Universal Basic Income: Mampukah kita? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 18 December 2021

Universal Basic Income: Mampukah Malaysia?

Nanyang Siang Pao, 14 Disember 2021

 


 

SISTEM Pendapatan Asas Sejagat atau Universal Basic Income (UBI) menjadi satu topik perbincangan hangat, perbahasan dan kempen di seluruh dunia.

 

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memburukkan lagi ketidaksamarataan jurang pendapatan dan meningkatkan kemiskinan tegar.

 

Keadaan ini membawa kepada kempen besar-besaran pelaksanaan pendapatan asas tanpa syarat sebagai salah satu pendekatan untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial.

 

Pendapatan Asas Sejagat (UBI) bermakna setiap rakyat tanpa mengira status pekerjaan atau pendapatan, akan menerima sejumlah wang dengan nilai lebih tinggi daripada Garis Pendapatan Kemiskinan (GPK) tanpa syarat kelayakan.

 

Ini adalah pelan pembayaran yang dijamin oleh kerajaan, sejumlah pendapatan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan keperluan asas hidup setiap bulan. 

 

Walaupun pada masa ini belum ada negara yang mempunyai model UBI, tetapi banyak negara telah membuat eksperimen bagi menguji kebolehlaksanaan program ini.

 

Terdapat persoalan mengenai kemampuan dan kelanjutan UBI, sama ada rakyat yang menerima program ini akan meneruskan atau mencari pekerjaan.

 

Atau secara tidak langsung rakyat telah diterapkan dengan sikap malas, yang akhirnya menyebabkan kehilangan produktiviti dan pengeluaran negara juga berkurangan.

 

Penyokong UBI percaya bahawa sistem ini boleh digunakan sebagai satu daripada titik permulaan menyediakan sokongan pendapatan minimum untuk golongan yang kurang bernasib baik. Dan satu kaedah untuk membantu anak-anak dan pelajar universiti menerusi hasrat untuk belajar. 


 

cina

 


Terdapat bukti yang menunjukkan individu yang menerima pendapatan asas, cenderung untuk meningkatkan beberapa bentuk jaminan pendapatan dan kesejahteraan, memperbaiki asas penjagaan kesihatan, meningkatkan pembangunan diri dan yakin bahawa institusi sosial akan terus menjaga keperluan asas dan kebajikan mereka.

 

Oleh kerana pendapatan asas akan disediakan secara automatik, ini mengurangkan kos pentadbiran dan birokrasi pengurusan program kebajikan.

 

Ramai yang percaya bahawa UBI juga akan memberi masa kepada orang ramai untuk melatih diri semula dan terus mencari pekerjaan.

 

Pengkritik pula berpendapat UBI bukanlah jalan penyelesaian yang sesuai kerana bimbang “pendapatan percuma” tanpa syarat ini akan membentuk budaya tidak sihat dalam kalangan rakyat, mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari pekerjaan.

 

UBI tanpa syarat ini akan membuatkan golongan muda tidak mempunyai motivasi meningkatkan kemahiran diri dan mencari pekerjaan.


 

cina

 


Adakah Malaysia mampu melaksanakan UBI?

Walaupun kerajaan belum lagi mempertimbangkan pelaksanaan  dasar pendapatan asas, inisiatif ini telah dibincangkan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN2050) yang bertujuan untuk menangani kemiskinan dan ketidaksamaan.

 

Beberapa isu yang perlu dipertimbangkan sebelum pelaksanaan UBI:-

 

  1. Keadaan kewangan negara

    Pelaksanaan UBI perlu mempertimbangkan sama ada untuk menggantikan bantuan yang sedia ada menjadikannya pakej bantuan baru.



    Keperluan untuk menyatukan semua program kebajikan awam sedia ada yang disasarkan kepada individu kurang bernasib baik dan golongan B40. Ini termasuklah bantuan kewangan, subsidi, sistem kesihatan awam, perumahan dan pengangkutan awam.

 

  1. Penetapan pendapatan asas atau gaji yang cukup untuk menyara kehidupan seseorang.


    Dalam kajian 2016 Bank Negara Malaysia (BNM), konsep “gaji kehidupan wajar” telah diperkenalkan bagi memberi peluang untuk pembangunan individu dan keluarga serta membebaskan daripada tekanan kewangan yang serius.


    Di Kuala Lumpur, gaji kehidupan wajar setiap individu adalah RM2,700 sebulan.


    Mengikut pengiraan terkini 2019 berdasarkan keperluan makanan seimbang dan sihat, purata GPK isi rumah di Malaysia adalah RM2,208 sebulan.




     
  2. Kos besar


    Mengikut sasaran bilangan penerima Batuan 1Malaysia (BR1M) pada tahun 2018, diandaikan pendapatan asas bulanan adalah antara RM2,208 (GPK 2019) dan RM2,700 (gaji kehidupan wajar Kuala Lumpur 2016).


    Maka, anggaran perbelanjaan kerajaan untuk BR1M ialah antara RM192.7 bilion hingga RM235.7 bilion (kira-kira 82.5 hingga 100.9% daripada jumlah perbelanjaan pentadbiran kerajaan pada 2022, dan 11.8 hingga 14.4% daripada KDNK).


    Penerima BR1M ialah 7.3 juta keluarga B40 dan rakyat berpendapatan rendah (22.5% daripada jumlah penduduk Malaysia pada 2018).


    Walaupun kita membuat pengiraan mengikut 50% GPK (RM1,104) dan 50% gaji kehidupan wajar, jumlah tersebut masih besar antara RM96.4 bilion (menyumbang 41.3% jumlah perbelanjaan pentadbiran pada 2022 dan 5.9% daripada KDNK) dan RM117.8 bilion (mencakupi 50.5% daripada jumlah perbelanjaan pentadbiran dan 7.2% daripada KDNK pada 2022).

 

Justeru itu, melaksanakan sistem pendapatan asas memerlukan sumber kewangan  yang sukar untuk dibayangkan.

 

Penyokong UBI percaya sistem ini lebih berkesan dan boleh menggantikan sistem kebajikan birokrasi yang sedia ada.


 

cina

 


Walaubagaimanapun, untuk mencapai pembiayaan UBI di tahap “berkesan” memerlukan cukai yang lebih tinggi.

 

Tetapi nisbah cukai kepada KDNK Malaysia pada masa ini adalah rendah.

 

Sebelum melaksanakan UBI, kita mesti terlebih dahulu menyelesaikan pelbagai isu yang kompleks sama ada ia boleh dilaksanakan dari sudut politik dan cabaran kemampanan kewangan negara.

 

Sumber kewangan kerajaan tidak mampu untuk menampung pembiayaan besar yang diperlukan oleh UBI.

 

Selain kita juga masih perlu berdepan dengan impak “negatif” UBI iaitu budaya kebergantungan dan membantutkan motivasi orang ramai untuk mencari pekerjaan dan membangunkan diri sendiri.

 

 

Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao, 14 Disember 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags