Tinggal setahun di apartmen depan kubur luas | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 5 November 2020

Tinggal setahun di apartmen depan kubur luas

 

PADA hari pertama bekerja, saya sudah meluluskan projek berharga 90 juta Dirham. Projek prasana IT Dubai Internet City yang dilaksanakan pertama kali dan agak bersejarah. Saya tidak tahu terperincinya kerja-kerja tersebut.

 

Saya mengambil risiko dengan memberi kepada syarikat Mehboob yang saya tahu kemudian, tidak pernah mendapat projek sebesar itu. Projek melitupi tiga bangunan awal Dubai Internet City. Bangunan belum pun dibina lagi dengan kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan dengan cepat.

 

Dr Osama terus menerima keputusan saya dan menyerahkan kepada pihak yang berwajib. Dia tidak membaca pun laporan saya. Sekadar melihat dan terus berkata `iya'. Tiada masa dengan kesibukan yang mengejar. Dia jarang ada di pejabat dan menyerahkan tugas-tugas kepada saya. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat.

 

Hari kedua dan ketiga tiada apa-apa kerja. Saya duduk dan memasang komputer riba. Saya lantas mencari rumah sewa kerana hotel diberi percuma seminggu sahaja. Mencari rumah sewa bukan mudah. Apalagi di Dubai terpaksa membayar untuk setahun. Sewa rumah dua bilik lebih kurang 40,000 Dirham.

 

Saya tidak kenal sesiapa di Dubai kecuali Hamid Kazem dan Mehboob Hamza. Takkan hendak menghubungi mereka dan bertanya tentang rumah sewa. Biarkan dia orang dengan kerja yang tentunya banyak.

 

Saya membeli kad sim dengan harga mahal untuk dimasukkan ke dalam telefon lama. Pada tahun 2000, telefon pintar masih baru.

 

Di hari kedua pihak bank menelefon untuk datang berurusan dengan saya. Saya terkejut kerana pihak bank telah kenal saya kerana pertalian dengan Dubai Internet City. Pihak bank terus datang waktu tengahari untuk membuka akaun. Saya lagi terkejut kerana di Malaysia saya terpaksa pergi ke bank untuk urusan.

 

Apabila bank datang dengan dua orang staf, dua-duanya orang perempuan muda. Saya diberitahu Dubai Internet City menyimpan AS$800 juta di dalam bank tersebut. Saya lagi terkejut kerana wang yang besar untuk projek itu. Sebab itulah mereka datang melayani pelanggan dan saya tidak perlu ke bank. Saya tidak tahu di mana pun bank tersebut.

 

aaa
Gambar belakang apartmen waktu sekarang, dahulu tahun 2000 hanya bangunan itu.

 

Apabila membuka akaun, terus sahaja boleh digunakan dengan segera. Diberi ATM dan kad kredit. Saya bertambah terkejut dengan wang 80,000 Dirham yang tiba-tiba masuk ke dalam akaun. Saya bertanya kepada staf bank, saya tidak pernah meletakkan wang sebanyak itu.

 

Staf itu ketawa. Saya hairan.

 

“Itulah wang pertukaran atau perpindahan kerja kepada staf yang datang dari luar negara dibayar oleh Dubai Internet City untuk kelayakan seperti anda!”

 

Saya cukup terkejut kerana tidak diberitahu oleh sesiapa!

 

Alhamdulilah. Dengan wang itu dapatlah saya mencari rumah untuk keluarga yang bakal datang pada bulan Ogos. Tidak payah menghantar duit dari Malaysia. Tidak sangka sebanyak itu duit yang dibayar oleh Dubai Internet City.

 

Saya mencari rumah sewa sekitar bandar raya Dubai berhampiran dengan pejabat. Ada dua tiga pilihan kawasan dari pemerhatian. Saya membeli akhbar waktu itu belum ada akhbar dalam talian pada tahun 2000.

 

Saya mencari tempat tinggal sementara dahulu untuk sebulan lebih. Saya berjalan dari hotel ke hotel, mencari hotel yang murah. Selalu untuk beberapa kilometer kerana tidak pasti untuk menggunakan bas atau teksi.

 

Saya tidak kesah kerana dapat melihat Dubai dari dekat. Pelbagai bangsa tinggal di Dubai. Orang Arab tempatan tinggal sesama mereka. Rumah besar-besar dengan segala kemewahan. Hanya 10% adalah penduduk tempatan, yang lainnya orang luar. Ekspatriat dan imigran.

 

Salah satu kawasan yang saya suka ialah Al Mankhool yang baru diwujudkan dan hanya sedikit bangunan. Kosong dan tiada orang. Ia terletak di sebatang jalan yang terus ke pejabat dengan bas. Naik bas waktu itu cukup murah, 1 Dirham sahaja.

 

aaa
Bangunan apartmen Mankhool di ambil semula gambar pada tahun 2017.

 

Saya merayau di Al Mankhool. Terjumpa satu hotel berhampiran dan segera ke sana. Pekerja hotel memberitahu hotel itu baru dibuka kerana jalan ke hotel itu pun masih dibina. Sebuah hotel di kawasan gurun. Saya bertanya kalau untuk duduk sebulan berapa harga.

 

Pekerja itu memberi diskaun hampir 50%. Saya tanpa berfikir terus mengambil hotel tersebut dan membayar duit muka. Saya lega kerana hotel tiga bintang itu masih baru dan perlukan pelanggan. Hanya untuk tidur.

 

Tugas saya seterusnya mencari tempat tinggal. Tidak kisahlah rumah pangsa pun tidak mengapa. Ada beberapa kawasan yang perlu dilawat. Ada kawasan yang dibanjiri orang India dan Filipina. Saya berhati-hati untuk memilih kawasan.

 

Saya terpaksa menggunakan agen untuk mencari rumah yang kosong dan terbuka untuk disewa. Kepala pening juga apabila membuka akhbar dengan pilihan yang banyak. Saya perlu mencari rumah dalam masa sebulan.

 

Kebanyakan agen adalah orang India. Dari gaya percakapan kadang-kadang tidak faham. Tetapi apakan daya terpaksa berurusan dengan mereka.

 

aaa
Gambar terbaharu Al Mankhool.

 

Seorang agen membawa saya ke Al Mankhool kerana kawasan ini masih baru dengan tiga bangunan sahaja yang telah siap. Bangunan lima tingkat dengan 40 apartmen itu hanya ada lima penyewa. Semuanya orang putih.

 

Setelah selesai melihat apartmen dia, seorang India berbisik, “Bangunan ini untuk orang bukan India!”

 

Saya terkejut dengan omelan itu kerana tidak sangka Dubai juga rasis. Ada kawasan yang orang putih menyewa tidak mahu orang India. Sebab itu orang India yang majoriti di Dubai `kawal' kawasan tertentu. Naif, Satwa dan beberapa kawasan tertentu misalnya, hanya orang India!

 

Kemudian agen lain membawa saya berhampiran Al Mankhool. Sebuah apartmen di padang pasir. Tiada jalan. Hanya bangunan itu sahaja. Naik kereta terpaksa meredah padang pasir.

 

Bangunan itu adalah setinggi tiga tingkat dan tiga puluh apartmen. Baru ada lima orang penyewa, semua mat salleh. Baru beberapa bulan siap.

 

Saya melihat apartmen itu yang agak besar dengan dua bilik. Keadaannya menarik walaupun tanpa jalan raya. Ada berandah.  Berhampiran jalan besar untuk ke pejabat dengan menaiki bas. Berjalan lebih kurang 10 minit. Ada kolam renang. Bagus.

 

Saya bertanya harga dengan tidak sabar. Setelah ditolak diskaun dia meletakkan harga. Melihat harga itu saya terus menerima.

 

Untuk setahun saya telah memilih apartmen di Al Mankhool tanpa mengetahui apartmen itu di depan kubur yang luas!

 

 
Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. 

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

TIDAK LAGI DITANYA GAJI SEMASA MAKAN TENGAHARI

Lapor diri di Dubai Internet City pada 2000

Menjadi jemaah tunggal Malaysia di khemah Indonesia

Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam

INDONESIA BAGUS BAGUS !!!

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags