Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Irsyad - 17 December 2021

Sedekah dapat hapuskan dosa sebagaimana air padamkan api

 

 

 

SEDEKAH berasal dari perkataan Arab ‘sadaqa’ yang bermaksud benar. Justeru, amalan sedekah jika dikaitkan dengan keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT sudah tentu perlu kepada pembuktian yang benar iaitu mengeluarkan harta di jalan Allah.

 

Menurut istilah, sedekah adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan secara sukarela dan ikhlas tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Pemberian sedekah boleh dilakukan dan ditujukan kepada golongan fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan fi sabilillah.

 

Sedekah tidak hanya bererti mengeluarkan atau menyumbangkan harta sahaja, bahkan mencakupi segala amal atau perbuatan baik.

 

Saranan Allah SWT supaya bersedekah ada dinyatakan dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia” (Surah al-Hadid: 18).

 

irsyad

 

Selanjutnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir" (Surah Al-Baqarah: 264).

 

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah An-Nisa’ : 114).

 

irsyad

 

Terdapat pelbagai hikmah dan kelebihan bersedekah yang akan diperoleh oleh seseorang yang melazimi amalan sedekah dalam kehidupan.

 

Pertama, menghapuskan dosa dan kesalahan. Bersedekah berpeluang menghapuskan dosa dan kesalahan yang sering dilakukan oleh manusia dalam kehidupan seharian. Berterusan dalam keadaan berdosa dan bersalah menjadikan seseorang gelisah dan dihambat perasaan tidak tenang.  

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api” (Riwayat al-Tirmizi).

 

Kedua, mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Peluang mendapatkan pahala berganda telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hambaNya yang bersedia melakukan amalan sedekah.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah maha luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya” (Surah al-Baqarah: 261).

 

Ketiga, menjauhkan seseorang dari azab api neraka. Perlindungan dan keselamatan dari sengsara azab Allah SWT boleh diusahakan melalui amalan sedekah.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma” (Riwayat Ahmad).

 

Keempat, harta yang dimiliki tidak berkurang. Secara logik harta yang telah disedekahkan akan berkurangan, tetapi Allah SWT memberi keberkatan terhadap baki harta yang dimiliki dengan pelbagai cara seperti diberi kesihatan, tidak hilang, selamat dari ditimpa musibah dan sebagainya sehingga menyebabkan terasa nikmat kecukupan bahkan berlebihan terhadap harta tersebut.  

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah, dan seorang hamba yang pemaaf pasti Allah akan tambahkan kemuliaan baginya” (Riwayat Muslim).

 

irsyad

 

Demikianlah, hikmah dan manfaat melakukan amalan sedekah yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

 

Namun, cabaran sedekah ialah perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapat pujian serta sanjungan daripada masyarakat sekeliling atau sekurang-kurangnya ada yang mengetahui serta memerhati kebaikan yang telah dilakukan tersebut.

 

Perlu ditegaskan dan diambil perhatian bahawa sedekah kecil dengan hati yang ikhlas akan diterima oleh Allah, manakala sedekah yang banyak tetapi dipenuhi rasa sombong dan riak akan ditolak oleh Allah SWT. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

 

Portfolio Tags