Untung bersih Takaful Malaysia susut 15% kepada RM69.7 juta pada suku kedua akibat Cukai Makmur | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Takaful Malaysia susut 15% kepada RM69.7 juta pada suku kedua akibat Cukai Makmur

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM69.7 juta, susut 15% daripada RM81.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran pelaksanaan Cukai Makmur dan perubahan dalam akta cukai ke atas pendapatan larasan berhubung dengan perniagaan takaful keluarga.

 

Bagaimanapun, kumpulan berjaya merekodkan hasil operasi sebanyak RM831.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 19% berbanding RM701.2 juta dalam tempoh sama suku tahun sebelumnya, berikutan jualan lebih tinggi yang dijana menerusi takaful keluarga dan perniagaan takaful am.

 

Kumpulan juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) sebanyak RM107.2 juta, meningkat 12% berbanding RM95.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan pendapatan yuran wakalah bersih yang lebih tinggi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Nor Azman Zainal berkata, asas kewangan dan daya tahan operasi yang kukuh telah membolehkan kumpulan meneruskan prestasi perniagaan yang baik prestasi pada tahun 2022. 

 

"Kumpulan akan memanfaatkan kedudukan peneraju pasarannya dalam produk sumbangan tunggal, selain memberi tumpuan kepada produk sumbangan tetap runcit untuk mempelbagaikan lagi portfolio perniagaan kami. 

 

"Ini adalah sebahagian daripada kunci strategi untuk mengembangkan perniagaan kami dalam pasaran runcit yang belum diterokai kerana pasaran takaful keluarga mempunyai penembusan yang lebih rendah berada pada 18.6%," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi suku berakhir 30 Jun 2022, perniagaan takaful keluarga mencatatkan caruman perolehan kasar sebanyak RM506.1 juta, meningkat 14%, berbanding RM444.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. Peningkatan disebabkan jualan lebih tinggi produk berkaitan kredit. 

 

 

takaful
Nor Azman Zainal

 

 

Pendapatan pelaburan perniagaan takaful keluarga untuk suku dalam tinjauan juga meningkat kepada RM75.4 juta, iaitu 6% daripada RM71.1 juta pada suku yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan pendapatan keuntungan lebih tinggi pelaburan pendapatan tetap.

 

Perniagaan takaful am terus menyokong pertumbuhan perniagaan dan keuntungan kumpulan. Untuk suku tersebut dalam tinjauan, perniagaan takaful am menjana caruman perolehan kasar sebanyak RM232.6 juta, meningkat sebanyak 18% berbanding RM197.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

Pertumbuhan itu terutamanya disebabkan kebakaran dan kelas perniagaan motor. Selain itu, pelaburan pendapatan perniagaan takaful am meningkat 12% kepada RM8.2 juta daripada RM7.3 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan keuntungan lebih tinggi pelaburan pendapatan tetap.

 

Tambah Nor Azman, kumpulan akan terus mencapai keseimbangan yang betul antara margin pengunderaitan dan pertumbuhan perniagaan untuk menembusi pasaran lebih jauh dan mendapat kedudukan utama dalam kalangan pemain industri utama. 

 

"Menerusi kejayaan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami akan meneruskan strategi pengembangan perniagaan kami ke dalam pasaran yang dilayani pemain insurans am konvensional. 

 

"Dengan kedua-dua lesen takaful keluarga dan am, kumpulan akan dapat mewujudkan sinergi lebih besar dan kelebihan daya saing untuk menyediakan penyelesaian takaful komprehensif dalam pemasaran serta memastikan perniagaan daripada pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com