Subsidiari TNB bakal jimat lebih RM6 juta guna sistem solar | DagangNews Skip to main content

Subsidiari TNB bakal jimat lebih RM6 juta guna sistem solar

GSPARX telah menyiapkan pemasangan panel solar di atas bumbung premis Malaysia Transformer Manufacturing (MTM) di Kapar dan Ulu Klang, Selangor pada Mei 2022. Pemasangan sistem solar PV, di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) selama 21 tahun, mampu menyalurkan kapasiti solar 945 kWp dan 532 kWp di lokasi Kapar dan Ulu Klang.

KUALA LUMPUR 19 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui subsidiari milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) akan memasang lebih 2 MWp (Megawatt peak) kapasiti solar pada 2022 melalui kolaborasi pintar dengan dua lagi subsidiari TNB, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Malaysia Transformer Manufacturing (MTM). 

 

Kerjasama strategik dalam pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung ini sejajar komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang digariskan dalam Hala Tuju Kelestarian TNB menjelang 2050.

 

GSPARX adalah pakar dalam penyediaan penyelesaian solar atas bumbung; MTM pula penyedia penyelesaian sehenti untuk transformer manakala UNITEN ialah universiti swasta yang menawarkan kursus dalam bidang Kejuruteraan, Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Ekonomi Perniagaan dan Ekonomi Tenaga.

 

"GSPARX telah selesai memasang panel solar di atas bumbung premis MTM di Kapar dan Ulu Klang, Selangor pada Mei 2022," kata TNB dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pemasangan sistem solar PV, di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) selama 21 tahun itu, mampu membekalkan 945 kWp kapasiti solar di MTM Kapar dan 532 kWp kapasiti solar di MTM Ulu Klang.

 

"Gabungan kedua-duanya mampu menjana 1.9 juta kWj tenaga solar setahun dengan anggaran penjimatan lebih RM6 juta,'' kata TNB.

 

Ia juga berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang bersamaan dengan pengunaan tenaga elektrik di 253 rumah setahun atau penyerapan karbon 1,538 ekar hutan dalam tempoh yang sama.

 

Bagi kolabrasi dengan UNITEN, GSPARX merancang untuk memasang sistem solar PV di Bangunan Kolej Kejuruteraan dan Pentadbiran universiti itu di Putrajaya menjelang Oktober 2022.


 

TNB
Dato' Sri Hasan Arifin menandatangani plak sebagai tanda perasmian pelancaran Inisiatif Tenaga Solar di Malaysia Transformer Manufacturing (MTM), baru-baru ini.

 


Projek di bawah perjanjian SARE 20 tahun itu, akan membekalkan 548.7 kWp kapasiti solar iaitu 700,964 kWj tenaga solar setiap tahun. UNITEN dijangka menikmati anggaran penjimatan RM 3.5 juta dalam tempoh 20 tahun.

 

Perjanjian dimeterai pada 7 April 2022 itu berpotensi mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 497 tan metrik setahun, bersamaan dengan menanam 8,214 anak pokok selama 10 tahun atau menghentikan pelepasan karbon daripada 108 kenderaan di jalan raya setiap tahun.

 

Pengerusi TNB, Dato' Sri Hasan Arifin berkata kerjasama pintar antara GSPARX, MTM dan UNITEN adalah selaras dengan Hala Tuju Kelestarian TNB untuk menghentikan pelepasan karbon menjelang 2050, dalam menyokong sasaran kerajaan mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

 

“TNB terus meningkatkan promosi penyelesaian Tenaga Boleh Baharu (TBB), termasuk melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX, untuk mengembangkan industri solar sambil menggalakkan kehidupan dengan tenaga hijau lebih mampan kepada masyarakat dengan solar sebagai sumber tenaga alternatif,” tambahnya.

 

Sehingga kini, GSPARX telah memperoleh 215 projek dengan organisasi komersial, perindustrian dan kerajaan, yang menjana sejumlah 126 MWp kapasiti solar.

 

Antaranya ialah Mydin Mohamed Holdings Berhad, AEON, Ambank, Sime Darby Properties, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Bandaraya Ipoh, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Kolej Universiti TATI.


 

TNB
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (di tengah) bersama Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri (kanan) dan bekas Naib Canselor UNITEN, Prof. Dato' Ir. Dr Kamal Nasharuddin Mustapha (kiri), memegang dokumen Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE).

 


GSPARX, subsidiari milik penuh TNB, telah ditubuhkan pada Januari 2018. Ia giat menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat, organisasi dan agensi kerajaan untuk menawarkan kepakarannya dalam pemasangan panel solar atas bumbung, pasaran tenaga boleh baharu yang berpotensi besar di Malaysia.

 

Melalui Penyelesaian Zero Capex GSPARX, pelanggan daripada agensi kerajaan, sektor komersial dan perindustrian kini boleh menjana tenaga bersih daripada penyelesaian solar atas bumbung untuk mengurus bil elektrik mereka dengan lebih baik. Sila layari http://www.tnb.com.my/solar atau https://www.gsparx.com untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com