Gergawi tanya : Are you on the take?
MUHAMMAD Gergawi mengajak bertemu di Emirates Tower di seberang jalan. Ada lorong di bawah lebuh raya Sheikh Zayed yang jauhnya kira-kira satu kilometer dari bangunan Crowne Plaza.
Lebuh raya Sheikh Zayed adalah jalan terpanjang dan terbesar di Dubai waktu itu. Ada 6 lorong sehala. Kenderaan sibuk bersimpang siur. Begitupun lori tidak dibenarkan memasuki Dubai melalui lebuh raya Sheikh Zayed.
Saya bersiap untuk berjalan kaki merentas lebuh raya. Sepanjang jalan berfikir sebab apakah Muhammad mahu bertemu? Adakah saya melakukan kesilapan? Mahu naik pangkat? Buang kerja? Banyak pula persoalan yang timbul.
Muhammad adalah agak sebaya, masih muda. Beliau kelakar dan lucu orangnya. Saya sering ditegur dahulu kalau bertemu di mana-mana. Beliau cukup mesra dan amat baik untuk seorang yang berkedudukan tinggi. Beliau masih pandu kereta sendiri.
Saya tidak beritahu siapa pun hatta Hamed Kazim yang akan menelefon pukul 5 petang nanti. Tidak teringat pun untuk menelefon beliau.
Berjalan dengan perlahan terus memikirkan apa salah saya? Kemudian masuk terowong bawah tanah untuk ke seberang. Terowong itu tiada orang, agak jauh dan sedikit menakutkan. Saya berlari untuk sampai ke hujung.
MINGGU LEPAS : Muhammad Gergawi panggil menghadap
Tiba di tingkat 4 seperti biasa, Muhammad yang sebaya masa itu segera memeluk. Erat pelukan dan terasa panas tubuh. Hanya kami berdua. Beliau memakai jubah putih untuk Emirati dengan serban.
Muhammad adalah orang kanan Sheikh Mohamad. Ada empat orang yang kesemuanya saya kenal secara peribadi sejak menjadi setiausaha Hamed.
Masuk ke biliknya yang besar. Duduk. Mula-mula berbual kosong. Bercerita tentang tugasnya yang mencabar. Seronok mendengar ceritanya.
Muhammad pernah membawa saya ke tapak Dubai Internet City dan berkata, “If we dont build Dubai Internet City within one year, we are all doomed.”
Begitulah tegas beliau.
“OK ya akhi! I know you are very trusted person. One of our key person. Dan kamu begitu rapat dengan CEO, dia percaya kepada kamu daripada yang lain sehingga dilantik jadi setiausaha sementara sebelum setiausaha baru dilantik. Malah ada kata kamu ini spy dia. Ramai lihat kamu begitu berkuasa!"
Alamak. Saya sudah masuk perangkap politik pejabat.
Spy?
Sejak Hamed bercuti saya seakan spy untuk tahu hal ehwal korporat. Saya terpaksa buat atas permintaan Hamed yang percaya apa yang saya cakap. Saya tidak menipu. Memberitahu apa yang saya nampak dan tahu. Saya tidak mengutuk sesiapa apa lagi untuk pengurus Emirati yang mula memandang saya semacam.
Itulah tugas-tugas saya.
Saya terdiam memikirkan dengan tenang persoalan yang bermain di fikiran ramai orang dengan melihat perhubungan kami. Saya tidak menyangka turut diikuti oleh Muhammad yang menjadi pengerusi.
Nama Fudzail melonjak naik. Semua orang di Dubai Internet City menganggap saya sebagai orang yang paling berkuasa. Sebab itu Muhammad mencari saya.
Muhammad adalah paling rapat dengan Sheikh Mohamad ketika itu bergelar raja muda Dubai dan sekarang Raja Dubai. Beliau selalu berdua walau di mana-mana. Sheikh Mohamad percaya kepada Muhammad seperti mana Hamed terhadap saya.
"Tell me ya akhi, adakah CEO, kawan baik kamu itu, on the take?" (ambil rasuah?).
Apa? Wow! Soalan yang tidak disangka-sangka! Tergamam. Saya lama terdiam untuk memahami soalan.
Muhammad memandang saya dengan tidak sabar.
“Selama saya dengan Hamed tiada pula Hamed bercakap tentang ini. Hamed adalah seorang yang straight forward. Dengan kesibukan, ini semua mustahil!”
Saya beranikan diri bercakap apa yang saya tahu.
Muhammad diam.
Rupanya ramai Arab tempatan tidak suka Hamed. Juga tidak suka saya yang rapat.
Muhammad terus bercakap dan saya mempertahankan Hamed.
“Saya hanya menurut arahan. Hamed hanya memberikan kerja sahaja. Duit saya dari gaji. Tidak sekali untuk Hamed on the take!”
“Bagaimana dua pekerja dari Amerika dan Sweden itu?”
Saya menarik nafas.
“Mereka berdua telah bekerja apabila saya masuk. Rasanya tiada persoalan ini. Kedua-duanya bekerja dengan Dubai /internet City, bukan Hamed!”
Selepas setengah jam dia membenarkan saya balik.
“Ini rahsia kita berdua, jangan cakap pada sesiapun walaupun Hamed!”
Saya tersenyum.
Tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Hamed akan menelefon saya pukul lima.
Saya terasa berada di awangan. Masuk ke Dubai Internet City sebagai pengurus teknologi maklumat, kemudian jadi ketua kejuruteraan untuk Dubai Media City. Hamed memanggil bekerja dengannya sebagai pengurus IT dan telekomunikasi sebelum sebagai setiausaha.
Ramai Arab tempatan mula melihat saya sebagai saingan disebabkan hubungan rapat saya dengan Hamed. Bekerja seolah Chief Operating Officer dengan mengambil alih tugas dari Hamed mana yang perlu.
Saya tidak pernah menjadi COO namun kerja saya adalah COO. Bukan setiausaha. Dari pemilihan temuduga untuk mengganti saya sebagai setiausaha, dari dengan tiga telco AT&T, SingTel dan French Telecom, dan mesyuarat ahli lembaga pengarah Dubai Internet City.
Saya tidak tahu untuk bercakap petang nanti dengan Hamed!
Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com