UOB Painting of the Year 2022 tawar hadiah RM100,000 | DagangNews Skip to main content

UOB Painting of the Year 2022 tawar hadiah RM100,000

Ng Wei Wei
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - UOB Malaysia telah melancarkan pertandingan UOB Painting of the Year (POY) 2022 yang menawarkan hadiah sejumlah RM100,000.

 

Pertandingan UOB POY adalah program seni visual serantau utama bank dan salah satu anugerah seni tahunan paling berprestij di Asia Tenggara yang bertujuan mencungkil dan memupuk bakat seni di seluruh rantau.

 

Sempena ulang tahun ke-71 UOB Malaysia, bank juga telah memperkenalkan Kempen Khas Ulang Tahun ke-71 UOB Malaysia sebagai sebahagian daripada pertandingan UOB POY (Malaysia) 2022. 

 

Karya seni yang memenangi kempen khas ini akan dipaparkan pada bahagian luar tren MRT yang akan bergerak di sekitar Lembah Klang. 

 

Ia adalah sebahagian daripada komitmen bank untuk membuka peluang kepada komuniti yang lebih besar menceburi bidang seni lukis, di samping meningkatkan profil dan mempamerkan hasil karya para pemenang dari Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, seni mempunyai daya tarikan untuk meluahkan emosi yang kuat, mencetus pemikiran serta idea, selain menyatukan para penggiat dan peminat dari segala lapisan masyarakat. 

 

"Identiti program tahun ini bertemakan ‘optimisme’ yang sejajar dengan tempoh kita beralih menuju ke masa depan yang lebih cerah dan penuh makna. Selaras itu, hasrat kami agar dapat membangkitkan semangat positif dan kesalinghubungan kepada komuniti seni yang telah terjejas oleh kesan pandemik global.

 

 

uob

 

 

“Melalui pertandingan UOB POY tahunan ini, kami akan terus mencungkil bakat seni di Malaysia serta mempromosikan mereka di peringkat tempatan dan serantau. Sebagai salah satu penaung utama  bidang seni di rantau Asia, kami berharap untuk memupuk generasi pelukis akan datang dan membantu merealisasikan impian mereka," katanya.

 

Seperti tahun lepas, serahan penyertaan akan diterima secara digital. Permohonan akan dibuka mulai hari ini sehingga 31 Julai 2022. 

 

Pertandingan terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan pemastautin tetap. Pemenang anugerah 2022 UOB Painting of the Year (Malaysia) akan diumumkan di majlis anugerah pada Oktober 2022.

 

Pemenang utama negara juga berpeluang untuk bertanding dalam anugerah berprestij UOB POY Asia Tenggara dan memenangi wang tunai AS$10,000. 

 

Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh didapati di www.UOBandArt.com. - DagangNews.com