Untuk Sediakan Strategi Penjenamaan Yang Baik, Saya Pegang Kuat 7 Nasihat Ini | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 29 June 2021

Untuk Sediakan Strategi Penjenamaan Yang Baik, Saya Pegang Kuat 7 Nasihat Ini

Ia hanya boleh disediakan dan diperkuatkan sekiranya strategi perniagaan yang ada juga baik

 

 

 

PENJENAMAAN biasanya tidak hanya sekadar merekabentuk logo, mempunyai warna korporat yang seimbang dan slogan yang baik. Ia lebih dari itu.

 

Ia juga perlu meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang nampak, dengar dan lihat nama jenama kita terpampang di mana-mana. Ia juga perlu meninggalkan rasa lebih ingin tahu, rasa ingin membeli, rasa ingin bekerjasama atau rasa ingin menjadi sebahagian dari jenama kita.

 

Penjenamaan juga perlu membuatkan mereka berasa ingin terus menggunakan produk yang kita jual dan membuka mulut kepada orang lain tentang kebaikan produk kita.

 

Kekuatan strategi penjenamaan yang dirangka biasanya bermula dengan strategi perniagaan yang benar-benar kuat. Ini perkara yang paling asas dalam pembentukan sesuatu strategi penjenamaan. Konsep yang sama juga digunapakai dalam pembinaan bangunan-bangunan di luar sana. Kata kunci di sini ialah perkara yang paling asas.

 

Bercakap tentang kepentingan perkara asas, tahukah anda, pembinaan Menara Berkembar Petronas telah mengambil masa selama 3 tahun untuk dibina? Dan pembinaan struktur asasnya sahaja mengambil masa lebih dari setahun, ia bermula pada bulan Mac 1993 sehingga April 1994.

 

Struktur asas yang dibuat itu merangkumi kedalaman 25 meter yang boleh ‘menelan’ bangunan setinggi 5 tingkat. Ini bagi menampung berat dua buah menara yang seberat 300,000 metrik tan setiap satu, struktur asas perlu kukuh. Jadi, tempoh pembinaan struktur asasnya sahaja telah menjadi sejarah pembinaan struktur dan penuangan konkrit yang terlama di negara ini.

 

idea

 

Menara Berkembar Petronas telah tersenarai sebagai menara tertinggi dunia pada 1998 sehingga 2004 sebelum dipintas oleh Taipei 101 selepas itu. Kita boleh lihat di sini betapa pentingnya sesuatu struktur asas itu dalam pembentukan apa sahaja, termasuklah pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas.

 

Untuk pengetahuan kita semua, hari ini, Marketing In Asia, sebuah platform perkongsian kandungan yang saya miliki kini dalam peringkat akhir untuk proses pengambilalihan oleh sebuah syarikat modal teroka atau venture capital yang berpusat di India.

 

Pada awal waktu perancangannya dahulu, saya agak bernasib baik kerana memulakan dua strategi penting lebih awal untuk persediaan ke pentas global. Pertama, strategi perniagaan yang benar-benar kuat. Dan kedua, strategi penjenamaan yang jitu, yang bergantung erat dengan strategi perniagaan tadi. Kini, alhamdulillah. Selepas hampir empat tahun, ia kini telah menampakkan hasil.  

 

Saya percaya orang tidak membeli 100% disebabkan oleh faktor penjenamaan semata-mata, tetapi kerana kualiti produk yang baik dan pengalaman manis yang mereka terima. Kedua-dua faktor ini adalah di antara elemen penting yang wujud dalam strategi perniagaan atau model perniagaan yang kita sediakan dahulu.

 

Jadi berdasarkan kepercayaan ini dan bersama-sama dengan beberapa faktor lain yang saya perolehi daripada pembacaan, pemerhatian dan pengalaman yang ada, saya sangat berpegang erat pada 7 elemen lain yang perlu wujud dalam strategi perniagaan yang hendak kita bina.

 

1. Bina penyelesaiaan yang benar-benar menyelesaikan masalah kepada sekurang-kurangnya satu golongan yang disasarkan

Untuk Marketing In Asia, saya telah memilih untuk menyelesaikan masalah yang sekarang ini ditanggung oleh para pembuat kandungan seperti penulis blog, perekabentuk grafik, pembuat video dan penggiat podcast untuk menyebarkan kandungan-kandungan kreatif mereka di seluruh Asia.

Strategi memuat naik di media sosial masing-masing sebenarnya tidak mencukupi untuk membuat tularan dan mereka memerlukan satu platform yang jauh lebih berkesan dan percuma. Setakat hari ini, lebih 600 pembuat kandungan dan para profesional dalam industri media di rantau Asia Tenggara kini menikmati manfaat dari platform ini.

 

2. Wujudkan model perniagaan yang kreatif dan relevan sepanjang masa

Model perniagaan adalah bagaimana operasi perniagaan itu dijalankan, apakah produknya, siapa pula sasaran penggunanya, berapa besar saiz pasarannya, bagaimana ia akan membuat keuntungan, apakah tawaran nilai yang disediakan dan bagaimana pula ia akan kekal relevan dan popular dalam jangkamasa panjang.

