Tidak lagi ditanya gaji semasa makan tengahari | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 22 October 2020

TIDAK LAGI DITANYA GAJI SEMASA MAKAN TENGAHARI

 

 

UNTUK meninggalkan isteri dan keluarga sekali lagi bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Semangat saya berkobar untuk bekerja di kota Dubai yang masih terlalu baharu. Pada saya tidak timbul untuk bekerja sekejap sahaja dan pulang ke Malaysia. Saya ingin bekerja di luar negara selama-lamanya. Biar waktu yang menentukan.

 

Ingatan pada SB di TV3 tempoh hari yang mendakwa tiada majikan yang akan mengambil saya bekerja menambahkan kuat semangat. Saya pergi Riyadh dan bernasib baik bertemu Mehboob Hamza walau tidak secara fizikal. Beliau berasal dari Yeman (ayahnya) dan Sri Lanka (ibunya) dan memperkenalkan pada CEO Dubai Internet City, Hamid Kazem.

 

Hamid adalah Arab keturunan Iran, sebab itulah otaknya tajam, mengenali watak seseorang dari percakapan sahaja dan dia berada lama di Amerika Syarikat. Dia menggagap saya sebagai seorang yang baik, dedikasi dan komited terhadap kerja.

 

Penerbangan bermula awal malam dan saya dihantar oleh hampir semua keluarga yang berada di lapangan terbang. Kekadang hati merasa sedih meninggalkan Malaysia untuk mencari makan tetapi begitulah nasib yang menentukan. Sudah rezeki ditentukan Tuhan, kita mengikut arah yang diberikan.

 

Saya tiba di Dubai awal pagi ditunggu oleh GRO, seorang Arab tempatan yang bernama Mohammed, seorang yang baik hati. Dia menanti saya dan kemudian melepaskan dengan teksi untuk ke hotel. Saya melihat kota Dubai sepanjang perjalanan yang tidak sampai 15 minit. Dekat dengan lapangan terbang di Jalan Sheikh Zayed.

 

Saya tidur sekejap dan bersiap untuk ke pejabat dengan berjalan lebih kurang 20 minit sahaja. Awal pagi saya tiba di pejabat sebelum orang lain masuk. Melihat keadaan.

 

Setiausaha Hamid menyambut saya dan terus menghantar ke pejabat di tingkat 20. Di situ bilik hanya untuk empat orang. Dia perkenalkan kepada Ketua Pegawai Teknologi, bos saya. Dr Osama Al Ali yang nampak peramah, seorang lagi Arab tempatan dan seorang rakyat Palestin. Semua sebaya dengan saya dan ada minggu kedua bekerja, jabatan teknoloji maklumat baru ditubuhkan. Sebab itu nombor staf saya 0022.

 

Setelah berkenalan dan beramah mesra, kami dinyatakan apa tugas kami yang dijangka dan diharapkan oleh Dr Osama dari Bahrain. Saya baru tahu dia seorang Syiah tetapi cepat mesra dengan budi bahasa yang tinggi. Saya berasa bersyukur mendapat kawan yang baik-baik belaka.

 

osama
                      Dr Osama Al-Ali

 

Saya diberitahu buat sementara ini kerja dahulu kerana jabatan sedang menginterviu ramai lagi. Saya memahami peranan Dr Osama, seorang pakar dalam bidangnya. Dia mempunyai PhD dalam infrastruktur IT dan dipanggil dari Amerika Syarikat untuk bekerja dengan Dubai Internet City. Dia mulanya enggan tetapi dipujuk untuk bekerja.

 

Saya diberitahu ada tiga kertas cadangan di atas meja saya yang perlu tindakan pada hari itu juga pada pukul empat. Saya perlu membaca dan meletakkan vendor mana yang jadi pilihan.

 

Saya segera ke meja dan buku tiga kertas cadangan sudah ada. Siap menanti.

 

Saya perhatikan untuk kerja infrastruktur IT dengan memasang alat keperluan kekawasan pembinaan Dubai Internet City. Dan yang mengejutkan saya, syarikat Mehboob Hamza diantara tiga syarikat yang di senarai pendekkan.

 

Tergamam.

 

aaa
                                 Mehboob Hamza

 

Saya mula membaca kertas kerja dan saya tidak faham kebanyakan maklumat yang diberi. Penuh dengan sumber teknikal dengan gambarajah. Cukup lengkap. Saya hanya ada sehari untuk memberikan jawapan. Saya tidak tahu untuk memberi jawapan kerana tugas ini adalah kerja pertama seumpama.

 

Saya bekerja di Mega TV sebentar dan tidak lagi di jabatan teknologi maklumat. Kerja terakhir saya sebelum digantung ialah Pengarah Kawasan Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Hampir setiap minggu berada di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Serawak yang cukup menguja. Saya suka kerja tersebut kerana perhubungan awam dan komunikasi dengan pekerja serta pelanggan tempatan.

 

Dr Osama sudah pergi dan tidak pulang ke pejabat dengan dua orang lagi rakan selama dua hari. Tinggal saya seorang terkontang-kanting dan melilau. Saya tidak tahu hendak buat apa setelah membaca ketiga-tiga kertas cadangan. Semuanya OK dan maju ke hadapan.

 

Kebetulan ada seorang memasuki pejabat, seorang perempuan yang bertanya saya sudah makan ke belum. Dia memberitahu, pejabat Dubai Internet City menyediakan sarapan, makan tengahari dan minum petang untuk semua staf.

 

Saya lega dan terus ke tingkat enam mencari makan. Makanan telah tersedia tetapi dipenuhi dengan makanan Arab. Saya tidak kisah asal percuma dan tidak perlu pergi ke restoran. Saya makan apa sahaja.

 

Saya berkenalan dengan beberapa pekerja, mereka semua cepat mesra. Kami bergelak ketawa. Ada dua tiga orang pekerja India yang bertanya saya kerja apa dan berapa gaji. Saya mulanya hanya tersenyum dan tidak memberikan jawapan. Mereka tetap bertanya, lantas saya menjawab gaji saya berapa banyak, lantas pekerja India itu tidak berani lagi bertanya. Terus menjauhkan diri. Tiada lagi pekerja India selain mereka, pekerja bawahan yang bekerja di situ.

 

SOLAT BERJEMAAH

Apabila tiba waktu solat, saya mencari surau. Tiada surau. Saya bertanya dan diberitahu solat ramai-ramai di pejabat. Saya tidak faham. Apabila ditunjuk mereka bersolat di tempat kerja sahaja saya mula memahami. Kerusi meja dialih dan ramai-ramai beratur dengan imam di hadapan sekali berdiri sebelah dua tiga orang. Saya perhatikan bagaimana mudahnya mereka bersolat. Tidak perlu surau atau masjid, di pejabat pun boleh dengan mengalihkan kerusi dan meja. Asal bersih untuk bersolat.

 

Setelah bersolat saya kembali ke pejabat teknologi maklumat di tingkat 20. Ini adalah bangunan pejabat dan Dubai Internet City menyewa beberapa pejabat di tingkat-tingkat untuk sementara waktu, menanti pejabat sendiri siap sepenuhnya.

 

Kertas cadangan kembali dibaca. Perlukah saya memberitahu Mehboob? Kerja pemasangan infrastruktur itu makan belanja sebanyak lebih kurang Dirham 90 juta. Ya, 90 juta. Saya rasa tidak adil untuk memberitahu Mehboob sebab Hamid Kazem juga kenal Mehboob. Apa salah orang kenal sebab semua rakan perniagaan.

 

Saya rasa bersalah untuk memilih seorang yang saya kenal. Kalau tidak memilih lagi rasa bersalah. Dua syarikat lain saya tidak kenal sebab pertama kali bekerja di Dubai.

 

Saya mula menulis laporan dan memilih vendor. Berhati-hati. Saya kurang faham kerja pemasangan yang kompleks tetapi telah bertekad untuk memberi pada Mehboob sebab saya kenal beliau tanpa memberitahu Mehboob. (Dia tdak tahu dia menang tender kerana saya sampai 10 tahun kemudian).

 

Saya memutuskan syarikat Mehboob yang dipilih dan setelah siap laporan dengan menghantar ke Dr Osama, saya terus pulang. Memikirkan apa disebalik keputusan itu!

 

 (Bersambung)

 

aaa
SEORANG lelaki berdiri di hadapan papan tanda Kota Internet Dubai. - Gambar Hiasan

 

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. 

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

Lapor diri di Dubai Internet City pada 2000

Menjadi jemaah tunggal Malaysia di khemah Indonesia

Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam

INDONESIA BAGUS BAGUS !!!

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags