Sultan Selangor berkenan rasmi hotel DoubleTree by Hilton di i-City Shah Alam | DagangNews Skip to main content

Sultan Selangor berkenan rasmi hotel DoubleTree by Hilton di i-City Shah Alam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan rangkaian hotel mewah, DoubleTree by Hilton yang menjadi salah satu tarikan terbaharu di kawasan tumpuan pelancong iaitu di i-City Shah Alam.

 

Turut berangkat ke majlis itu Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.

 

Lim berkata, pihaknya menjunjung kasih Sultan Sharafuddin kerana mengurniakan i-City Finance Avenue serta berkenan merasmikan DoubleTree by Hilton.

 

Beliau berkata, i-City Finance Avenue menjangkakan peningkatan sebanyak 30,000 pelancong perniagaan setiap bulan menjelang akhir 2022.


 
"Sinergi antara i-City Finance Avenue dan DoubleTree by Hilton i-City ibarat 'perkahwinan' sempurna yang akan meninggalkan impak positif kepada industri pelancongan Selangor. 

 

"i-City Finance Avenue kini menempatkan kira-kira 10,000 pekerja sektor perkhidmatan kewangan, e-dagang dan teknologi industri menjelang 2023.

 

“Pembukaan DoubleTree by Hilton yang memiliki 300 bilik menandakan pengembangan jenama Hilton yang memenangi anugerah ke dalam i-City Finance Avenue menampilkan pelbagai kemudahan yang menetapkan penanda aras baharu dalam hospitaliti untuk menawan generasi pengembara seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

icity
Sultan Sharafuddin Idris Shah (empat dari kiri) berkenan merasmikan hotel DoubleTree by Hilton di i-City Shah Alam. Turut kelihatan, Tan Sri Lim Kim Hong (kanan).

 

 

Katanya, pengembangan ini menekankan komitmen mereka untuk terus menyumbang kepada ekonomi negeri dan mengukuhkan lagi industri pelancongannya.


Dijangka menjadi "game changer" dalam segmen hotel mewah untuk pengembara perniagaan ke Shah Alam, DoubleTree by Hilton i-City menampilkan dua restoran istimewa, iaitu Makan Kitchen dan Tosca Trattoria Italiana, termasuk dua lounge kafe bergaya, The Koffee dan Axis Lounge. 

 

 

icity

 

 

Hotel tersebut melengkapkan komponen perniagaan, rekreasi, runcit dan kediaman di i-City Finance Avenue dengan kemudahan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran. - DagangNews.com