Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Iktisad - 8 February 2022

'Tong kosong' masih berbunyi, tolonglah jangan kelirukan lagi masyarakat

 

 

SUARA-SUARA sumbang yang masih lagi berbunyi daripada ‘tong-tong kosong’ harus dibalas untuk mengelakkan masyarakat terus terkeliru dengan dakyah palsu dibawa mereka.

 

 

Prof. AAA mengatakan bahawa: "Bank syariah adalah bid'ah terbesar abad ini."

 

Prof. BBB pula mengatakan: "Bank syariah adalah industri ternak riba."

 

Ini pula kata Sheikh CCC, "Bank syariah adalah Kuda Troya di negeri muslim."

 

Tambah Sheikh DDD, "Bank syariah adalah riba daripada pintu belakang."

 

Prof. EEE turut mendakwa, "Perbankan syariah dan konvensional adalah kembar siam!!" Saya pula sering mengatakan: "Bank konvensional haramnya 100%, bank syariah haramnya "300%" kerana sudahlah riba, tambah mengelabui mata umat dengan embel-embel syariah."

 

Bagi penulis, kadangkala kita tidak berupaya untuk menerangkan perkara sebenar disebabkan kekangan ilmu di dada. 

 

Apa yang mampu ialah dengan menghulurkan rujukan-rujukan kepada masyarakat bagaimana perbankan Islam dipraktikkan sekarang dengan merujuk kepada resolusi-resolusi yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga MPS Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), serta fatwa-fatwa mufti negeri di Malaysia. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: `Profit' daripada bank-bank Islam adalah haram, menindas?

 

Rujukan juga boleh dibuat dengan The Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions(AAOIFI) dan The International Islamic Fiqh Academy (IIFA) yang berpusat di negara Asia Barat.

 

Memang mudah untuk mereka menidakkan apa sahaja yang diusahakan oleh perbankan Islam. Tetapi, apakah penawar atau cadangan yang boleh diberikan untuk menidakkan aplikasi riba dalam sistem perbankan ini? 

 

Adakah cadangan ini boleh diadaptasi dengan undang-undang dunia yang dikawal oleh kuasa-kuasa besar kewangan barat yang bertuhankan riba?

 

Adakah, para alim ulama dan cendekiawan Islam seperti Sheikh Nizam Yaqubi, Sheikh Essam Eshak, Tan Sri Dr. Daud Bakar, Dr. Aznan Hasan, tidak menguasai ilmu syariah dan teknikal kewangan? 

 

Cuba bandingkan cendekiawan ini dengan para professor dan sheikh yang membuat kenyataan di atas. Apakah ilmu syariah mereka itu setanding?

 

Penulis boleh menghormati pandangan para professor dan sheikh di atas. Bagus juga untuk mengambil kira pandangan mereka dan memperbaiki yang mana kurang dalam aplikasi perbankan Islam.

 

Akan tetapi kalau pandangan mereka hanya untuk mengkritik macam tong kosong tanpa cadangan, penulis merasakan tidak akan ada faedah untuk terus bertengkar dengan mereka kerana masa akan terbuang begitu sahaja.

 

Oleh itu, penulis menyarankan para profesor dan sheikh di atas supaya merujuk kepada resolusi-resolusi MPS BNM dan MPS SC, AAOIFI dan IIFA. 

 

Ini kerana kesemua tohmahan mereka sebenarnya sudah pun terjawab dalam resolusi-resolusi tersebut. 

 

Tolonglah jangan terus-menerus memudaratkan usaha dakwah perbankan Islam dengan mengelirukan masyarakat melalui media sosial. Tolonglah!

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags