TLDM sokong siasatan ketirisan projek kapal, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan   | DagangNews Skip to main content

TLDM sokong siasatan ketirisan projek kapal, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan  

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyokong sebarang siasatan yang dibuat berhubung ketirisan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) seperti dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis.

 

Cawangan Komunikasi Strategik TLDM dalam kenyataan hari ini berkata perolehan LCS merupakan perolehan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara dan TLDM perlu memiliki keupayaan tempur sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

 

"Sebagai pengguna akhir, kelewatan projek berkenaan telah memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur TLDM malahan kepada moral warganya yang memerlukan kapal-kapal tersebut untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

 

"Justeru, TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan dalam projek ini disiasat dan pihak yang terbukti terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan seberapa segera," menurut kenyataan itu.

 

Kenyataan itu memaklumkan TLDM menghargai keputusan kerajaan untuk meneruskan projek berkenaan dan berpandangan ia adalah keputusan tepat didorong keprihatinan kerajaan mengutamakan kedaulatan negara.

 

Pada Khamis PAC mendedahkan selesai mengadakan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 dan yang terakhir pada 8 Mac lepas dengan memanggil beberapa saksi dan hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.

 

Menurut jadual asal, sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022. - DagangNews.com