Skip to main content

Serbegeth Singh meninggal dunia akibat sakit jantung pada usia 61 tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih mesra dengan panggilan Shebby Singh meninggal dunia pada usia 61 tahun dipercayai akibat serangan jantung ketika sedang berbasikal, petang tadi.

 

Dipercayai mendiang mengalami sesak nafas sebelum dilaporkan meninggal dunia.

 

Shebby memulakan kerjaya di gelanggang bola sepak sebagai pemain bahagian pertahanan dan pernah menyarung jersi kebangsaan selama sembilan tahun antara tahun 1982 hingga 1991.

 

Selain itu, mendiang juga pernah beraksi bersama pasukan Johor sebelum menyertai pasukan Kuala Lumpur dan memenangi trofi Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut pada tahun 1987 hingga 1989.

 

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan dan Pahang sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak FA pada tahun 1996.

 

Selepas bersara sebagai pemain, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan pernah berkhidmat selaku jurulatih MyTeam pada 2006.

 

Pada 2007, Shebby dilantik sebagi penasihat teknikal Melaka TMFC selain menjadi jurulatih selama setahun selepas Irfan Bakti Abu Salim dipecat.

 

Bukan sahaja pernah berkhidmat dalam mengendalikan pasukan kebangsaan, bahkan mendiang juga adalah Penasihat Global Blackburn Rovers pada 2012 selain menjadi penganalisis dalam rancangan televisyen rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com