Skip to main content

SpeedX menang dua perlumbaan SP2 pada pusingan ketiga MCS 2021

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Pasukan SpeedX Racing yang diketuai pemandu pertama, Eddie Lew dan pemandu kedua, William Ho memenangi perlumbaan 1 dan 2 dalam kategori SP2 pada pusingan ketiga Kejuaraan Malaysia (MCS) 2021.

 

Mereka juga berjaya menduduki petak pertama untuk pusingan terakhir (pusingan keempat) dalam perlumbaan 300 kilometer endurance yang berlangsung hari ini.

 

“Satu perlumbaan yang amat sengit hari ini dan kami berdepan dengan pemanduan agresif daripada pesaing dalam kedua-dua perlumbaan.

 

“Kami berjaya meraih kedua-dua kemenangan dengan hasil kerja keras dan kemahiran pasukan jurutera, mekanik serta krew yang memberikan kerjasama yang baik bersama pasukan pemandu untuk mendapatkan tempat teratas,” kata Eddie.

 

“Kami berharap dengan menduduki petak pertama, kami dapat mempamerkan prestasi yang baik untuk perlawanan akhir yang sememangnya akan menguji kemahiran, pengalaman dan keazaman kami,” tambah William dalam satu kenyataan.

 

Pasukan SpeedX Racing menggunakan pengalaman 25 tahun di litar dengan sebaiknya serta dapat bekerjasama bersama pasukan berpengalaman Fast Autoworks dan TedCo bagi memastikan jentera mereka dalam keadaan terbaik untuk perlumbaan.

 

lumba

 

Imran Wafi Adnan dan Najiy Ayyad dari pasukan DNT Tune menduduki tempat kedua perlumbaan 1, diikuti Putera Adam dan Calvin Wong (R Engineering HMRT) ketiga.

 

Dalam perlumbaan 2, Putera Adam dan Calvin Wong di tempat kedua, manakala Pee Sau Fan dan Ian Wong ketiga.

 

Pemilik SpeedX Racing Team, Leong Chun Kok berkata, kemenangan itu sememangnya keputusan yang membanggakan bagi pasukan yang mengambil bahagian buat kali pertama dalam MCS 2021.

 

“Bagi pasukan yang baru mengambil bahagian buat kali pertama dalam MCS 2021, kemenangan ini sememangnya keputusan yang membanggakan.

“Kami berharap pasukan ini dapat mencapai tahap lebih tinggi dalam kempen 2022 nanti,” katanya. - DagangNews.com