Bertemu Ismail Haniyeh di Gaza | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 08 Aug 2024 07:00 AM

Bertemu Ismail Haniyeh di Gaza

 

 

BERITA pembunuhan Ismail Haniyeh sungguh mengejutkan terutama untuk kami yang pergi ke Gaza, Palestin sewaktu bulan Ramadan tahun 2010.  Kami bertemu kembali untuk mengingati Ismail Haniyeh yang saya memeluk erat atas tanda persahabatan.

 

Saya dan sahabat pergi ke rumah Ismail selain pejabat di kawasan pelarian Gaza. Saya pernah bersolat tarawikh disebelah kanan Ismail di masjid terbesar Gaza. Bacaannya sungguh membawa perasaan hiba kerana bacaan Quran yang mantap.

 

Di rumah Ismail di kawasan setinggan, duduk lesehan bersama kehangatan alas duduk dan rasa cinta di antara anak beranak. Nampak tembok rumahnya yang sudah kusam, dan makanan sederhana beserta minuman ala kadarnya.

 

Tiga daripada anak lelaki Haniyeh - Hazem, Amir dan Mohammad - terbunuh pada 10 April lalu, apabila serangan udara Israel mengenai kereta dinaiki mereka. Haniyeh turut kehilangan empat cucunya, tiga perempuan dan seorang lelaki. Dia mempunyai 13 orang anak.

 

 

wainuiomata

 

 

Lahir di Al-Shati, 21 Januari 1962  dalam keluarga yang diusir dari al-Jura, yang kini membentuk sebahagian daripada bandar pelabuhan Israel Ashkelon.

 

Al-Shati, tempat dia dibesarkan, adalah salah satu daripada lapan kem untuk pelarian Palestin yang ditubuhkan oleh PBB untuk rakyat Palestin selepas pembersihan etnik Palestin pada tahun 1948, yang dikenali oleh rakyat Palestin sebagai Nakba apabila 750,000 orang telah dipaksa keluar dari rumah mereka semasa peperangan yang membawa kepada penciptaan negara Israel.

 

Beliau lulus dengan ijazah dalam kesusasteraan Arab dari Universiti Islam Gaza, di mana beliau terlibat dalam aktivisme pelajar.

 

Beliau seorang ahli politik Palestin yang menjadi pemimpin politik utama kumpulan pejuang Islam, Hamas. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin pada Jun 2006 hingga Jun 2007.

 

Beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 18 Mac 2007.

 

 

ismail haniyeh

 

 

Pada 1989 dia dikurung selama 3 tahun oleh pihak keselamatan Israel dan dibebaskan pada 1992. Selepas itu diusir oleh Lubnan. Dia pulang ke Gaza dan dilantik sebagai dekan Universiti Islam.

 

Selepas pemimpin rohaniah Syeikh Ahmed Yassin dibebaskan pada 1997, Ismail dilantik menjadi pengerusi Hamas. Tapi Israel mensasarkannya sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh rakyat Israel.

 

Pada 2003 dia cedera di tangan selepas tentera udara Israel melepas tembakan di Baitulmaqdis. Serangan Israel ini berikutan tindakan pejuang Hamas meletupkan diri dan mencederakan warganegara Israel. Pengaruhnya semakin meningkat selepas Kebangkitan Intifada terutama kerana hubungan erat dengan Syeikh Ahmed Yassin dan ramai pemimpin Hamas dibunuh oleh pihak keselamatan Israel.

 

Pada 20 Oktober 2006 Ismail mahu Fatah dan Hamas bersatu dan tidak bertempur sesama sendiri. Malam itu, Ismail terselamat dari serangan ketika sedang dalam konvoi untuk menemui Mahmud Abbas di Gaza.

 

Ramai diplomat melihat Ismail sebagai seorang yang sederhana berbanding dengan lebih banyak anggota kumpulan itu.

 

Dilantik ke jawatan tertinggi Hamas pada 2017, Haniyeh berpindah antara Turkiye dan ibu kota Qatar, Doha, dalam usaha melarikan diri dari sekatan perjalanan di Gaza dan membolehkannya bertindak sebagai perunding dalam rundingan gencatan senjata atau bercakap dengan sekutu Hamas, Iran.

 

"Semua perjanjian normalisasi yang negara Arab tandatangani dengan Israel tidak akan menamatkan konflik ini," Haniyeh mengisytiharkan di televisyen Al Jazeera, sejurus selepas pejuang Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober tahun lalu.

 

Tindakan Israel terhadap serangan itu adalah kempen ketenteraan yang membunuh lebih 35,000 orang di dalam Gaza setakat ini. Israel menganggap seluruh kepimpinan Hamas sebagai pengganas.

 

Sepanjang dekad di mana Ismail menjadi pemimpin tertinggi Hamas di Gaza, Israel menuduh pasukan kepimpinannya membantu mengalihkan bantuan kemanusiaan kepada sayap tentera kumpulan itu. Hamas menafikan dakwaan itu.

 

 

Yahya Sinwar
                                Yahya Sinwar

 

 

Apabila dia meninggalkan Gaza pada 2017, Haniyeh digantikan oleh Yahya Sinwar. Ismail menyertai Hamas apabila ia diwujudkan ketika intifada pertama pada 1987. Beliau pernah ditangkap dan seketika, pernah diusir dan menjadi anak didik pengasas Hamas Sheikh Ahmad Yassin, yang seperti keluarga Ismail, adalah pelarian dari kampung Al Jura berhampiran Ashkelon.

 

Menjelang 2003, beliau adalah pembantu Sheikh AhmadYassin yang dipercayai, bergambar di rumah Yassin di Gaza sambil memegang telefon ke telinga pengasas Hamas yang hampir lumpuh supaya lelaki itu boleh mengambil bahagian dalam perbualan. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh oleh Israel pada 2004.

 

Presiden Palestin Abbas memecatnya, tetapi Ismail kekal sebagai pemimpin de facto Gaza sehingga pemimpin Hamas memilihnya untuk mengetuai 15 orang Politbiro pada 2017, apabila dia berpindah ke Qatar.

 

Amerika Syarikat melabelnya sebagai "Pengganas Global yang Ditunjuk Khas" pada 2018. Dia meninggalkan Gaza pada 2019 dan menubuhkan pejabat di Qatar. Ismail dilantik semula sebagai ketua Biro Politik Hamas pada 2021.

 

Saya merasa amat bertuah dan berbangga kerana dapat berkenalan dengan Ismail Haniyeh. Seorang lelaki yang lembut tutur kata namun berjiwa singa. Usaha Ismail yang tidak putus-putus dalam memperjuangkan pembebasan Palestin daripada penjajahan Israel sememangnya sesuatu yang harus dicontohi oleh setiap pejuang kemerdekaan.

 

Ismail seorang yang mengagumkan yang keberaniannya untuk membela rakyatnya jelas berpunca daripada hati nurani yang bersih dan dipandu oleh kompas moral yang berasaskan kemanusiaan dan keyakinan agama.

 

 

parafrasa

 

 

Ismail  berdiri sebagai peringatan tentang apa itu negara paria Israel, dan semua orang yang menyokong rejim Zionis itu sendiri adalah munafik dan pengganas sebenarnya. Kemunafikan Barat dan sejenisnya sememangnya memualkan.

 

Pembunuhan Ismail membuktikan dengan pembunuhan di luar kehakiman Israel terhadap pejuang kemerdekaan Palestin menunjukkan betapa angkuh dan kejam rejim Israel.

 

Saya amat marah pada Israel dan dunia Barat, yang boleh membuat perubahan, memilih untuk berdiam diri. Sebaliknya memihak kepada Israel dalam melakukan tindakan keganasan mereka dan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

 

Saya bagaimanapun yakin, optimis biar pun mungkin membunuh Ismail tetapi perjuangannya tidak akan mati dan rakyat Palestin tidak akan membiarkan kematiannya menjadi sia-sia. Israel mungkin membunuh Ismail tetapi bukan ideanya dan apa yang dia perjuangkan.

 

Sesungguhnya, Ismail seorang wira Palestin yang syahid dan Israel menyangka dengan terhapusnya Ismail maka tamatlah riwayat perjuangan Palestin.

 

 

wainuiomata

 

 

Ismail tetap hidup dalam hati perjuangan Palestin seperti hidupnya Syeikh Ahmad Yassin, Abd Aziz Rantisi, Izzudin Qassam dan lain-lain para syuhada yang gugur mempertahankan Palestin.

 

Al Aqsa turut menangis dengan sifat angkuh kebinatangan regim Zionis namun tetap menanti saat pembebasan Palestin di tangan wira-wira umat pejuang Palestin yang berada di garisan hadapan.

 

Ismail akan terus tersenyum seperti mana dia senantiasa tersenyum di dunia, haruman tersebar lebih segar dari bauan bunga berkembang di mana-mana.

 

Bergembiralah wahai Ismail di sisi Allah walaupun terasa sukar akan kehilangan.

 

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (al Ahzab: 23)

 

 

 Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews