`Impossible is Nothing’ kata Sheikh Mohamed Al Maktoum | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 29 Jul 2021 07:30 AM

`Impossible is Nothing’ kata Sheikh Mohamed Al Maktoum

 

 

DUBAI terus sibuk dengan pembangunan yang boleh dilihat sepanjang Lebuhraya Sheikh Zayed yang terus menghala ke Abu Dabi. Banyak sungguh pembangunan di merata Dubai – timur, barat, utara dan selatan. Ini baru tahun 2003.

 

Kerancakan pembangunan, terutama hartanah dan prasarana yang terserlah dalam pelbagai bentuk dan saiz terus menjadi sebahagian dari kehidupan.

 

Pertumbuhan ekonomi turus meningkat bersama kenaikan inflasi dan pertambahan ekspatriat baru juga berselang-seli dengan laporan sedikit penurunan angka kematian di jalan raya.

 

Dubai adalah sebuah kota yang seakan tidak mempunyai waktu untuk dibuang. 24 jam setiap hari tidak mencukupi untuk merealisasikan pelbagai perancangan dan projek yang bernilai trilion dollar dalam jangkamasa jadual terdekat dan terhad.

 

Kepesatan pembangunan yang melitupi setiap inci tanah gurun serta membina pulau-pulau jadian sudah menjadi sesuatu yang biasa. Walau pelik dan hairan dari mana datangnya berguni-guni wang yang dilaburkan, tetapi 'business as usual' kerana Sheikh Dubai pernah berkata, 'impossible is nothing", sama seperti iklan sebuah jenama peralatan sukan.

 

Lebih pelik membayangkan siapakah yang bakal dan akan mengisi semua bangunan yang sedang dalam pembinaan tersebut pada tahun 2003. Tetapi bak kata festival ketika ini, 'Dubai Summer Surprises' memang tiada yang boleh mengejutkan lagi, sehingga harga bilik hotel pun terus naik dalam musim panas, sesuatu yang dulunya mustahil.

 

Sewaktu saya mula bekerja di Dubai Internet City dalam tahun 2000, saya dibawa oleh bos besar, Muhammad Gergawi iaitu pengerusi syarikat dengan pacuan empat roda ke sebuah kawasan gurun yang lapang dan agak jauh dari pusat bandar. Jauh kerana tidak banyak pembangunan sepanjang lebuh raya (waktu itu) empat lorong sebelah (kini enam hingga tujuh lorong) menghala ke Abu Dhabi.

 

Pengerusi yang agak sebaya berkata secara jenaka lebih kurang begini, "Lihat sekeliling kita sekarang, kalau kawasan ini tidak mempunyai tiga buah bangunan yang siap sepenuhnya dengan lanskap sekali dalam masa lapan bulan dari sekarang, kitalah yang akan terbenam ke dalam padang pasir ini!"

 

 

wainuiomata
SEORANG gembala unta membawa haiwan itu untuk para pelancong di Dubai.

 

Saya tidak ketawa, bukan sahaja kerana belum serasi dengan suasana gurun dan budaya berbeda tetapi menganggap ia sesuatu yang gila untuk melakukannya. Membayangkan saya benar-benar akan terkubur dalam padang pasir yang luas itu. Mengerikan kerana persepsi tentang orang Arab masih sahaja berbentuk jahiliyah.

 

Sepanjang tempoh itu adalah penderaan secara 'profesional' buat saya yang tidak pernah terlibat dalam apa-apa projek pembinaan hartanah, hatta di Malaysia. Tidak tahu hujung pangkal mengenai kerja-kerja sivil dan yang berkaitan dengannya.

 

Didera bukan sahaja kerana terpaksa belajar banyak perkara yang agak asing, tetapi terpaksa melakukan beberapa kerja serentak kerana staf tidak mencukupi.

 

Melakukan kerja teknikal, pembangunan bisnes, pemasaran dan juga, percaya atau tidak, sebagai sekretari kepada CEO. Sehari suntuk bekerja sehingga malam dan esok sebaik subuh terus berkejar ke pejabat. Rutin selama enam bulan yang membuatkan saya hampir saja mahu pulang ke tanahair.

