UPM laksana pematuhan SOP ketat sambut pelajar kembali ke kampus | DagangNews Skip to main content

UPM laksana pematuhan SOP ketat sambut pelajar kembali ke kampus

SERDANG 15 Okt – Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan tindakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat bagi kemasukan semula pelajar ke kampus bagi sesi 2021/2022 bermula hari ini bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran
COVID-19 di kampus.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan berkata UPM telah menggerakkan persediaan bagi menerima kemasukan pelajar ke kampus antaranya penyelarasan data pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus selepas melengkapkan dua dos vaksin, pergerakan pelajar dan persediaan kolej kediaman.

 

“Oleh kerana pelajar UPM kembali ke kampus secara berperingkat, sesi pembelajaran akan dilaksanakan mengikut fasa yang ditetapkan bagi memudahkan UPM menyelelaras pergerakkan pelajar semasa di kampus,” katanya.

 

Tambah beliau, bagi Fasa 1, dianggarkan seramai 4,000 pelajar akan kembali ke kampus.

 

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan
Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan

 

 

Untuk Fasa 1: Kemasukan bagi kumpulan pelajar yang berkeperluan (latihan klinikal, latihan mengajar, latihan industri yang memerlukan penginapan dalam kampus, pelajar yang perlu menjalankan penyelidikan di makmal, pelajar B40 dan yang memerlukan kemudahan internet serta persekitaran yang kondusif) bermula 15 hingga 17 Oktober 2021;

 

Fasa 2: Kemasukan bagi kumpulan pelajar yang perlu menjalani PdP di makmal (kuliah akan dijalankan secara dalam talian - PdP secara hibrid) bermula 3 hingga 7 November 2021 dan;

 

Fasa 3: Kemasukan sepenuhnya pelajar ke kampus (kecuali yang belum lengkap dua dos vaksin). PdP akan dilaksanakan secara bersemuka dan hibrid tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.bermula 10 hingga 12 Disember 2021.

 

Sementara itu, seramai 3,309 pelajar baharu program Bacelor mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2021/2022 terdiri daripada 1, 059 pelajar lelaki dan 2,250 pelajar wanita. Pendaftaran Kemasukan bagi sesi ini dibuat secara dalam talian.

 

 

upm

 

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Alumni) UPM, Prof. Dr. M. Iqbal Saripan berkata seramai 201 pelajar antarabangsa yang turut mendaftar bagi program Bachelor.

 

Pelajar-pelajar itu antaranya dari negara China, Indonesia, Bangladesh, Brazil, India, Arab Saudi, Yamen dan Somalia. Antara program yang popular dalam kalangan pelajar antarabangsa kemasukan kali ini ialah Kejuruteraan, Pertanian, Pentadbiran Perniagaan, Ekonomi, Sains Komputer dan Komunikasi.

 

Selain itu, seramai 108 orang pelajar telah mendaftar di kampus UPM Bintulu.

 

UPM mengambil dua orang pelajar atlet terjun, Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabilin yang telah menyertai World Cup FINA 2021 pada Mei 2021.

 

 

upm

 

 

Selain itu seramai 12 pelajar OKU, empat orang pelajar anak orang asli, 69 pelajar atlet sukan dan 729 pelajar daripada keluarga B40 ditawarkan tempat belajar diperingkat bachelor UPM.

 

UPM juga telah melaksanakan Minggu Perkasa Putra Sesi 2021/2022 pada 11 Oktober lalu secara dalam talian dengan ucapan dan amanat oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.

 

Program Minggu Perkasa Putra merupakan aktiviti tahunan khusus di bawah kelolaan entitientiti di bawah naungan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) UPM bagi meraikan pelajar-pelajar baharu setiap tahun.

 

TNC (HEPA), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata UPM adalah antara universiti yang melaksana pelbagai usaha mewujudkan kampus inklusif OKU sebagai tanda kesamaan hak dan inklusiviti di UPM sebagai Menara Ilmu.

 

“UPM sentiasa menambah baik perkhidmatan dengan mewujudkan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU (UPSO), Dasar Inklusif OKU, pelan tindakan, Jawatankuasa Kampus Inklusif OKU, program kesedaran secara berkala dan lain-lain,” katanya. - DagangNews.com