UniKL MFI sasar lahir lebih ramai graduan bidang teknologi kejuruteraan bertaraf dunia | DagangNews Skip to main content

UniKL MFI sasar lahir lebih ramai graduan bidang teknologi kejuruteraan bertaraf dunia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Kerjasama Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) dengan institusi dan pemain industri dari Perancis dipercayai bakal melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang teknologi kejuruteraan bertaraf antarabangsa pada masa akan datang. 

 

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, hubungan kerjasama antara UniKL MFI dengan institusi akademik dan pemain industri di Perancis wajar diteruskan bagi menyalurkan pembelajaran serta latihan yang terbaik kepada mahasiswa di Malaysia.

 

“Menerusi UniKL MFI, Malaysia berjaya membentuk hubungan yang sangat baik dengan kerajaan Perancis di dalam bidang pendidikan dan latihan. Jadi, apa yang saya lihat di UniKL MFI, institut ini juga tidak dinafikan mempunyai kualiti fasiliti dan peralatan yang setanding dengan universiti antarabangsa lain serta turut mengikut perkembangan teknologi semasa.

 

“Ketika ini, seluruh dunia memberi tumpuan kepada teknologi kenderaan elektrik (EV) dan saya bangga apabila di UniKL MFI turut mempunyai teknologi sama sebagai sebahagian daripada latihan dan pembelajaran kepada pelajar di sini.

 

“Ini merupakan petanda positif bahawa Malaysia sedang bergerak seiring dengan negara lain dan dalam masa sama, pelajar di sini juga dapat diperkenalkan dengan semua teknologi moden terutamanya dalam bidang automotif, penyamanan udara serta teknologi baharu yang dibangunkan di institut ini.

 

"Di sebalik kesan kepada ekonomi akibat pandemik COVID-19, rata-rata graduan UniKL termasuk dari UniKL MFI tidak begitu terkesan dengan UniKL secara keseluruhannya mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan 96.1% dalam laporan yang dikeluarkan tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

azizah

 

Sementara itu, seramai 72 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti  di Perancis dalam bidang Kejuruteraan, Sains Politik dan Pengurusan Perniagaan dengan 62 daripadanya menerima tajaan MARA manakala 10 lagi mendapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

 

UniKL MFI menawarkan 23 program di peringkat Persediaan Ke Perancis, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD) yang mengkhususkan kepada bidang penyelenggaraan perindustrian dan teknologi automasi.

 

azizah 2

 

Baru-baru ini, UniKL MFI menjadi institusi pendidikan terawal yang membangunkan pusat teknologi air, dikenali sebagai Centre of Water Engineering Technology (CWET) sebagai langkah untuk menambah baik kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja baharu dan sedia ada di dalam sektor tersebut.

 

CWET yang berkeluasan 35,000 kaki itu mempunyai Makmal Pengurusan Sumber Air yang dilengkapi dengan sistem pengawasan kualiti air canggih yang dibangunkan Veolia Group dari Perancis. 

 

aziazh2

 

Bermula September lalu, UniKL MFI mula menawarkan kursus Teknologi Kejuruteraan (Kejuruteraan Air dan Tenaga) di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana. - DagangNews.com