Skip to main content

Wakil Malaysia buru slot separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Sepanyol

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Empat wakil Malaysia akan turun beraksi bagi mencari tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia yang sedang berlangsung di Huelva, Sepanyol hari ini.

 

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia bakal berdepan laluan sukar apabila dijadualkan bertemu pilihan ketiga dari Denmark, Anders Antonsen buat kali keempat dalam kariernya dan berdasarkan rekod pertemua sebelum ini, dia hanya menang sekali dalam tiga pertemuan lalu.

 

Juara All England itu juga mengakui bahawa dia perlu memastikan mentalnya berada dalam keadaan terbaik kerana bakal berdepan dengan pemain handalan yang berada di ranking ketiga dunia.

 

Prestasi yang agak kurang konsisten juga selain kecederaan belakang yang menghantui dirinya sebelum ini juga bakal memberikan kesukaran kepadanya untuk beraksi pada malam ini.

 

"Saya tidak berada pada tahap terbaik tetapi saya perlu kuatkan mental sekiranya ingin menang terutama jika perlawanan berlarutan hingga tiga set.

 

"Saya hanya fokus kepada permainan sendiri dan yang paling penting saya kena lawan diri saya sendiri jika mahu meneruskan kemaraan," katanya.

 

minton
Teo Ee Yi (kiri) dan Ong Yew Sin (kanan)

 

Selain Zii Jia, pasangan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin juga bakal berdepan laluan berliku apabila bakal bertemu dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

 

mintuj
Goh V Shem (kanan) dan Tan Wee Kiong (Kiri)

 

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, pasangan negara tidak pernah menang ke atas pasangan Taiwan itu dalam kesemua tiga perlawan.

 

Dua lagi pasangan negara yang akan beraksi adalah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai. - DagangNews.com