Seni dan budaya penting bagi hala tuju identiti Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 27 November 2021

SENI DAN BUDAYA PENTING BAGI HALA TUJU IDENTITI MALAYSIA

 


 
DUA festival, satu di negeri Cik Siti Wan Kembang dan satu lagi di bandar raya Kuala Lumpur bulan ini mengangkat kepentingan Seni dan Budaya dalam kesinambungan Negara setelah sekian lama dalam cengkaman pandemik.
 

Kelantan Exchange 2021

Kelantan Exchange 2021, Malaysian Craft Council (MCC) di Kota Bharu, Kelantan telah pun berakhir minggu lepas – salah satu program bertujuan untuk ‘kick-start’ dan mengetengahkan keunikan Dunia Melayu melalui tema Ilusi Langkasuka.


 
Mungkin ada yang tertanya-tanya – mengapakah Kelantan Exchange 2021 mengambil tema Ilusi Langkasuka? Namun perkaitan Kelantan dan Langkasuka amat erat dapat dikesan melalui hikayat dan sejarah lama.

 


 

hikayat


 

Pada abad ke 13, Raja Sang Tawal memerintah Langkasuka dan Singgora sebuah Empayar Melayu yang tersohor hingga ke negeri China. Putera puteri Raja Sang Tawal merupakan Raja Bharubhasa dan Puteri Arduga Wijayamalai.

 

Raja Bharubhasa membuka Empayar Cermin (di kawasan Indo-China) namun apabila diserang Ayuthia, Baginda kembali memerintah di Kelantan.

 

Adindanya pula, Arduga Wijamalai yang dikatakan pernah bertemu dengan Ibnu Batutta, pengembara Islam abad ke 13, juga terkenal mengetuai barisan penyerang wanita membela Langkasuka dan telah berjaya  membunuh Raja Ram Khamheang sewaktu Raja Siam itu cuba melanggar Langkasuka.

 

Di sini kita melihat bagaimana satu program dapat mendekatkan kita dengan sejarah bangsa yang hampir pupus. Itulah kepentingan program sebegini.

 

Program Ilusi Langkasuka berlangsung tiga malam dan pada setelah selesai persembahan Makyung pada malam kedua, pada keesokan harinya kami disajikan Bekwoh (atau Kenduri) Ilusi Langkasuka yang sungguh memukau dari segi keunikan rasa, rupa dan gaya, disantuni persembahan musik tradisional.

 

Tak kurang pula mengasyikkan adalah persekitaran pohon hijau yang rendang serta buluh meninggi – saya terasa seolah olah di dalam sebuah hikayat lama Hikayat Seri Kelantan.

 

Pada malam ketiga, penyampaian Creative Award 2021 untuk Mohd Hazlami Harun, amat bermakna melestarikan penglibatan beliau sebagai penari serta pemuzik Rebana Kercing sejak 1997 dalam kesenian bersama keluarga.

 


 

hikayat

 

 

Sesungguhnya, initiatif MCC ini boleh dijadikan satu daripada aspirasi halatuju Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan agar memperhalusi dan menggunakan sepenuhnya kekuatan seni budaya tradisi dalam bentuk persembahan, saji-sajian, tari-tarian dan bunyi-bunyian di dalam produk pelancongan samada persembahan, kraf dan pengalaman yang unik, lain dari yang lain.

 

Paling penting, sesi forum membincangkan The Lost Art of Rebana Kerching oleh Rebana Conservation AFCP UMK, kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur melalui geran AFCP, sesi perkongsian Glory of Langkasuka dan Tekstil merupakan intipati program yang amat mendalam dan lebih bermakna untuk perkongsian ilmu. Di samping itu sesi workshop dan bengkel di ruang legar terus menceriakan diskusi merakyatkan seni dan budaya.


 
KLWKND merakyatkan Seni dan Budaya di Downtown KL

 
Pada minggu ini pula, KLWKND di bawah arahan Joe Sidek dibawakan oleh CENDANA menyemarakkan Kuala Lumpur di mana lebih 40 program seni dan budaya diadakan di tujuh lokasi utama Downtown KL.

 

Antara salah satu program pilihan saya tentunya OPERA SERIKANDI NUSANTARA, yang telah membuka tirai KLWKND pada 25 November 2021. Uniknya, Opera ini mengambil inspirasi dari Hikayat Puteri-Puteri Melayu zaman silam.

 

Opera Serikandi Nusantara merupakan sebuah opera muzikal vokal, piano dan koir yang disusun oleh pemuzik diiktiraf dunia antarabangsa, Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin.

 

 

hikayat
Penulis bersama Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin

 

 

Opera ini telah mempersembahkan kombinasi muzik tradisional Melayu seperti Mak Yong, Menora, Wayang Kulit dan gamelan digabungkan dengan elemen opera seperti ensembel koir bagi menceritakan kisah-kisah lagenda wanita dan puteri-puteri Melayu seperti Puteri Gunung Ledang, Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong, Puteri Santubong, Huminodun, Ulek Mayang dan Tun Fatimah.


 
Sesungguhnya, persembahan lagu rakyat begitu serasi dan seolah-olah membawa penonton ke alam nostalgia begitu indah. Persembahan gemilang dari UiTM Chamber Choir yang diketuai oleh Dr. Masashi Kishimoto membawakan Ulek Mayang, Enjit Enjit Semut dan Jong Jong Inai bersama Khairunnisa Diyana Md Noor (vokal – soprano), Chaing Yi Ling (Vokal – mezzo-soprano), Dr Phang Kong Chien (vokal – tenor) bersama Dr. Bernard Tan (Piano) amat mengasyikkan.

 


 

hikayat
Chaing Yi Ling berbusana Puteri Saadong lengkap begitu menawan! 

 

 

Malah Penglipurlara memperkenalkan setiap persembahan begitu bertenaga dan penuh ‘passion’ dalam penceritaannya!

 

Selain Opera Serikandi Nusantara, program KLWKND melibatkan The Light Project dan juga menyajikan beberapa program menarik dan percuma bagi orangramai iaitu Bamboo House di Godown KL, Best of Malaysia Craft dan persembahan wayang kulit dan persembahan dram oleh Kicau Bilau di Pasar Seni, Art of Film persembahan seni filem oleh Amir Muhammad, Memperkenalkan Sasterawan Negara di Panggung Bandaraya mempersembahkan bacaan oleh Sasterawan Negara Tersohor.

 

 

hikayat

 


Festival ini juga mempamerkan LOVE MY (Malaysia) Batik iaitu lukisan batik dari koleksi peribadi dan awam, di mana terdapat juga acara lukisan mural batik.


 

Pemenang MCC Creative Awards, Mohd Hazlami Harun
Pemenang Anugerah Kreatif MCC, Mohd Hazlami Harun

 

 

Semoga usaha sebegini oleh MyCreative Ventures, CENDANA, Tourism Malaysia, Yayasan Hasanah, UNESCO, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Malaysian Craft Council dan lain-lain badan pencinta Seni dan Budaya serta pihak swasta, persembahan sebegini bakal mengangkat mertabat Seni dan Budaya ke arah yang lebih cemerlang.

 

Adalah diharapkan Dunia Hikayat terus mengilhamkan karya seni di masa akan datang.


 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

 

Portfolio Tags