Setelah lebih enam bulan membuat kajian tentang pelbagai model perniagaan dari beratus-ratus jenama terkenal dunia, saya akhirnya memilih model perniagaan yang seakan-akan YouTube dan Medium. Kedua-dua platform ini berada pada ranking di antara yang tertinggi di dunia. Mereka menggunakan model berikut,

  1. Platform yang fokus kepada kandungan dalam talian.
  2. Kandungan yang dimuatnaik adalah pengguna sendiri. Kaedah user-generated content digunakan.  
  3. Disokong oleh platform berteknologi tinggi
  4. Manfaat yang ditawarkan oleh mereka sangat berguna, sukar ditolak oleh pengguna.

 

3. Nama perniagaan yang nampak gah

First impression penting. Hanya dengan nama, biasanya orang mampu rasa yang perniagaan kita itu kecil, besar, sekadar di Malaysia ataupun berada di peringkat antarabangsa. Saya dari awal lagi inginkan satu perniagaan yang merangkumi benua Asia, jadi terang-terang saya meletakkan perkataan tersebut pada nama platform saya. 

 

4. Aset yang dibina perlu mengutamakan konsep UI/UX atau user interface dan user experience

engguna akan berinteraksi dengan perniagaan saya melalui platform, iaitu laman web. Bagi saya, jenama perniagaan yang baik adalah apabila pengguna tidak terasa tertekan ketika melayari platform yang disediakan. Malah, mereka gembira menggunakannya lagi dan lagi. Di sini, teknik bagaimana sesuatu merekabentuk platform atau laman web itu sangat penting. Dan saya lebih gemar menggunakan strategi minimalist dalam setiap rekabentuk user interface yang dilakukan. 

 

5. Operasi yang kecil tetapi cekap, dan tidak dipengaruhi oleh kadar pertumbuhan syarikat

Ini sangat penting. Untuk menjadi satu jenama yang besar di Asia, saya tidak gemar mempunyai pasukan yang terlalu besar, yang terus-menerus mempunyai pekerja baharu apabila operasi syarikat bertambah besar. Kos operasi tidak sepatutnya selari dengan kadar pertumbuhan sesuatu perniagaan itu. Jadi, model perniagaan yang saya telah pilih tadi mampu mengoptimumkan keseluruhan kos operasi dengan jumlah pekerja yang sangat kecil walaupun platform saya ini menjadi terlalu besar. Dan saya sangat berterima kasih kepada strategi crowdsourcing dan user-generated content yang digunakan.

 

6. Pasukan yang mantap dan berkepakaran tinggi

Berbekalkan dengan pendirian pasukan yang kecil tetapi mantap ini, saya cuma perlu mempunyai para pekerja yang boleh diharapkan. Ternyata kriteria yang penting di sini ialah berkepakaran tinggi, kreatif, tidak terlalu bergantung kepada saya untuk membuat keputusan yang masuk akal, berfikiran dan berperangai positif dan bertanggungjawab menunaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan. Secara kasarnya, keseluruhan pasukan Marketing In Asia sebenarnya tidak sampai 10 orang pun, namun kita masih boleh menjalankan operasi di seluruh Asia dengan selesa.

 

7. Aset, pendapatan, perbelanjaan dan hutang

Di antara sebab utama saya gemar mempunyai pasukan yang kecil tetapi mantap adalah kerana saya mahu membina platform ini sekukuh mungkin dari aspek kewangan juga.

Ini termasuk struktur pemilikan aset terutamanya aset-aset digital, mampu menjana pendapatan harian yang tinggi dan berterusan, perbelanjaan bulanan yang sederhana besarnya dan syarikat tidak sepatutnya dibebani dengan hutang yang di luar kawalan.

Elemen ini sangat penting dalam pembentukan strategi perniagaan yang benar-benar kuat yang boleh dinilai secara mendalam oleh mana-mana syarikat modal teroka di luar sana melalui penyata-penyata kewangan syarikat.

 

Saya mahu kita semua faham tentang perkara penting ini sekali lagi sebelum memulakan apa jua langkah keusahawanan yang ada dalam fikiran kita masing-masing. Strategi penjenamaan yang baik hanya boleh disediakan hanya apabila kita mempunyai strategi perniagaan yang baik.

 

Dan jangan bimbang sekiranya kita terpaksa mengambil masa yang lama untuk memperbetulkan pelbagai versi dalam menyediakan strategi perniagaan kita untuk mendapatkan versi yang betul-betul kita mahukan. Rancang dengan rapi terlebih dahulu. Strategi penjenamaan akan menjadi lebih mudah selepas itu. - DagangNews.com

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

 

KOLEKSI IDEA DIGITAL:

Memperhalusi, memahami strategi pemasaran Apple

3 Benda Ini Bakal Tentukan Nama Bisnes Yang Efektif

Saya Seorang Pemasar Digital. Ini Pendapat Saya Tentang 2021

Bisnes Saya Beroperasi Secara Digital Sejak 2011. Ini Apa Yang Saya Belajar

Orang Membeli Tidak Hanya Berdasarkan Iklan

4 Pengajaran Tentang Pemasaran Digital Dari Kemenangan Joe Biden

Mengapa Strategi Pemasaran Mahal?

E-pemasaran : Minta 20 rakan baik di media sosial tolong tularkan

Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal

Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja

SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags