Skip to main content

Usahawan gembira peluang promosikan produk tempatan kepada pengunjung Jelajah AKM Sarawak

Manoi Jarau melayan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang untuk singgah ke reruainya bagi mendapatkan produk kraftangan Sarawak.
Oleh KERNI PUAH

KUCHING 6 Ogos - Hari kedua anjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) terus mendapat sambutan dari penduduk di Sarawak tidak kira di bandar mahupun dari luar bandar. 

 

Penganjuran edisi AKM di Sarawak kali ini terus mendapat sambutan usahawan yang menyertai karnival usahawan di Dataran Perayaan, Petrajaya di sini bermula semalam hingga 7 Ogos. 

 

Tinjauan DagangNews.com telah mendapatkan usahawan kraftangan, Manoi Jarau, 59, dari Kpg Entayan, Serian mendedahkan pendapatannya pada hari pertama penganjuran karnival usahawan di Jelajah AKM mampu mencecah lebih dari RM2,000. 

 

“Saya tidak menyangka penyertaan pada karnival usahawan anjuran ini memberangsangkan, malah ia secara langsung membantu saya untuk memulihkan jualan dan pendapatan kraftangan yang telah terkesan daripada pandemik COVID-19 yang lalu. 

 

“Pada masa yang sama, saya berasa amat berbangga untuk menampilkan produk kraftangan Sarawak kepada pengunjung yang hadir ke karnival usahawan di anjuran, yang mana mereka turut berkongsi keterujaan untuk melihat kraf Sarawak dan bawa ke negeri masing-masing,” katanya. 

 

AKM
Manoi Jarau menunjukkan produk kraftangan yang diusahakannya sejak tahun 2004, dan teruja untuk mempamerkan produk anyamannya di Jelajah AKM

 

Sementara itu, Mohd Nazirul Asyraf, 33, pemasaran syarikat Sophia Taha Holdings yang mengusahakan produk berasaskan madu kelulut Meliponi di karnival yang sama turut berkongsi keterujaan penyertaan anjuran karnival seperti ini untuk membawakan produk Sarawak kepada pengunjung dari luar Sarawak. 

 

“Rata-ratanya kami telah menerima pengunjung dari luar Sarawak yang teruja sekali untuk melihat produk yang dihasilkan daripada madu kelulut, malah mereka menyambut baik produk jualan anak tempatan. 

 

“Tidak dinafikan pendapatan pada hari pertama sahaja, kami berjaya merekodkan lebih daripada RM3,000 sebagai hari permulaan, dan dijangka hari ini lebih ramai pengunjung akan ke anjuran AKM di sini,” ujarnya. 

 

AKM
Mohd Nazirul Asyraf (kanan) bersama pembantunya di reruai produk berasaskan madu kelulut diKarnival Usahawan di Jelajah AKM.

 

Ditubuhkan pada 2009, dan sehingga ke hari ini, Sophia Taha Holdings telah mengeksport produknya keluarannya yang berasaskan madu kelulut ke luar negara untuk memenuhi permintaan pasaran luar negara seperti Perancis dan Jepun. 

 

Berdasarkan laporan urusetia Media,  Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini merekodkan seramai 19,212 pengunjung pada hari pertama ke anjuran edisi Sarawak di Dataran Perayaan, Petrajaya. - DagangNews.com