Skip to main content

TH lanjut tempoh penukaran status akaun dewasa hingga Mei 2022

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Lembaga Tabung Haji (TH) melanjutkan tempoh penukaran status akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa sehingga 1 Mei 2022 berbanding 1 Disember ini.

 

Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan Menanggung Tugas Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd. Wahab berkata, TH mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh penukaran status berkenaan bagi memberi peluang kepada para pendeposit yang mencapai umur 18 tahun untuk berbuat demikian di cawangan berhampiran.

 

Katanya, berdasarkan terma dan syarat pembukaan akaun TH, penjaga hanya boleh mentadbir akaun kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.

 

Beliau memberitahu, langkah penukaran itu bagi memastikan semua akaun pendeposit  yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit dikemaskini.

 

"TH akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun pada 1 Mei tahun hadapan. 

 

"Status hubungan akaun di antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Para pendeposit juga perlu memastikan akaun TH kekal berstatus aktif, untuk terus menikmati manfaat simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah, dikecualikan cukai pendapatan dan boleh juga turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan.-Dagangnews.com