Tekanan inflasi global, harga minyak sawit mentah dijangka menurun secara berperingkat pada separuh kedua | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi global, harga minyak sawit mentah dijangka menurun secara berperingkat pada separuh kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Harga minyak sawit mentah dijangka menurun secara berperingkat-peringkat pada separuh kedua ini ekoran tekanan kebimbangan inflasi global selepas mencapai paras tertinggi berbanding jangkaan yang direkodkan pada separuh pertama dan langkah Indonesia membatalkan levi eksport sehingga 31 Ogos 2022. 

 

Bagaimanapun, menurut MIDF Research, harga minyak sawit mentah masih kekal tinggi dalam tempoh berkenaan memandangkn minyak boleh dimakan akan terus disokong masalah bekalan di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine.

 

Selain itu, katanya, ia juga dipengaruhi prospek pengeluaran kacang soya yang lemah bagi 2022/2023 di Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina serta prospek permintaan yang semakin meningkat. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah tahun ini pada RM5,500 satu tan metrik dengan mengulangi pandangan 'positif' terhadap sektor perladangan.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat, risiko utama yang akan mempengaruhi harga minyak sawit mentah termasuklah kemunculan varian baharu COVID-19, stok dan bekalan minyak kacang soya melebihi jangkaan dan perubahan dasar di negara pengimport," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Data yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam menunjukkan stok minyak sawit mentah meningkat 2.79 peratus kepada 905,946 tan metrik pada Julai 2022 daripada 881,315 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

 

Pengeluaran minyak sawit mentah pula naik sebanyak 1.84 peratus kepada 1.57 juta tan metrik pada Julai berbanding 1.55 juta tan metrik pada Jun.

 

Baca : MPOB : Stok minyak sawit meningkat 2.79% kepada 905,946 tan metrik pada Julai 2022

 

Sementara itu, eksport minyak sawit meningkat sebanyak 10.72 peratus bulan ke bulan kepada 1.32 juta tan metrik pada Julai daripada 1.19 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

 

CGS-CIMB Research menjangkakan stok minyak sawit mentah meningkat 13.5% bulan ke bulan kepada 2 juta tan metrik menjelang akhir bulan ini, dengan pengeluaran yang lebih tinggi manakala eksport lebih rendah. 

 

Firma itu yang mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan menjangkakan harga minyak sawit mentah akan diniagakan antara RM4,000 hingga RM5,000 satu tan metrik pada Ogos 2022. 

 

"Harga komoditi ini mungkin melemah disebabkan persaingan sengit daripada minyak sawit dan cukai eksport yang lebih rendah di Indonesia.

 

"Bagaimanapun, penurunan ini terbatas dengan pengurangan harga minyak sawit mentah semasa sekitar AS$290 hingga AS$320 satu tan metrik berbanding minyak kacang soya," katanya.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan syarikat perladangan huluan di Malaysia akan merekodkan hasil yang mendatar pada suku kedua disebabkan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi. 

 

Katanya, kelemahan harga minyak sawit mentah pada separuh kedua, kos operasi (kenaikan gaji minimum), kos baja yang lebih tinggi dan juga pelaksanaan Cukai Makmur akan menjejaskan margin keuntungan pada separuh kedua. 

 

"Pada pandangan kami, sektor ini kekurangan pemangkin dalam tempoh jangka pendek memandangkan kami mengunjurkan harga minyak sawit yang lebih rendah pada separuh kedua ini, tetapi disokong dengan hasil dividen 4.7% bagi 2022," jelasnya. - DagangNews.com