Subsidi heret risiko kewangan negara, apa nasib rakyat? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 29 June 2022

Subsidi Heret Risiko Kewangan Negara, Apa Nasib Rakyat?

 

 

 

MALAYSIA mencatat sejarah sekali lagi apabila kerajaan mengumumkan perbelanjaan subsidi berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 yang mana jumlah ini adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah negara.

 

Perbelanjaan subsidi yang besar ini boleh mengheret risiko kepada kewangan negara.

 

Jumlah subsidi yang terlalu tinggi juga boleh menjejaskan penetapan sasaran defisit fiskal kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6% untuk tahun ini.

 

Apa yang kerajaan perlu buat? Kerajaan perlu melaksanakan langkah penjimatan bagi mengelakkan beban kewangan yang lebih besar kepada generasi akan datang. Kaedah penjimatan adalah melalui rasionalisasi subsidi.

 

Peningkatan lebih 100% subsidi kepenggunaan

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa unjuran perbelanjaan subsidi keseluruhan berjumlah RM77.3 bilion tahun ini yang merangkumi perbelanjaan subsidi  kepenggunaan seperti bahan api, minyak masak paket serta elektrik, air, ayam dan telur sahaja berjumlah RM51 bilion jika hendak di banding dengan tahun sebelum ini. Peningkatan subsidi kepenggunaan ini meningkat sangat ketara.

  • Tahun 2018 – RM 8.3 bilion
  • Tahun 2019 – RM 7.3 bilion
  • Tahun 2020 – RM 2.7 bilion
  • Tahun 2021 – RM 16.5 bilon
  • Tahun 2022 – RM 51 bilion

 

Subsidi lain yang ditanggung kerajaan seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (RM11.7 bilion) serta lain-lain subsidi (RM14.6 bilion) juga menelan jumlah yang akan besar.


 

subsidi

 


Beban kerajaan tanggung subsidi terutama bahan api

Kerajaan telah menanggung subsidi yang banyak terutamanya subsidi bahan api. Berikut adalah jumlah subsidi bahan api dan subsidi lain yang ditanggung kerajaan bagi jumlah 5 tahun ke belakang ini.

 

1. Subsidi petrol, diesel dan LPG

Tahun 2018 – RM 7.4 bilion

Tahun 2019 – RM 6.1 bilion

Tahun 2020 – RM 1.6 bilion

Tahun 2021 – RM 13.2 bilion

Keperluan 2022 – 37.3 bilion

 

2. Subsidi minyak masak

Tahun 2018 – RM 0.4 bilion

Tahun 2019 – RM 0.3 bilion

Tahun 2020 – RM 0.5 bilion

Tahun 2021 – RM 2.2 bilion

Keperluan 2022 – 4.0 bilion

 

3. Subsidi ayam, telur dan lain-lain

Tahun 2018 – RM 0.5 bilion

Tahun 2019 – RM 0.9 bilion

Tahun 2020 – RM 0.6 bilion

Tahun 2021 – RM 1.1 bilion

Keperluan 2022 – 9.7 bilion

 

 

Semak semula subsidi secara ”blanket”

Kerajaan perlu menyemak semula dan mengurangkan jumlah subsidi  bahan api. Buat masa kini, subsidi bahan api ini diberi secara 'blanket' atau menyeluruh.

 

Jika diperhalusi secara timbang taranya, dilihat subsidi bahan api secara blanket ini lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi atau T20 daripada golongan berpendapatan rendah.

 

Daripada jumlah subsidi yang diberikan, hampir 50% dinikmati golongan T20.


 

volatiliti

 


Subsidi tersasar elak lompang dan eksploitasi

Langkah  semasa yang boleh dilakukan oleh kerajaan dengan melaksanakan subsidi bahan api tersasar.

 

Tengku Zafrul ketika bercakap pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland bulan lalu berkata Malaysia dijangka perlu menampung jumlah subsidi lebih tinggi bagi 2022 berikutan kenaikan harga minyak mentah.

 

Subsidi  bahan api tersasar boleh disalurkan terus oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan. Jika ia boleh dilakukan, subsidi bahan api boleh dikurangkan secara beransur-ansur seterusnya diapungkan mengikut harga pasaran.

 

Dikatakan sistem subsidi di Malaysia sudah ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju, namun belum terlewat bagi kerajaan mengurangkan beban yang ditanggung untuk perbelanjaan bahan api termasuk petrol, diesel dan LPG.

 

Jika kerajaan berhasrat untuk melaksanakan subsidi bahan api tersasar, ia memerlukan pemantauan yang teliti supaya subsidi berkenaan tidak kalis ketirisan. Jangan ada lompang yang boleh dieksploitasi  oleh pihak tak bertanggungjawab untuk menikmati subsidi walaupun mereka tidak layak.

 

Guna Mysejahtera atau aplikasi lain untuk subsidi tersasar

Jika kerajaan ingin melaksanakan subsidi bahan api tersasar, kerajaan  boleh mempertimbangkan penggunaan aplikasi MySejahtera atau membangunkan aplikasi baharu yang setanding selain memanfaatkan pangkalan data daripada MyKad bagi tujuan pemberian subsidi tersasar bagi  bahan api ini.

 

Pandemik telah membawa kepada pangkalan data yang meluas dengan adanya MySejatera dan  rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan penggunaan teknologi.

 

Apa yang dilihat potensi penggunaan MySejahtera boleh digunakan bagi mengagihkan subsidi tersasar kepada rakyat.

 

Jika ia tidak sesuai, pembangunan aplikasi baharu yang boleh menjadi kaedah atau mekanisme yang sesuai dan tidak menimbulkan kekeliruan dan memudahkan rakyat.

 

Kini,  pangkalan data membabitkan golongan sasaran  sudah dapat dikumpul dengan baik terutamanya maklumat yang diperoleh melalui penerima di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

 

Cara untuk menyalurkannya subsidi tersasar adalah boleh melalui penggunaan MyKad yang dihubungkan dengan Touch n Go. Maka,  golongan yang layak boleh menggunakan MyKad untuk beli minyak di stesen minyak.


 

volatiliti

 


Perkasakan sistem pengangkutan

Selain subsidi tersasar kepada bahan api, bagi  perancangan jangka masa panjang kerajaan perlu memperkasakan sistem pengangkutan, memodenkan sistem rel untuk kargo dan membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) lebih agresif bagi mengurangkan ke bergantungan kepada kenderaan berasaskan bahan api fosil pada masa depan.

 

Langkah ini dilihat sangat bertepatan dengan matlamat pembangunan hijau dan lestari di samping mampu untuk mengurangkan subsidi kerajaan kepada bahan api jika permintaan penggunaan bahan api semakin berkurangan

 

Sumber komoditi “penyelamat” negara

Buat masa kini, Malaysia mempunyai sumber komoditi  yang menjadi “penyelamat” negara jika hendak di bandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini yang tidak berpeluang memperoleh hasil peningkatan harga komoditi bagi menampung impak harga bahan api berkenaan.

 

Namun begitu, kerajaan tidak boleh bergantung dengan sumber komoditi semata-mata kerana harga komoditi juga ada pasang surutnya.

 

Subsidi elak Malaysia alami inflasi luar biasa

Bagi melaksanakan subsidi tersasar atau memberhentikan subsidi ini, kerajaan perlu memperhalusi sebaik-baiknya. Jika kerajaan bercadang untuk mengurangkan atau memberhentikan mana-mana subsidi kepada barang atau minyak, apa yang dikhuatiri kadar inflasi di Malaysia akan meningkat.

 

Di jangkakan  kadar inflasi boleh melonjak antara 11% -12% jika subsidi ini diberhentikan. Dalam situasi semasa, beban dan perbelanjaan kerajaan sangat besar terhadap subsidi ini namun kadar inflasi ini juga perlu dipertimbangkan.

 

Jika subsidi ini mahu dikurangkan atau diberhentikan, kerajaan perlu berperanan untuk mengawal dan menstabilkan harga barang bagi mengawal inflasi dari melonjak naik. Jika ia tidak mampu dikawal, pastinya hal ini akan membebankan rakyat demi kelangsungan hidup.


 

volatiliti

 


Kesan subsidi kepada defisit fiskal negara

Bagi isu subsidi dan beban kewangan ini, kita tidak boleh meletakkan beban ini mentah-mentah kepada kerajaan.

 

Walaupun angka defisit negara tahun ini masih belum “dikira”  namun kerajaan perlu untuk langkah penjimatan memandangkan jumlah subsidi meningkat dengan ketara berbanding sebelumnya.

 

Subsidi ini  memberi tekanan kepada perbelanjaan negara dan kerajaan perlu melihat kepada langkah penjimatan berkaitan dengan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

 

Tuntasnya, kerajaan hanya mempunyai dua pilihan sahaja iaitu hapus subsidi yang menyebabkan rakyat lebih tertekan dan kewangan kerajaan bertambah baik atau mengekalkannya.

 

Moga keputusan kerajaan nanti adalah “menang-menang” bagi melindungi rakyat dan mengurangkan beban kerajaan juga! - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin merupakan Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor
Portfolio Tags