Skandal LCS: SPRM lengkapkan siasatan, kertas siasatan kini pada Pejabat Peguam Negara | DagangNews Skip to main content

Skandal LCS: SPRM lengkapkan siasatan, kertas siasatan kini pada Pejabat Peguam Negara

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 11 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu-individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

 

"Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

 

"Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan. 

 

Beliau berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan yang sedang dalam siasatan SPRM dan perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada Rabu.

 

"Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat ini untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Fakta-fakta skandal kapal tempur pesisir pantai LCS untuk anda faham

 

"Pada masa sama, mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum," katanya dalam kenyataan. - DagangNews.com