berakhir dengan kerugian serta penutupan syarikat.

 

"Pemodenan infrastruktur merupakan kunci bagi memaksimumkan potensi teknologi awan. 

 

"Perisian yang tepat, dipadankan dengan pasukan sokongan khas, dapat menambah baik kecekapan perniagaan dengan kos yang rendah terutama dengan pembukaan semula ekonomi serta persaingan pasaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

searce

 

Searce menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk digitalisasi yang komprehensif, termasuk pemodenan awan, data dan analisis, penggunaan AI, kejuruteraan perisian, pemodenan tempat kerja, dan kecerdasan lokasi. 

 

Kesemua penyelesaian ini diperibadikan bagi memenuhi keperluan perniagaan setiap pelanggan untuk hasil yang lebih berkesan. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Searce, Hardik Parekh berkata, pihaknya komited dalam menyesuaikan setiap penyelesaian digital bagi menepati model perniagaan setiap pelanggan.

 

"Searce berharap untuk melabur lebih banyak dalam pasaran tempatan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantau ini, melalui penambahbaikan infrastruktur awan untuk sektor awam serta swasta," katanya. - DagangNews.com