Skip to main content

Untung bersih Apex Healthcare meningkat 83% kepada RM23.49 juta Q2 FY2022

Lembaga Pengarah umum dividen interim sebanyak 3.0 sen sesaham, meningkat 20% berbanding dividen interim 2.5 sen yang diumumkan pada 2021
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Apex Healthcare Berhad, antara pengeluar dan pengedar produk farmaseutikal serta barangan penjagaan kesihatan pengguna yang terkemuka di Malaysia, telah mencatatkan lonjakan sebanyak 83.2% dalam keuntungan bersih kepada RM23.49 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2022 (Q2 FY2022), berbanding RM12.82 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi suku tersebut juga menyaksikan peningkatan hingga 14.6% kepada RM209.25 juta daripada RM182.56 juta pada tahun sebelumnya.

 

Prestasi Apex Healthcare untuk Q2 FY2022 telah menyumbang kepada prestasi yang kukuh bagi separuh pertama tahun ini, dengan catatan peningkatan sebanyak 58.9% dalam keuntungan bersih kepada RM39.26 juta untuk separuh pertama tahun kewangan 2022 (H1 FY2022), meningkat daripada RM24.7 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (H1 FY2021).

 

Pendapatan untuk enam bulan pertama 2022 meningkat 17.4% kepada RM425.17 juta, berbanding RM362.04 juta pada tahun sebelumnya.

 

Syarikat mengaitkan prestasi kewangannya yang kukuh dengan pendapatan dan keuntungan operasi yang lebih baik daripada anak-anak syarikatnya, hasil daripada aktiviti pengguna yang semakin bertambah, lonjakan permintaan terhadap ubatan pernafasan dalam pasaran utama.

 

Ini termasuk bahagian keuntungan selepas cukai yang meningkat dengan ketara daripada syarikat bersekutunya, Straits Apex Group Sdn Bhd (SAG).

 

Prestasi keuntungan daripada SAG untuk Q2 FY2022 adalah RM7.2 juta, satu peningkatan ketara berbanding RM0.7 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu setelah tunggakan pesanan diselesaikan dengan segera selepas hasil pengeluaran kembali normal pada suku kedua.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Apex Healthcare, Dr Kee Kirk Chin berkata, pemantapan teras dan kemampuan Apex Healthcare dalam memenuhi permintaan pasaran yang berubah-ubah membolehkan syarikat mencatat prestasi yang cemerlang sejak pandemik melanda.

 

“Kehadiran subvarian COVID-19 yang mencetuskan gelombang di peringkat global mendorong kami untuk terus berusaha keras dalam mengekalkan integriti rantaian bekalan.

 

“Kami amat menghargai komitmen para pekerja dan rakan kongsi yang bekerja tanpa lelah demi memenuhi peningkatan permintaan terhadap ubat-ubatan,” katanya.

 

Dr Kee Kirk Chin
                                 Dr Kee Kirk Chin

 

Walau bagaimanapun kata Dr Kee, masih terdapat kelompangan dalam pasaran semasa terutamanya untuk beberapa preskripsi dan ubat belian kaunter bagi ubat batuk serta selsema.

 

“Syarikat berusaha dengan aktif dalam menangani kekurangan produk tersebut agar dapat meningkatkan ketersediaannya buat profesional penjagaan kesihatan dan pengguna dalam beberapa bulan yang akan datang,” tambahnya.

 

Untuk memenuhi keperluan pasaran, Apex Healthcare telah mempercepatkan pelancaran dua produk paracetamol baharu, Palavo 650mg dan Palavo Suspension 120mg/5ml, ke S2 TK2022.

 

Syarikat juga telah menugaskan  sebuah lagi mesin pembungkusan lepuh dalam fasiliti pembuatan dos pepejal oral terbaharunya (SPP NOVO), sekaligus meningkatkan jumlah maksimum kapasiti pengeluaran tahunan untuk tablet dan kapsul sebanyak 36%.

 

Selain itu, mesin pengeluaran cecair berkapasiti tinggi yang baharu sedang menjalani proses kelayakan dan dijadualkan untuk memulakan pengeluaran komersial pada suku ketiga tahun 2022, seterusnya menggandakan jumlah maksimum kapasiti pengeluaran tahunan Apex Healthcare bagi ubatan cecair seperti sirap batuk dan selsema.  

 

Selepas peningkatan terhadap prestasi kewangan H1 FY2022, Lembaga Pengarah Apex Healthcare mengumumkan dividen interim sebanyak 3.0 sen sesaham.

 

apex

 

Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan peningkatan 20% berbanding dividen interim 2.5 sen yang diumumkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Tarikh kelayakan dividen interim adalah 6 September 2022 dan akan dibayar pada 15 September 2022. – DagangNews.com