Selepas positif COVID-19, anda tidak boleh buat dokumen perancangan harta? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 9 August 2021
WasiyyahShoppe

SELEPAS POSITIF COVID-19 ANDA TIDAK BOLEH BUAT DOKUMEN PERANCANGAN HARTA?

 


 

LEBIH 20,000 kes positif dicatatkan setiap hari di Malaysia semenjak kebelakangan ini. Jumlah kematian harian pula melebihi 200 orang. Keadaan sangat menakut dan membimbangkan untuk kita.

 

Di media sosial setiap hari, kita mendengar berita orang yang kita kenali seperti ahli keluarga, rakan, teman sepejabat dan jiran meninggal dunia akibat COVID-19. Video ambulan yang lalu di hadapan rumah sambil dilambai ahli keluarga yang kesedihan, merobek-robek hati kita.

 

Di musim COVID-19 ini nyawa kelihatannya sangat rapuh sekali. Beberapa hari lepas kita berbual dengan ahli keluarga, hari ini dia sudah tiada. Moga Allah segera angkat dan hapuskan virus ini dari muka bumi dan sementara waktu itu, memelihara kita dari jangkitannya. Jangan lupa untuk jaga keselamatan dan kesihatan masing-masing.

 

Minggu ini, saya nak cerita tentang kesan COVID-19 kepada perancangan harta secara spesifiknya dokumen hibah. Bolehkah orang yang telah positif COVID-19  membuat dokumen hibah? Adakah dokumen mereka akan terkesan?

 

Persoalan ini ada kaitan dengan prinsip marad al mawt di dalam urusan penghartaan umat Islam terutamanya di dalam urusan hibah. Dari segi Bahasa marad itu maksudnya sakit dan al-mawt itu maksudnya mati. Prinsip ini membawa maksud penyakit yang dihadapi oleh seseorang sehingga membawa kepada kematiannya.

 

Huraian tentang marad al-mawt ini banyak diperincikan oleh ulama besar seperti Al-Zuhayli malah dijelaskan juga di dalam enakmen seperti Enakmen Wasiat Pahang, Enakmen Wasiat Sabah dan Enakmen Wasiat Selangor.

 

Secara umumnya kesemua pandangan bersetuju bahawa ciri utama marad al-mawt ialah ia merupakan penyakit yang dihadapi secara berterusan oleh si pesakit, menganggu fikirannya  dan penyakit itu akhirnya membawa kepada kematiannya di dalam tempoh setahun. Sebelum COVID-19  menyerang, antara penyakit yang selalu diklasifikasikan sebagai marad al-mawt ialah kanser.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

SENARIO PESAKIT KANSER

Apabila seseorang itu telah disahkan menghidap kanser, dia mengetahui tentangnya, dia risau memikirkan prospek kematiannya dan kesihatannya semakin merosot akibat penyakit itu sehingga akhirnya dia mati kerana penyakit itu di dalam tempoh setahun dari didiagnos, ini dianggap sebagai marad al-mawt.

 

Dari segi hukum syarak, sekiranya dia membuat hibah pada ketika dia telahpun berada di dalam situasi ini, jika hibah itu dicabar di atas prinsip marad al-mawt, maka hibah itu boleh terbatal. Jika hibah itu terbatal, maka harta itu menjadi harta pusaka dan merupakan hak waris-waris mengikut hukum faraid. Maka tidak tercapailah hasrat simati tadi menghibahkan hartanya kepada penerima hibah.  

 

Logik kenapa hukum menetapkan sedemikian ialah kerana simati itu  hanya bertindak untuk membuat hibah apabila dia telah mengetahui tentang penyakitnya itu dan prospek kematiannya.

 

Jika dia sedang sihat, dia  mungkin tidak membuat hibah itu. Tindakannya pada ketika ini dianggap seolah-olah dia cuba melarikan hartanya dari hukum faraid. Sebab itulah sejak sekian lama Wasiyyah Shoppe sentiasa mempromosikan kalau nak buat hibah, buatlah ketika kita masih sihat wal-alfiat untuk mengelakkan risiko marad al-mawt ini.

 

SENARIO PESAKIT COVID-19

Bagaimana pula keadannya jika dia sudah disahkan positif COVID-19  dan selepas itu baru dia ingin membuat hibah? COVID-19  ialah penyakit baru dan setakat pengetahuan saya belum ada kes di Mahkamah Syariah di mana penyakit ini diisytiharkan sebagai marad al-mawt bagi ‘subject matter’ hibah.

