Skip to main content

TNB terbit Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion

KUALA LUMPUR 25 Nov - Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini menerbitkan Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion.

 

Sukuk Wakalah itu merupakan terbitan kedua daripada Nota Jangka Sederhana Islamnya (IMTN), yang diterbitkan dalam empat tranche.

 

"Pada kemuncak proses penetapan harga, Sukuk Wakalah terlebih langgan sebanyak kira-kira tiga kali daripada saiz terbitan awal RM2 bilion, dengan pesanan diterima berjumlah kepada agregat RM5.8 bilion daripada lebih 40 akaun,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, lapor Bernama.

 

Justeru, urus niaga itu kemudianya dinaikkan daripada saiz terbitan awal RM2 bilion kepada RM3 bilion, selepas penutupan akaun.

 

Selepas terbitan Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion itu, pinjaman disatu TNB juga akan meningkat sebanyak RM3 bilion.

 

"Berdasarkan kepada penyata kedudukan kewangan TNB sehingga 30 Jun, 2021, kadar tahap hutang TNB kemudiannya akan meningkat kepada 0.91 kali daripada 0.86 kali," katanya.

 

Affin Hwang Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd adalah Pengurus Utama Bersama/Penyelaras bersama sukuk. - DagangNews.com