Terbuka Malaysia kembali dianjurkan tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Terbuka Malaysia kembali dianjurkan tahun hadapan

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Selepas dua kali dibatalkan akibat pandemik COVID-19, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan bahawa kejohanan Terbuka Malaysia akan kembali diadakan pada tahun hadapan.

 

Kejohanan berstatus Siri Jelajah Dunia 750 yang pada mulanya dijadual berlangsung pada 25 hingga 30 Mei itu dibatalkan pada tahun ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bimbang dengan penularan kes COVID-19.

 

Edisi 2020 yang dijadualkan pada 31 Mac sehingga 5 April tahun lalu juga telah dibatalkan akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

BWF mengumumkan Terbuka Malaysia 2022dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai, diikuti dengan Malaysian Masters 5 hingga 10 Julai.

 

Mengikut kalendar yang dikeluarkan, musim 2022 akan bermula di India dengan tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka India dari 11 hingga 16 Januari, Cabaran Antarabangsa India Syed Modi (18 hingga 23 Januari), Terbuka Odisha (25 hingga 30 Januari), dan All England pada 16 hingga 20 Mei.

 

Piala Thomas dan Piala Uber 2022 akan berlangsung dari 8 hingga15 Mei di Bangkok dan Kejuaraan Dunia berlangsung di Jepun dari 21 hingga 28 Ogos, manakala Final Siri Jelajah Dunia yang akan berlangsung 14 hingga 18 Disember di Guangzhou, China.

 

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata, kalendar tahun hadapan mempunyai beberapa kejohanan kluster yang dirancangkan, bagi mengurangkan kesukaran masalah pergerakan antara negara.

 

"Sudah tentunya kejohanan pada 2022 akan mengenakan arahan keselamatan BWF.

 

"Bagaimanapun BWF berharap perubahan secara beransur-ansur dalam melaksanakan kejohanan dengan pengurangan sekatan COVID-19, pada ketika secara perlahan-lahan kembali kepada keadaan normal dengan pengurangan sekatan dalam penganjuran acara antarabangsa," katanya.-DagangNews.com