PRU15: Setiap parti perlu bentangkan strategi tangani kelembapan ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 9 November 2022

PRU15: Setiap parti perlu bentangkan strategi tangani kelembapan ekonomi

 

 

 

KEMPEN Pilihan Raya Umum (PRU15) semakin sengit. Debaran 19 November 2022 untuk memilih calon dan pemimpin semakin terasa.

 

Parti-parti dominan seperti Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional telah pun melancarkan kempen di seluruh negara.

 

Dalam jelajah kempen parti-parti yang bertanding ini, masih ada kempen-kempen yang menghentam parti lawan.

 

Kini  bukan masanya untuk menghentam atau mencari kesalahan orang lain. Rakyat atau pengundi rasanya sudah muak dan loya dengan cara begini.

 

 

pru15

 

 

Setiap parti perlu bentang strategi ekonomi

Setiap parti yang  bertanding perlu membentangkan apa strategi ekonomi sama ada fiskal, monetari atau dasar awam jika mereka dipilih menjadi kerajaan.

 

Inilah yang sepatutnya menjadi perjuangan  parti-parti politik dalam manifesto mereka.

 

Kempen tradisional seperti memburuk-burukkan parti lawan adalah tidak relevan lagi buat masa ini. Ini kerana semua parti terdapat kelebihan dan kekurangan masing-masing.

 

Apa yang rakyat atau pengundi mahukan adalah apakah pelan atau perancangan setiap parti dalam membangunkan semula ekonomi Malaysia.

 

Pengundi kini semakin bijak menilai selepas 3 kali pertukaran Perdana Menteri dalam satu penggal.

 

Pengundi kini mahukan kerajaan yang akhirnya dapat membantu “meringankan” beban mereka.

 

Contohi Britain

Rakyat Malaysia boleh mencontohi Britain. Apa yang berlaku di Britain apabila isu ekonomi menjadi tunjang bagi rakyat Britain dalam menentukan pemilihan Perdana Menteri mereka.

 

Persoalan yang diajukan kepada Rishi Sunak, Boris Johnson atau Penny Mordaun: Apakah strategi fiskal monetari mereka dalam menghadapi isu ekonomi, isu bahan api dan kejatuhan mata wang pound sterling.


 

Rishi Sunak, Boris Johnson atau Penny Mordaun

 


Ini membuktikan bahawa rakyat Britain mahukan Perdana Menteri yang betul-betul mempunyai perancangan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada mereka.

 

Ekonomi yang koheren

Sedar atau pun tidak, rakyat Malaysia juga mahukan pembangunan ekonomi yang koheren. Namun rakyat kita belum sekritis rakyat Britain. 

 

Secara asasnya, rakyat mahu kerajaan atau pemimpin yang dipilih mampu untuk meneruskan kesinambungan proses pemulihan ekonomi sehingga negara keluar dari krisis ekonomi sekarang.

 

Pembangunan ekonomi  ini adalah fokus utama rakyat dan pengundi tatkala negara berada dalam krisis ekonomi yang dijangka berterusan sehingga tahun 2023. 

 

Pembangunan ekonomi ini mesti menyeluruh dengan mengambil kira faktor dominan seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, gaji dan pemilikan rumah.

 

KPI setiap parti politik

Rakyat perlu mendesak mereka yang bertanding supaya membentangkan strategi ekonomi bagi menangani isu krisis ekonomi yang dihadapi sekarang dan akan datang.

 

Setiap parti yang bertanding perlu berani meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing dalam manifesto masing-masing.

 

KPI ini akan menjadi penentu kemampuan parti untuk membangunkan semula ekonomi Malaysia.

 

 

volatiliti

 

 

Perlu pulihkan inflasi

Setiap parti perlu merancang bagaimana strategi untuk mengurangkan kadar inflasi. Walaupun kadar inflasi sekitar 4.0%-4.5%, inflasi bahan makanan agak tinggi sekitar 8%. 

 

Ini bukan perkara yang perlu dipandang mudah oleh setiap parti pemimpin mahupun kerajaan. Kadar inflasi ini sememangnya menghimpit rakyat terutamanya golongan B40 dan M40.

 

Penyelesaian kepada inflasi bukan sekadar penyelesaian jangka masa pendek dengan pemberian subsidi dan insentif lain, namun apa lebih utama dan penting ialah pendekatan yang lebih komprehensif perlu dirancang oleh setiap parti yang bertanding dalam PRU15 dalam  mengekang dan mengawal kenaikan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan rakyat.

 

Isu pengangguran dan pekerjaan

Setiap parti yang bertanding juga perlu mengemukakan apakah pelan tindakan mereka dalam menyelesaikan isu pengangguran dan pekerjaan di Malaysia.

 

Walaupun tidak dinafikan, pasca pandemik ini telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, tetapi masih terdapat ramai yang masih belum dapat bekerja terutamanya graduan universiti.

 

Sehingga kini hampir 700,000 graduan yang masih menganggur atau tidak menemui padanan pekerjaan sehingga ramai menceburi ekonomi gig untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama membayar hutang atau pinjaman pendidikan.

 

 

volatiliti

 

 

Personaliti Calon

Dari sudut pandang berbeza, selain kekuatan parti dalam meyakinkan rakyat dan pengundi tentang kemampuan mereka memulihkan ekonomi, PRU15 kali ini juga terdorong kepada personaliti calon.

 

Jika PRU14, tren pengundi lebih kepada melihat kepada nama dan logo parti namun PRU15 kali ini dilihat sedikit berbeza.

 

Calon yang mempunyai kredibiliti dalam satu-satu kawasan lebih digemari pengundi tanpa melihat kepada logo dan nama parti. Ini kerana akhirnya calon itu yang hendak berkhidmat di kawasan tersebut.

 

Sejarah PRU14 banyak mengajar pengundi untuk memilih calon yang betul-betul berkaliber untuk menjadi pemimpin.

 

Personaliti dan kekuatan calon juga boleh menjadi faktor kemenangan bagi sesebuah parti.

 

Peluang atur semula tadbir urus 

Rakyat Malaysia diseru untuk sama-sama keluar mengundi pada 19 November ini. Ini adalah peluang untuk kita mengatur semua tadbir urus dan masa depan negara.

 

Kita perlukan kerajaan yang stabil dan yang paling penting mampu memulihkan semula ekonomi negara.

 

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuktikan keupayaannya menguruskan ekonomi negara termasuk kandungan Bajet 2023 yang bertujuan memperkasakan semula Malaysia. Bajet 2023 adalah realistik. Bukan janji-janji pilihan raya kosong dan tidak dikotakan.   – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags