unifi TV tambah 5 saluran baharu, 4 aplikasi penstriman termasuk Disney+ Hotstar | DagangNews Skip to main content

unifi TV tambah 5 saluran baharu, 4 aplikasi penstriman termasuk Disney+ Hotstar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 April - Pelanggan unifi TV akan menikmati lebih kandungan-kandungan antarabangsa dan tempatan yang menarik pada bulan hadapan, termasuk Disney+ Hotstar.

 

Disney+ Hotstar merupakan aplikasi penstriman khusus untuk kandungan antarabangsa, serantau dan dari Malaysia. 

 

Ia membawakan filem-filem blockbuster Hollywood dan kandungan yang memenangi pelbagai anugerah daripada Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic, FX, 20th Century Studios dan banyak lagi, serta pelbagai judul daripada studio-studio terpilih di Malaysia dan portfolio kandungan bahasa tempatan yang unik dan kian berkembang dari Asia Pasifik. 

 

Pada 1 Mei 2022, unifi akan menambah lima saluran baharu dan satu aplikasi penstriman baharu ke platform unifi TV, dengan tiga lagi aplikasi penstriman akan disenaraikan dalam kandungan unifi pada 17 Mei 2022. 

 

Lima saluran definisi tinggi (HD) baharu tersebut ialah beIN SPORTS 1, beIN SPORTS 3, CCTV-4, CGTN serta saluran baharu milik unifi sendiri, DEGUP manakala empat aplikasi penstriman baharu termasuk Disney+ Hotstar, MySing, beIN SPORTS CONNECT dan SPOTV NOW.

 

Dengan penambahan saluran dan aplikasi baharu ini, unifi TV akan mempunyai sejumlah 74 saluran premium dan 15 aplikasi penstriman di platformnya, yang boleh dinikmati menerusi kotak media unifi TV atau aplikasi unifi PlayTV di mana-mana sahaja.

 

Ketua Pegawai Komersial Telekom Malaysia Berhad (TM), Anand Vijayan berkata, pihaknya amat teruja untuk membawakan lebih banyak kandungan hebat kepada para pelanggan melalui unifi TV untuk pengalaman tontonan yang lebih baik. 

 

"Saluran dan aplikasi penstriman yang baru ditambah ini akan menyediakan pelbagai filem dan siri antarabangsa kegemaran ramai, program tempatan dan vernakular, berita serta aksi sukan. Sama ada anda meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga di rumah atau di mana-mana sahaja, anda akan tetap terhibur.

 

“unifi TV terus berusaha untuk memberikan kandungan yang lebih menarik untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia daripada pelbagai segmen, dan kami mempunyai sesuatu untuk anda semua sama ada secara langsung, atas permintaan atau kandungan over-the-top (OTT). 

 

"Kerjasama terbaharu kami dengan penyedia kandungan terkemuka ini mengukuhkan lagi komitmen unifi dalam menyediakan hiburan berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa buat pelanggan kami dan memperkukuh kedudukan kami sebagai agregator kandungan terbaik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Disney+ Hotstar akan disenaraikan dalam unifi TV Ultimate Pack tanpa sebarang kos tambahan mulai 17 Mei 2022.

 

Bagi pelanggan Ultimate Pack sedia ada, mereka boleh pra-daftar hasrat untuk menukar himpunan aplikasi penstriman sedia ada mereka bermula hari ini di https://activate.unifi.com.my/disney untuk menikmati Disney+ Hotstar apabila ia mula boleh ditonton pada 17 Mei 2022 nanti. 

 

Bersempena pelancaran ini, unifi turut menawarkan tontonan secara percuma untuk semua salurannya buat semua pelanggan unifi Home dari 30 April hingga 8 Mei 2022, menjadikan sambutan Raya lebih istimewa. - DagangNews.com