Tidak ada cacatnya rundingan dua hala guna Bahasa Melayu - PM | DagangNews Skip to main content

Tidak ada cacatnya rundingan dua hala guna Bahasa Melayu - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Joe Biden sewaktu pertemuan julung kali di Rumah Putih pada 13 Mei 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak ada cacat celanya mengadakan rundingan dua hala dengan pemimpin dunia menggunakan Bahasa Melayu.

 

Ismail Sabri berkata, beliau juga menggunakan Bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) bersama dengan Presiden Amerika (Joe Biden).

 

"Saya juga telah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan Bahasa Melayu, tidak ada cacatnya rundingan tersebut. Persidangan juga menggunakan Bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-AS bersama dengan Presiden AS, saya juga menggunakan Bahasa Melayu.


 
"Mesej yang saya sampaikan jelas diterima Presiden AS walaupun saya berbahasa Melayu," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, semua pusat yang melibatkan ke luar negara termasuk surat menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu.

 

"Saya ingin berkongsi yang arahan telah dikeluarkan bahawa semua pusat yang melibatkan ke luar negara termasuk surat menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu. Surat yang saya hantar kepada pemimpin-pemimpin dunia juga dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris," katanya.

 

Beliau berkata, usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ia adalah antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

 

"Sejarah menunjukkan penggunaan Bahasa Melayu di kawasan ‘Alam Melayu’ (Malay Archipelago) merentas entiti politik yang kini dikenal sebagai Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, sebahagian Thailand, sebahagian Filipina dan beberapa buah negara lain di Asia Tenggara seperti Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar. 

 

"Malah, dengan wujudnya diaspora Melayu di Sri Lanka, Surinam, Afrika Selatan, Madagaskar, Asia Barat, Eropah dan beberapa bahagian lain dunia, bahasa Melayu berpotensi besar diangkat sebagai salah satu bahasa dunia, seperti pada sekitar abad ke-15 hingga abad ke-19 dahulu," katanya.

 

Beliau berkata, melalui forum kerjasama di peringkat ASEAN seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai.

 

"Saya berharap skop kerjasama yang diperluas, termasuk penyelidikan, penerbitan dan pemupukan, dapat dirancang lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan lingua franca.

 

"Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN," katanya. - DagangNews.com