SFP Tech sasar kumpul RM62.23 juta daripada IPO untuk bina kilang, beli peralatan baharu | DagangNews Skip to main content

SFP Tech sasar kumpul RM62.23 juta daripada IPO untuk bina kilang, beli peralatan baharu

KUALA LUMPUR 26 Mei - Penyedia penyelesaian kejuruteraan dan automasi bersepadu, SFP Tech Holdings Berhad merancang untuk mengumpulkan hasil RM62.23 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) apabila disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Jun 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Chang Chee Jia berkata, daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM24.5 juta akan digunakan untuk membeli mesin serta peralatan baharu manakala RM15 juta bagi pembinaan kilang ketiganya dan RM10 juta untuk bayaran balik pinjaman bank.

 

"Kilang pembuatan ketiga di Pulau Pinang, terdiri daripada kilang setinggi tiga tingkat dan rumah gudang dengan bangunan pejabat tiga tingkat, akan digunakan bagi aktiviti pemesinan kawalan berangka komputer (CNC) serta pusat reka bentuk dan pembangunan (D&D).

 

"Pembinaan kilang itu dijangka selesai pada akhir suku kedua 2022 dan beroperasi penuh menjelang suku keempat 2022," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

Chee Jia berkata, syarikat itu juga akan membeli mesin pemotong dan penebuk laser baharu serta 41 mesin pengilangan baharu CNC bagi tempoh tiga tahun akan datang, yang akan meningkatkan pengeluaran pembuatan maksimum sebanyak 35.9% kepada 498,465 jam setahun daripada 366,795 ketika ini.

 

Menurutnya, baki hasil itu akan digunakan bagi perbelanjaan modal kerja (RM5.13 juta), pusat reka bentuk dan pembangunan (RM4.6 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM3 juta).

 

"Kumpulan terus melabur dalam mesin dan peralatan canggih untuk mengembangkan rangkaian produk dan perkhidmatannya dengan menambah produk lebih kompleks dan produk lebih besar dengan ketepatan tinggi serta dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan daripada pelbagai industri.

 

"Pada 29 April 2022, nilai perolehan kontrak kami adalah sebanyak RM20.2 juta, sebahagian besarnya disumbang daripada syarikat multinasional," katanya.

 

IPO itu membabitkan terbitan awam sebanyak 207.44 juta saham baharu sebanyak 40 juta bagi orang awam Malaysia; 24 juta bagi pengarah yang layak, kakitangan dan sekutu perniagaan; 100 juta bagi pelabur Bumiputera dan 43.4 juta bagi pelabur terpilih.

 

Berdasarkan kepada harga terbitan 30 sen sesaham dan modal saham diperbesar sebanyak 800 juta saham, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM240 juta bagi penyenaraian.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM50.41 juta dan cukai selepas cukai RM19.42 juta. - DagangNews.com