Malaysia MADANI:  Jiwa Merdeka dalam kehidupan warga emas dan OKU | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 05 Sep 2024 07:00 AM

Malaysia MADANI:  Jiwa Merdeka dalam kehidupan warga emas dan OKU

 

 

 

DALAM hembusan angin kemerdekaan yang sudah menjangkau usia 67 tahun, Malaysia berdiri gagah sebagai sebuah negara yang mengangkat semangat perpaduan dan kesetiaan rakyatnya.

 

Namun, dalam kehangatan sambutan dan laungan 'Merdeka', terdapat golongan yang sering dilupakan iaitu warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

 

Tema "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka" bukan sahaja menjadi simbol kepada kebebasan negara daripada penjajahan, tetapi juga harus menjadi cerminan kepada kebebasan semua rakyatnya, termasuk mereka yang hidup dengan keterbatasan usia dan upaya.

 

 

wainuiomata

 

 

Saya sebagai warga emas dan seorang OKU melihat sambutan kemerdekaan ke-67 dengan suara-suara yang tenggelam dengan kemeriahan.

 

Begitu juga kaum minoriti seperti Orang Asli yang hidup di tanahair lebih lama dari orang lain dan semakin kecil bilangan dengan kedatangan bangsa asing yang memenuhi pemandangan di kawasan perladangan, buruh dan perbandaran.

 

Merdeka bagi warga emas dan OKU tidak terletak pada perarakan besar-besaran atau kibaran bendera yang menggunung tinggi.

 

Merdeka bagi mereka adalah kebebasan yang bersifat sejagat dimana kebebasan daripada kekangan fizikal, daripada pengabaian masyarakat, dan daripada ketidakadilan sosial.

 

Dalam Malaysia Madani, kemerdekaan adalah milik semua, tanpa mengira umur, kesihatan, atau keupayaan fizikal.

 

Dengan anggaran  hampir 30 peratus daripada populasi negara akan terdiri daripada warga emas menjelang 2030, dan 25 peratus lagi daripada golongan OKU sekarang, cabaran yang dihadapi oleh negara kita bukanlah perkara kecil.

 

Apakah erti kemerdekaan bagi mereka jika mereka masih terpinggir dan tidak diambil peduli?

 

Ini adalah persoalan yang harus dijawab oleh kita semua dari pihak kerajaan hingga rakyat jelata.

 

Dalam mencapai gagasan Malaysia Madani, penjagaan terhadap warga emas dan OKU harus dipandang sebagai satu amanah, bukan sekadar tanggungjawab sosial.

 

 

wainuiomata

 

 

Pusat penjagaan warga emas dan OKU haruslah diperkasakan, bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan kewangan, tetapi sebagai lambang keprihatinan dan kasih sayang kita kepada generasi yang telah berjasa dan golongan yang memerlukan.

 

Penjaga yang dilatih secara profesional, yang tidak hanya tahu tentang aspek fizikal tetapi juga memahami keperluan emosi dan psikologi mereka, adalah satu keperluan mendesak.

 

Rumah penjagaan bukanlah tempat untuk melupakan, tetapi tempat untuk menghargai mereka yang berada di usia senja atau yang hidup dengan kecacatan.

 

Dalam Malaysia Madani, penjagaan warga emas dan OKU seharusnya menjadi satu industri yang dipandang mulia, bukan sekadar alternatif terakhir bagi mereka yang terpinggir.

 

Kita harus memastikan pusat-pusat penjagaan ini bukan sahaja wujud dalam bentuk fizikal, tetapi juga sebagai tempat yang menawarkan suasana yang selesa dan mesra, di mana mereka yang tinggal di sana merasakan diri mereka dihargai dan diberi layanan yang sewajarnya.

 

Semakin banyak pusat penjagaan yang berupa resort dibina untuk yang mampu dan masih ramai lagi mengharapkan tempat kediaman untuk duduk seharian sementara anak-anak bekerja.

 

Ada resort berupa hotel dengan kemudahan untuk warga emas tetapi masih tiada untuk OKU yang mengharapkan kerajaan dapat menyediakan kemudahan seumpama.

 

Tiada makna

Kemerdekaan tidak akan bermakna jika kita masih mengabaikan keperluan asas golongan warga emas dan OKU dalam kehidupan seharian. Malaysia Madani harus memastikan  setiap sudut kota dan desa mesra warga emas dan OKU.

 

Lif yang berfungsi dengan baik, jalan yang dilengkapi dengan akses ramp, dan tempat letak kereta khas yang mencukupi adalah asas yang perlu dipenuhi dalam perancangan bandar dan desa kita.

 

 

wasiyyah

 

 

Masih banyak majlis bandar raya dan perbandaran yang tidak mengambil kemudahan untuk warga emas dan OKU bergerak dengan prasarana yang tidak tersedia. Ada di tengah-tengah bandar raya dan bandar yang menyukarkan OKU untuk bergerak dan kita sudah merdeka ke 67 tahun.

 

Kita perlu menanamkan kesedaran dalam kalangan masyarakat kemerdekaan bukan hanya milik mereka yang muda dan sihat. Tiada siapa yang kebal dari kecacatan atau penyakit yang mungkin datang dengan usia atau kemalangan.

 

Malaysia Madani harus menjadi simbol kepada perpaduan dan keprihatinan kita kepada semua golongan, tanpa pengecualian.

 

Tempat letak kereta khas, tandas awam yang mesra OKU, dan kemudahan akses yang lebih baik bukanlah sekadar tambahan, tetapi hak yang harus dinikmati oleh setiap warga negara, tanpa mengira keadaan fizikal mereka.

 

Kesedaran awam perlu dipupuk bahawa menghormati dan memudahkan kehidupan warga emas dan OKU adalah satu tanggungjawab bersama.

 

Selalunya tempat letak kereta khas untuk OKU menjadi rebutan orang biasa yang tidak mempedulikan kesalahan, sepatutnya kenderaan mereka disita untuk mengelakkan dari terus berlaku.

 

Mereka yang muda hari ini harus menyedari  kemalangan atau penyakit boleh berlaku bila-bila masa, dan mereka juga mungkin akan berada di posisi yang memerlukan bantuan dan sokongan suatu hari nanti.

 

Sambutan Hari Merdeka ke-67 ini adalah peluang untuk kita merenung dan bertanya kepada diri sendiri, apakah yang telah kita lakukan untuk memastikan kemerdekaan ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat?

 

Malaysia Madani mengajak kita untuk tidak hanya melihat kemerdekaan sebagai pembebasan dari penjajahan, tetapi juga sebagai kebebasan dari segala bentuk ketidakadilan dan pengabaian.

 

 

wainuiomata

 

 

Dalam masyarakat yang semakin menua, di mana warga emas dan OKU semakin bertambah, kita harus meletakkan nilai kemanusiaan di tempat yang paling tinggi.

 

Kemerdekaan sejati adalah apabila setiap warga, tanpa mengira usia atau upaya, dapat menjalani kehidupan yang bermaruah dan dihargai. Marilah kita sama-sama memastikan bahawa kemerdekaan ini adalah milik semua, tanpa terkecuali.

 

Hari Merdeka ke-67 ini seharusnya menjadi peringatan kepada kita semua  setiap jiwa, tanpa mengira keadaan fizikal atau umur, adalah berharga dan mempunyai hak untuk merasakan kemerdekaan yang sebenar.

 

Tidak pinggirkan warga emas, OKU

Marilah kita membina sebuah Malaysia Madani yang benar-benar mengangkat martabat setiap warganya, yang tidak melupakan warga emas dan OKU, tetapi sebaliknya merangkul mereka dalam semangat perpaduan dan kasih sayang yang sejati.

 

Masyarakat normal sering kali lupa kesihatan dan keupayaan fizikal adalah pinjaman yang sementara. Seiring usia, kita semua berpotensi menjadi warga emas atau bahkan OKU akibat penyakit atau kemalangan.

 

Oleh itu, kesedaran tentang pentingnya memperjuangkan hak warga emas dan OKU bukanlah hanya untuk mereka, tetapi untuk masa depan kita sendiri.

 

Merdeka yang sejati adalah apabila kita mampu membina masyarakat yang empati, yang melihat setiap individu sebagai insan yang layak menerima hak-hak asasi mereka.

 

Dalam meraikan Hari Kebangsaan ke-67 ini, marilah kita bersama-sama menghayati tema "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka" dengan memastikan  setiap warga negara, tanpa mengira usia atau kemampuan fizikal, merasai kemerdekaan dalam setiap aspek kehidupan mereka.

 

Inilah erti sebenar Jiwa Merdeka dalam sebuah negara yang kita cintai dengan sebuah kemerdekaan yang inklusif, adil, dan penuh harapan untuk semua.

 

 Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews