Anwar, Muhyiddin, Ismail Sabri, Mahathir: Siapa di hati pengundi? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 02 Nov 2022 08:40 AM

Anwar, Muhyiddin, Ismail Sabri, Mahathir: Siapa di hati pengundi?

 

 

 

PILIHAN RAYA Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir. Hari penamaan calon juga beberapa hari sahaja lagi. Pengundi di Malaysia seakan-akan teruja untuk mengetahui calon-calon bagi kawasan masing-masing.

 

Pada 5 November ini, semua calon perlu menyerahkan borang kepada pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) termasuk borang pencadang dan penyokong.

 

Calon yang bertanding, pencadang atau penyokong juga perlu menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri.

 

Gabungan parti dalam PRU15

Dalam PRU15 kali ini,  terdapat gabungan parti politik yang akan bertanding dan membentuk satu perikatan. Antara gabungan parti politik yang membentuk satu perikatan ialah

  • Barisan Nasional (BN) : UMNO, MCA dan MIC
  • Pakatan Harapan (PH) : PKR, Amanah dan DAP
  • Perikatan Nasional (PN) : Bersatu, Gerakan dan PAS

 

Ada parti yang sudah menamakan calon mereka dan ada yang masih dikemas kini terakhir untuk menentukan calon mereka.

 

Calon Perdana Menteri

Apa yang lebih menarik apabila “otai-otai” yang disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri mewakili “kem” masing-masing. Antara yang disebut-sebut untuk menjadi calon Perdana Menteri untuk mewakili kem masing-masing ialah:

  • Barisan Nasional (BN) – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
  • Pakatan Harapan (PH) – Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Perikatan Nasional (PN) – Tan Sri Muhyiddin Yassin
  • Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) -Tun Dr Mahathir Mohamad

 

Adakah Ismail Sabri kembali memimpin negara?

Timbul juga persoalan adakah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpeluang untuk kekal menjadi Perdana Menteri jika BN/UMNO memenangi PRU15 nanti. Seandainya ditakdirkan BN menang pada PRU15 nanti, maka mengikut amalan sebelum ini, Presiden UMNO yang dilantik sebagai Perdana Menteri. Apakah Presiden UMNO ialah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.  Adakah Zahid Hamidi akan bersetuju?

 

Walaupun dikatakan Ismail Sabri naik menjadi Perdana Menteri melalui “pintu belakang” atau “tebuk atap”, populariti Ismail Sabri agak baik di mata rakyat.  Semasa menjadi Perdana Menteri, Malaysia melonggarkan kebanyakan sekatan COVID-19 dan membuka semula sempadannya.

 

Hal ini membawa pemulihan ekonomi yang baik di Malaysia. Kini, rakyat melihat faktor ekonomi sebagai faktor dominan untuk memilih Perdana Menteri dan kerajaan.

 

 

ismail sabri

 

 

Dan personaliti Ismail Sabri yang sentiasa mesra dengan rakyat, tidak terbabit dalam mana-mana kes mahkamah juga menyebabkan popularitinya melonjak kebelakangan ini.

 

Anwar masih idamkan jawatan PM

Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa Datuk Seri  Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan untuk menjadi Perdana Menteri.

 

Anwar begitu cekal mengharung sejarah politiknya sehingga ke hari ini. Dengan sejarah politik dalam pembangkang selama 11 tahun dan masih mampu bertahan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan itu.

 

Selain itu, Anwar dikatakan seorang yang mampu membaiki ekonomi negara berdasarkan pengalaman beliau dalam pentadbiran negara sebelum ini.

 

Anwar akan meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenangi beliau pada Pilihan Raya Kecil 2018 yang lalu. Di Port Dickson Anwar telah menang dengan majoriti 23, 560 undi selepas menewaskan cabaran 6 penjuru. Dalam PRU 15, Anwar dijangka akan bertanding di Tambun.

 

Kerusi Parlimen Tambun disandang oleh  Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, yang juga Timbalan Presiden Bersatu. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.

 

Muhyiddin pernah jadi “abah” buat rakyat Malaysia

Perikatan Nasional (PN)  mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika gabungan itu memenangi PRU15.

 

Menurut Timbalan Pengerusi PN Datuk Dr Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, tiga parti komponen termasuk Bersatu dan PAS sepakat terhadap ketetapan memilih Pengerusi PN itu sebagai Perdana Menteri.

 

Gabungan Bersatu, Gerakan dan PAS dilihat “lebih harmoni” dan gabungan parti ini boleh bertolak ansur dalam PN. Pemilihan Muhyiddin juga tiada isu bagi Gerakan dan Pas.

 

Muhyiddin pernah menjadi “hero” dan “abah” kepada rakyat Malaysia semasa beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Tatkala, kepimpinan PH turun mentadbir negara, Muhyiddin dianggap “hero” yang menyelamatkan negara. Mungkin populariti Muhyiddin mengalas tanggungjawab semasa negara tengah “tenat” dek kerana COVID-19 menjadi merit kepada beliau.

 

Rakyat sangat terharu apabila seorang Perdana Menteri dalam perutusannya membaca doa memohon kepada Allah untuk negara dilindungi dari segala wabak dan bencana. Ia masih diingati oleh rakyat Malaysia! Selain itu, Muhyiddin juga arif dalam situasi negara kerana beliau adalah pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

 

 

Muhyiddin

 

 

PRU15  ini berkemungkinan menjadi pentas terakhir bagi Muhyiddin sebelum menamatkan karier politiknya bagi penggal baharu ini.

 

Bagi PRU15 ini, Muhyiddin kekal bertanding di Pagoh bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi beliau sebelum ini.

 

Tun sudah boleh berehat

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) , Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersedia untuk menjadi Perdana Menteri jika tiada calon untuk menjadi Perdana Menteri.  Kita tidak menafikan Tun antara Perdana Menteri terbaik Malaysia. Terlalu banyak jasa Tun sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

 

Dalam situasi semasa, Tun dah boleh berehat dari berpolitik. Dengan faktor umur dan kesihatan, tanggungjawab menjadi Ketua Negara ini mungkin membataskan Tun.

 

Selain itu, GTA masih belum mampu “memujuk” mana-mana  gabungan untuk bekerjasama. Terdahulu GTA cuba untuk bekerjasama dengan PN, tetapi Muhyiddin menolak bekerjasama dengan GTA

 

Menurut Tun, PN terlalu “sombong” kerana tidak mahu bekerjasama dengan GTA dan konon PN boleh menang bila meletakkan calon di 222 kerusi parlimen dan Muhyiddin boleh jadi Perdana Menteri kali kedua.

 

 

dagangnews

 

 

Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan

Semua parti gabungan sama ada BN, PH mahupun PN dilihat seimbang untuk memenangi PRU15 kali ini. 

 

Walaupun setiap kem telah menamakan calon Perdana Menteri masing masing jika mereka menang, namun begitu kuasa melantik seorang Perdana Menteri masih tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

 

Tak kira siapa pun kerajaan yang dipilih, siapa pun Perdana Menteri yang dilantik,  biarlah kerajaan dan Perdana Menteri yang mampu memulihkan semula ekonomi Malaysia! – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

volatiliti