Skip to main content

Tiada kenaikan tarif elektrik buat 9 juta pengguna domestik - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik untuk lebih 9 juta pengguna domestik.

 

"Sehubungan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan," katanya menerusi satu ciapan di Twitter, hari ini.

 

Kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna-pengguna di Semenanjung akan dikekalkan untuk tempoh kawal selia (Regulatory Period 3 – RP3) bermula 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 di bawah mekanisma Incentive-Based Regulation (IBR). 

 

Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan berkata, kadar tarif itu telah digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme IBR diperkenalkan sebagai dasar baru dalam penetapan tarif elektrik dan kadar itu juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri.

 

"Bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion, ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah AS$200 (RM838) untuk satu tan.

 

"Oleh itu, di bawah mekanisma Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang disemak setiap enam (6) bulan, kerajaan memutuskan supaya bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022 pelaksanaan pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. 

 

pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan mesyuarat bersama Menteri Kabinet, baru-baru ini.

 

"Surcaj 3.70 sen/kWj  dikenakan kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri," katanya.

 

Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut. 

 

Suruhanjaya itu berkata, menerusi ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat. 

 

letrik

 

Katanya, kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45% dan memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59% sumber penjanaan adalah arang batu.

 

Dalam pada itu, pengguna elektrik di Semenanjung digalakkan melanggan Green Electricity Tariff (GET) iaitu bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) supaya dapat menikmati pengecualian daripada surcaj ICPT elektrik untuk tempoh setahun.

 

Pada masa sama, pengguna boleh memanfaatkan Program Net Energy Metering (NEM) bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik. - DagangNews.com