UIAM, KAB Goldynamics kumpul dana biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar memerlukan | DagangNews Skip to main content

UIAM, KAB Goldynamics kumpul dana biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar memerlukan

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan KAB Goldynamics Sdn Bhd untuk mengumpul dana Tabung ALSAFA bagi menyediakan tajaan biasiswa dan bantuan kewangan kepada para pelajar UIAM yang memerlukan.

 

Dalam majlis tersebut, UIAM diwakili Rektor, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Komuniti), Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan, manakala KAB Goldynamics diwakili Pengarah Urusan, Mohamed Khairul Anuar Basri dan Ketua Pegawai Operasi, Azrul Ibrahim Mohamed.

 

Menerusi perjanjian itu, KAB Goldynamics akan menghasilkan emas satu gram edisi terhad UIAM sempena sambutan ulangtahun ke-40 universiti tersebut, selain UIAM akan menerima pembayaran royalti bagi setiap unit yang dijual bagi mengisi dana Tabung ALSAFA. 

 

Projek ini juga akan membantu mempromosikan UIAM di mata masyarakat serta menggalakkan warga UIAM dan orang ramai untuk membeli dan menyimpan emas untuk dijadikan sebagai aset mampu milik. Emas edisi terhad ini akan dijual di pasaran mulai minggu hadapan. 

 

KAB Goldynamics adalah merupakan syarikat yang diterajui alumni UIAM yang mana pengarah urusannya merupakan salah seorang alumni UIAM. 

 

Ia juga adalah sebagai salah satu usaha bagaimana para alumni dapat memberikan semula sumbangan untuk membantu pelajar-pelajar di institusi yang dahulu tempat mereka menimba ilmu.

 

Dzulkifli berkata, usaha itu memberi faedah kepada ramai pihak bukan sahaja kepada UIAM dan syarikat alumni, malah para pelajar yang bakal menerima bantuan kewangan untuk pembelajaran di universiti menerusi dana yang dikumpulkan Tabung ALSAFA. 

 

 

uiam

 

 

uiam

 

 

“Ini dilihat sebagai inisiatif menang-menang bagi semua pihak. Saya berharap lebih ramai alumni akan bekerjasama di masa hadapan. 

 

"Ini kerana universiti kini beroperasi dengan kekangan kewangan tetapi pada masa yang sama perlu memastikan infrastrukturnya sentiasa dalam keadaan baik demi keselesaan pelajar," katanya.

 

 

uiam
Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (tengah) dan Mohamed Khairul Anuar Basri (dua, kanan)  bergambar ketika Majlis Menandatangani Perjanjian MoA di UIAM Gombak, Selangor.

 

 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perhubungan Alumni UIAM, Mir Azrul Shaharudin berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk membina perhubungan erat dengan bekas penuntut UIAM yang kini berjumlah lebih 100,000 di seluruh dunia. 

 

“Usaha ini tidak terhad kepada sumbangan kewangan, malah idea dan kepakaran boleh dikongsi bersama alumni bagi bersama-sama membantu membangunkan universiti. 

 

"Sebelum ini satu lagi memorandum persefahaman telah dimeterai bersama International Islamic Fiqh Academy (IIFA), sebuah akademi antarabangsa yang beribu pejabat di Arab Saudi yang turut diketuai alumni UIAM," katanya. - DagangNews.com