 

Sebelum itu, saya memberitahu CEO syarikat, Hamed Kazim yang membawa saya masuk dari Malaysia, "Saya tidak arif dengan perlaksanaan dan pengurusan projek sebegini".

 

Hamed memberitahu dengan ikhlas, "Saya juga, kita sama-sama belajar!"

 

 

burj
BURJ KHALIFA mercu tanda kota Dubai.

 

Pengalaman tahun pertama itu cukup menarik kerana saya banyak belajar dalam tempoh itu. Tidak terkira ilmu baru dengan pelbagai cabaran.

 

Saya kembali dengan Dr Osama Al Ahli untuk Dutel.

 

Apa yang saya anggap kerja gila rupa-rupanya bukan sesuatu yang mustahil. Dengan koordinasi dan perancangan yang baik, serta bajet yang tidak terhad, memang tiada yang mustahil.

 

Boleh dikatakan kesemua peneroka DIC dari kalangan rakyat tempatan kini menduduki pelbagai jawatan penting sebagai orang kanan Sheikh. Mereka telah membuktikan bahawag dengan kepimpinan yang telus dan amanah, segala cabaran rumit boleh diatasi dengan berhemah.

 

Secara peribadi, saya amat mengkagumi Sheikh Mohamed Al Maktoum yang bekerja keras dan mempunyai wawasan yang hebat. Malah kini sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, beliau telah merubah banyak perkara di peringkat persekutuan UAE.

 

 

Sheikh Mohamed Al Maktoum
Sheikh Mohamed Al Maktoum

 

 

Melawat hampir keseluruh UAE untuk mengetahui apa yang berlaku dan tidak kerap keluar negara (rasmi atau bercuti dengan keluarga) walau mempunyai jet peribadi yang banyak.

 

Pada ketika ini juga, Dubai adalah 'tapak pembinaan' yang paling besar. Di mana-mana terdapat kren pelbagai saiz dan warna yang juga dianggap sebagai 'burung nasional'. Pelbagai projek yang mengisi ruang memberikan gambaran apa yang akan berlaku dalam waktu terdekat.

 

Pembangunan turut membawa kesan sampingan seperti kesesakan jalan raya, kenaikan kos kehidupan, inflasi dan sedikit sebanyak peningkatan jenayah. Kota yang membangun, apalagi yang terlalu pesat seperti Dubai memang tidak boleh lari dari beberapa 'hiccups' sebagai sebahagian dari 'growing pains'.

 

Penglibatan saya dengan projek sama menambahkan pengalaman dan meluaskan pandangan mengenai perspektif kehidupan. Apa yang dirancang tidak selalu mengikut WYSIWYG atau secantik brosur dan janji-janji iklan atau janji manis pilihan raya.

 

Tetapi banyak masalah boleh selesai sekiranya bijaksana serta berhemah dibawah seorang ketua yang hebat, tidak tidur sewaktu bekerja dan tidak membiarkan orang lain untuk menguruskan negara. Tidak juga mengurus secara auto pilot.

 

Dengan persaingan antara pemaju hartanah, Dubai semakin menarik untuk dijadikan sumber tesis peringkat MBA. Banyak yang dilakukan di luar teori dan praktikal yang pernah dilakukan sebelumnya. Hasilnya sudah banyak yang direalisasikan.

 

Begitupun, seorang dari bos di DIC dan pernah ke Harvard yang kini menjadi pengerusi sebuah pemaju hartanah terbesar berkata yang beliau telah membuang semua yang dipelajari di sekolah bisnes lima tahun lalu.

 

Apa yang dilakukan oleh Dubai memang melampaui batas teori yang diperakui. "Impossible is Nothing" ternyata bukan sekadar slogan cemerlang, gemilang dan terbilang yang tidak mempunyai apa-apa hasil.

 

 

Sheikh Mohamed Al Maktoum

 

 

Begitupun, setiap kali melihat Burj Dubai makin meninggi dan ratusan bangunan tinggi lain yang berebut-rebut menongkah langit, setiap kali itu juga teringatkan hadis Nabi SAW mengenai tanda-tanda akhir zaman.

 

Salah satunya mengenai orang-orang di gurun Arab yang dahulunya pengembala kambing kemudian akan bersaing untuk membina bangunan tinggi sesama mereka.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA