SME Bank XCESS 2022 buka peluang kepada PMKS tembusi pasaran antarabangsa | DagangNews Skip to main content

SME Bank XCESS 2022 buka peluang kepada PMKS tembusi pasaran antarabangsa

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - SME Bank, melalui Program Jaringan SME Bank XCESS 2022 membuka peluang baharu kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran antarabangsa melalui penglibatan rakan dagangan dari Thailand, Jepun serta akses ke pasaran ASEAN.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, prestasi eksport PMKS pada 2021 kembali menunjukkan peningkatan dengan mencatatkan sumbangan 11.7% daripada jumlah keseluruhan eksport negara. 

 

Beliau berkata, secara keseluruhannya, eksport sektor PMKS telah meningkat kepada 5.4% dengan nilai sebanyak RM124.3 bilion.

 

“Tindakan membawa masuk rakan dagangan luar negara adalah langkah yang tepat dan semua PMKS yang menyertai SME Bank XCESS 2022 ini harus merebut peluang ini untuk memasuki pasaran baru dengan lebih cepat dan berkesan. 

 

"Tambahan pula, platform dalam talian ASEAN Access akan memberi saiz pasaran yang amat luas untuk usahawan PKS negara terokai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

SME Bank XCESS 2022 diisi dengan empat teras tambahan iaitu akses kepada pembiayaan dan program-program pembangunan usahawan serta perkhidmatan menyeluruh yang ditawarkan oleh Kumpulan SME Bank.

 

Ini termasuk Assets Link, Perkhidmatan Takaful dan HalalXcess di samping Program Umbrella SME Bank dan Program Pembangunan Vendor Bumiputera yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). 

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, Program Umbrella merupakan kerjasama antara SME Bank dan syarikat besar bagi membolehkan usahawan yang berminat menyertai suatu model perniagaan yang telah pun bertapak kukuh dalam pasaran sekali gus meminimumkan risiko kegagalan perniagaan.  

 

"Peserta program akan dibiayai oleh SME Bank, dan turut berpeluang mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat secara percuma oleh CEDAR," katanya.

 

Sejak Program Umbrella SME Bank ini diperkenalkan pada 2019, SME Bank telah meluluskan 24 pembiayaan yang bernilai RM11.6 juta.  

 

Turut berlangsung ialah Majlis Menandatangani Penerimaan Penyertaan Program Umbrella SME Bank dengan lapan syarikat iaitu Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Ayamas Shoppe Sdn. Bhd., Chatime Malaysia Sdn Bhd., dan Bubblebee Sdn. Bhd. yang mewakili sektor makanan dan minuman; manakala Bateriku (M) Sdn. Bhd., Petro Teguh (M) Sdn. Bhd., Prowheels Distributor (M) Sdn. Bhd. dan PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd. daripada sektor perkhidmatan dan sokongan automotif.

 

Para peserta SME Bank XCESS 2022 juga diberi penerangan berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kepentingan mengadaptasikannya ke operasi perniagaan mereka. - DagangNews.com