 

Seorang sahabat yang mempunyai anak angkat menceritakan kepada saya betapa takutnya dia ketika bakal ditidurkan kerana COVID-19  tahap 5 yang dihadapinya. Masa tu katanya terlintas wajah saya di fikiran kerana dia sudah lama mahu merancang harta dengan Wasiyyah Shoppe tetapi tidak sempat kerana terlalu sibuk. Sesalan tidak terhingga katanya sebab bimbang dia tidak akan bangun semula dan tak sempat membuat hibah untuk anak angkatnya.  

 

Jadi apa yang dibuatnya ialah  sekadar membuat video call kepada isteri dan anak angkatnya serta membuat wasiat mulut sahaja. Alhamdulillah dia antara segelintir kecil pesakit COVID-19  yang pulih semula selepas ditidurkan. Sebaik sembuh, dia terus membuat perancangan harta dengan Wassiyah Shoppe Berhad.

 

Bagi orang yang sudah positif COVID-19, memang terdapat risiko hibah yang dibuatnya akan terbatal sekiranya dia meninggal dunia akibat penyakit itu di dalam tempoh setahun dari disahkan positif. Melihat kepada senario pandemik hari ini, prospek kematian dalam tempoh setahun bagi pesakit COVID-19  ini adalah sangat besar. Dalam erti kata lain, terdapat risiko dokumen hibah anda akan terbatal sekiranya ia dibuat selepas anda disahkan positif COVID-19.

 

Bagaimana pula keadaan bagi orang tidak menghidap  COVID-19, membuat dokumen hibahnya dan beberapa bulan selepas itu  barulah dia terkena COVID-19  seterusnya meninggal dunia beberapa minggu selepas itu.  Adakah dokumen hibah mereka sah?

 

Pada pandangan saya (mungkin orang lain ada pandangan berbeza), oleh kerana dokumen hibah itu dibuat ketika dia  sihat wal-afiat dan  sebelum dia menghidap penyakit itu, maka dokumen hibahnya adalah sah walaupun dia meninggal dunia di dalam tempoh kurang setahun dari tarikh dia membuat dokumen hibah.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

BUAT HIBAH SEMASA SIHAT SEKARANG

Jadi kesimpulannya para pembaca sekelian, jika anda ingin membuat hibah, buatlah sekarang ketika anda belum lagi disahkan positif COVID-19.  Dari trend semasa adalah sangat nyata bahawa kebarangkalian untuk kita terkena penyakit ini adalah amat tinggi sekali. Ia sudahpun ‘sporadic’ di dalam masyarakat. Jumlah kes yang semakin banyak adalah bukti jelas realiti ini.

 

Nyatakanlah hasrat pembahagian harta anda kepada orang-orang yang disayangi di dalam dokumen hibah itu. Selagi dokumen itu dibuat dalam keadaan anda masih sihat wal-afiat, In shaa Allah ia akan terlaksana. Sekiranya anda sudahpun disahkan positif COVID-19  dan  berada pada tahap akan ditidurkan, hibah sudah berisiko untuk dibuat kerana mungkin tidak berkuatkuasa. 

 

Pada ketika anda berada dalam keadaan ini, anda hanya boleh membuat wasiat sahaja. Tetapi anda perlu faham juga hukum wasiat mengikut hukum syarak. Wasiat anda ini hanya sah jika ia melibatkan pemberian 1/3 kepada bukan waris sahaja. Jika anda berwasiat kepada waris seperti pasangan dan anak-anak, wasiat itu hanya sah jika dipersetujui oleh semua waris selepas kematian anda.  Anda tiada pilihan kecuali membuat hibah jika hasrat pembahagian harta anda ialah kepada waris-waris. 

 

Sejak COVID-19  menyerang, dari pemerhatian, saya dapati bahawa permintaan untuk membuat hibah melonjak lebih 100%. Masyarakat mulai sedar bahawa maut itu sangat dekat. Geng ‘lambat lagi nak mati’ seperti yang saya ceritakan dalam artikel yang lepas-lepas, kelihatannya sudah pupus.

 

BACA JUGA : BERDEPAN MENTALITI GENG  LAMBAT LAGI NAK MATI

 

Tetapi janganlah bertangguh membuat hibah kerana bimbang jika anda sudah terkena COVID-19, dokumen hibah anda mungkin tidak berkuatkuasa akibat prinsip marad al-mawt.  

    

 

ariffinsabirin
TN Hj Ariffin Sabirin merupakan Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

        

       

    

Portfolio Tags