Sukan tradisional diketengahkan di Jelajah AKM Sarawak untuk generasi muda | DagangNews Skip to main content

Sukan tradisional diketengahkan di Jelajah AKM Sarawak untuk generasi muda

Pengunjung berpeluang mempelajari permainan menyumpit dan diberikan tunjuk ajar oleh pengajar di Karnival Sukan di sini hari ini. - DagangNews.com
Oleh KERNI PUAH

KUCHING 6 Ogos - Pada penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Sarawak kali ini, antara program yang dibawakan juga tidak terlepas daripada usaha mengetengahkan elemen tradisional yang ada di Sarawak melalui Karnival Sukan Rakyat.

 

Pegawai Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Mohamad Adib Zulhusili berkata karnival sukan pada Jelajah AKM kali ini mengetengahkan permainan tradisional Sarawak agar pengunjung dari luar negeri mahupun negara mengetahui dan berpeluang mempelajari permainan tradisional yang ada di negeri itu.

 

“Objektif penganjuran program di pameran Sukan Rakyat bertujuan membawakan sukan tradisional yang ada di Sarawak seperti permainan menyumpit, batu seremban, batak lampung, tinting, karom dan pangkak guli. 

 

“Selain itu juga, kita mahu menggalakkan penduduk di seluruh pelusuk negari untuk terus bersukan tidak kira peringkat umur dan tidak hanya bermula kepada golongan belia sahaja,” jelasnya. 

 

Pada masa yang sama, Adib turut mendedahkan pada karnival sukan rakyat itu pihaknya telah menerima pengunjung dari luar negeri Sarawak, dan ini jelas terbukti penganjuran Jelajah AKM Sarawak mendapat sambutan tidak hanya daripada penduduk negeri itu, namun dari orang luar Sarawak. 

 

Karnival Sukan Rakyat merupakan program dibawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan dan kerjasama Kementerian Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, bagi mengetengahkan permainan sukan tradisional yang ada di Sarawak. 


 

Mohamad Adib Zulhusili
                                             Mohamad Adib Zulhusili

 


Bagi pelajar Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Ezzatul Husna Pauzi, dia teruja setelah menyertai sukan rakyat yang mengetengahkan elemen sukan tradisional. 

 

“Perasaan sangat teruja kerana dapat bersama-sama majukan sukan tidak kira sukan moden pada masa kini, mahupun sukan tradisional. 

 

“Bagi saya, sukan juga penyumbang kepada ekonomi negara dan secara langsung meningkatkan minat kepada bidang sukan sejak di peringkat sekolah lagi. 

 

Justeru, Ezzatul berharap agar belia di sarawak tidak takut untuk menceburi diri dalam pelbagai acara sukan, kerana dia yakin sukan mampu menyihatkan tubuh badan dan kercegasan mental dan fizikal individu masing-masing. 


 

Ezzatul Husna Pauzi
                                       Ezzatul Husna Pauzi

 


Sementara itu, Cheryl Natalie Sylvester Marcellinus, yang dari sekolah yang sama turut berharap agar sukan tradisional seperti ini dapat diperkembangkan dan dipelajari oleh generasi baharu. 

 

“Pendapat saya, sukan tradisional ini wajar diangkat semula seterusnya diketengahkan kepada generasi baharu agar ia tidak ditelan arus pemodenan. 


 

Cheryl Natalie Sylvester Marcellinus
                             Cheryl Natalie Sylvester Marcellinus

 


“Melalui sukan tradisional ini, ia juga dilihat sebagai satu identiti kaum masyarakat yang diwarisi sebagai contohnya permainan tradisional masyarakat Iban dan Melayu, iaitu masing-masing Sumpit dan Batu Seremban,” katanya ketika ditemubual DagangNews.com pada Karnival Sukan Rakyat. - DagangNews.com